Khamis, 6 Januari 2022 | 11:01am

Perkasa sistem pengauditan alam sekitar

Susulan kejadian bencana alam yang melanda Malaysia, inilah masanya untuk semua agensi berkaitan meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan awam.

Apatah lagi kejadian berkenaan berpunca bukan sahaja disebabkan cuaca buruk tetapi juga faktor manusia misalnya pencerobohan tanah secara haram. Justeru, semua pihak berkenaan perlu menggerakkan usaha bersepadu untuk memelihara dan melindungi alam sekitar.

Hal ini sebenarnya sangat mendesak dan penting. Masalah tanah runtuh membuktikan jika kita tidak mahu berdamai dengan alam sekitar, kemusnahan akan menjadi lebih besar pada masa hadapan.

Memasang lebih banyak sistem amaran awal di kawasan berisiko tinggi di negara ini sudah dibuat, tetapi ia tidak akan menjadi penyelesaian muktamad kepada masalah. Sebaliknya, semua sektor ekonomi harus berusaha ke arah memastikan ekonomi dan alam sekitar harus maju bersama.

Oleh kerana tumpuan kita adalah kepada pembangunan yang berterusan dan mesra alam sekitar, amat penting untuk orang ramai dan syarikat swasta membangunkan sistem pengauditan alam sekitar. Selain itu laporan tahunan mengenai kesan kegiatan ekonomi berkaitan alam sekitar perlu disediakan.

Ketika keprihatinan terhadap alam sekitar dalam sektor perniagaan menjadi tumpuan di seluruh dunia, pengauditan alam sekitar harus menjadi sebahagian penting di dalam pengurusan korporat.

Mewujudkan 'budaya korporat hijau' adalah satu langkah perlu bagi memastikan syarikat lebih prihatin terhadap isu berkaitan alam sekitar.

Sebelum ini, kita selalu mendengar masalah seperti penerokaan tanah secara haram, pemusnahan hutan dan pembuangan sisa industri berbahaya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Tidak kurang juga kes pelepasan asap kilang yang dari masa ke semasa mendapat liputan media.

Untuk setiap kesalahan ini mereka bukan sahaja akan berhadapan tindakan undang-undang tetapi juga menanggung kerugian akibat halangan perdagangan di peringkat pasaran global.

Justeru, pengauditan alam sekitar pada dasarnya ialah mengenai pendedahan aktiviti syarikat berkaitan dengan kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar. Ia boleh memberi maklumat penting kepada pelabur sebagai perlindungan daripada kerugian tidak dijangka yang mungkin ditanggung akibat kos kemudaratan alam sekitar kepada pelaburan mereka.

Kepada orang ramai, pendedahan itu akan membolehkan mereka untuk menilai komitmen sosial yang dijalankan oleh sesuatu entiti korporat.

Ketika ini, wujud satu aliran dalam kalangan banyak syarikat, terutama pada peringkat antarabangsa yang bersedia mendedahkan maklumat mengenai dasar alam sekitar, objektif dan program kepada orang ramai.

Dalam hal ini, syarikat di Malaysia perlu menambah baik sistem pengauditan alam sekitar mereka. Ini adalah berdasarkan kepada kesedaran bahawa ia mungkin menjadi satu amalan korporat di seluruh dunia bagi mengawal keputusan pelaburan.

Untuk mengejar keuntungan syarikat, ia tidak sepatutnya dilakukan dengan cara mengorbankan alam sekitar.

Pengauditan alam sekitar yang dicadangkan tidak syak lagi akan memastikan bukan sahaja meningkatkan kesedaran yang lebih tinggi, tetapi juga pembangunan sikap bertanggungjawab dalam kalangan ketua pegawai eksekutif terhadap kesan aktiviti syarikat mereka kepada alam sekitar.

Tan Sri Lee Lam Thye,

Kuala Lumpur

Berita Harian X