Khamis, 6 Januari 2022 | 11:00am
Portal u-Pustaka menyediakan pelbagai bahan bacaan digital untuk semua lapisan masyarakat
Portal u-Pustaka menyediakan pelbagai bahan bacaan digital untuk semua lapisan masyarakat

U-Pustaka tingkat budaya membaca

Perpustakaan secara tradisinya digambarkan sebagai sebuah bangunan yang mengumpulkan bahan bacaan seperti buku dan majalah. Namun, seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, landskapnya berubah menjadi 'perpustakaan tanpa dinding' menawarkan pelbagai koleksi bacaan digital yang boleh dicapai pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Di Malaysia, hal itu sudah dimulakan sejak sedekad lalu apabila portal u-Pustaka dilancarkan dengan menawarkan bahan bacaan fizikal dan digital. Dilancarkan pada 2011, ia adalah inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan sokongan kementerian berkaitan di bawah Pelan Jalur Lebar Negara sebelum ini.

Portal u-Pustaka menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pinjaman buku fizikal secara pos daripada 12 perpustakaan konsortium; pinjaman dan rujukan 52 juta bahan digital yang terdiri daripada e-buku, e-majalah, e-jurnal dan e-pembelajaran; akses rekod bibliografi sebanyak 2.77 juta daripada 130 perpustakaan awam dan akademik serta akses bahan pendigitalan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 1.77 juta muka surat seperti manuskrip Melayu, koleksi PNM dan surat khabar.

Perkhidmatan u-Pustaka juga adalah percuma dengan penggunaan bahan digital mengurangkan beban perpustakaan dari segi pembelian bahan bacaan dan rujukan.

Inisiatif ini juga membantu perpustakaan memperluaskan peranan secara lebih strategik bagi menjadikan sebagai pusat rujukan digital yang dinamik dan komprehensif. Selain itu, ia berperanan meningkatkan capaian maklumat yang sahih, tepat dan cepat kepada pengguna selain memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sehingga kini, sesudah hampir sedekad dilancarkan, 578,000 rakyat Malaysia berdaftar sebagai ahli u-Pustaka dengan kadar penggunaannya pula sebanyak 9.4 juta sehingga September 2021.

Ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, u-Pustaka menjadi pilihan rakyat Malaysia memperoleh bahan digital dengan 40,000 naskhah dipinjam pada bulan Mac 2020 sahaja. Ia berbeza dengan kadar purata 15,000 naskhah pada bulan biasa. Dalam tempoh PKP juga 23,000 pendaftaran ahli baharu direkodkan.

Justeru, seiring perkembangan semasa u-Pustaka dilihat sebagai platform terbaik untuk memacu gagasan Malaysia sebagai negara membaca dengan menyediakan lebih banyak bahan bacaan digital dan memperluaskan keahlian konsortium u-Pustaka kepada empat lagi perpustakaan awam negeri pada tahun ini.

Kini, Rakyat Malaysia sudah mula menjadikan amalan membaca menerusi u-Pustaka sebagai norma baharu pembacaan mereka seperti MySejahtera yang sudah setahun menjadi aplikasi sumber maklumat sehenti COVID-19.

Hafizatul Mushadah Mohamaed Yusa,

Perpustakaan Negara Malaysia

Berita Harian X