Khamis, 6 Januari 2022 | 11:00am
Semangat kesukarelawanan perlu terus disemai bagi meningkatkan ukhuwah dalam masyarakat.
Semangat kesukarelawanan perlu terus disemai bagi meningkatkan ukhuwah dalam masyarakat.

Membantu biar ikhlas tanpa mengharap balasan

Memberi tanpa harus menerima balasan adalah slogan utama budaya kesukarelawanan yang dipraktikkan di kebanyakan negara maju khususnya dalam menjalankan kerja amal dan kemanusiaan.

Sebenarnya jika dilihat, pendekatan amalan kerja gotong-royong dan kesukarelawanan sudah lama diamalkan oleh masyarakat di negara kita. Amalan dan budaya ini khususnya dapat dilihat misalnya dalam kerja gotong royong menyiapkan kenduri kendara, kematian dan apa juga acara yang menuntut bentuk kerjasama.

Kepesatan arus kemodenan dan pembangunan bagaimanapun sedikit sebanyak melunturkan budaya kebersamaan ini. Namun, kita harus melihat dengan sorotan positif bahawa amalan kerja sama ini kembali mendapat perhatian apabila masyarakat terkesan dengan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

Pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan melancarkan kempen yang berkaitan dengan kesukarelawanan melalui kerja-kerja menyalurkan bantuan, menolong mangsa banjir sedang mengalami kesulitan serta turut terbabit dalam misi pasca banjir yang sememangnya mencabar.

Inilah sikap atau nilai murni yang harus kekal bersemadi di dalam hati dan sanubari setiap masyarakat Malaysia. Tahniah dan syabas kepada semua sukarelawan yang bertungkus lumus menghulurkan tangan dan meringankan beban.

Mohd Nasir Zakaria,

Musketeers Malaysia

Berita Harian X