Jumaat, 24 Disember 2021 | 11:00am
Kerjasama semua pihak diperlukan bagi mengurangkan risiko akibat bencana alam.
Kerjasama semua pihak diperlukan bagi mengurangkan risiko akibat bencana alam.

Rangka strategi, cipta inovasi atasi risiko bencana alam

Laporan Penilaian Global Mengenai Pengurangan Risiko Bencana oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2019 (GAR) menyatakan kajian pada 1997 hingga 2017 mendapati terdapat 88 juta penduduk terkesan akibat bencana alam di seluruh dunia, dengan 76 juta terjejas akibat banjir.

Di Malaysia, bencana banjir sudah dianggap bencana normal yang sering berlaku, malah rakyat Malaysia umpama sudah mampu meramalkan bencana ini bakal berulang di masa hadapan.

Namun dari perspektif dunia, isu bencana banjir seharusnya tidak berulang dan kerajaan sepatutnya sudah menjalankan dan mencipta infrastruktur tertentu untuk mengelak bencana ini daripada terus berlaku.

Bencana banjir di seluruh Malaysia pada 2014 sepatutnya dijadikan teladan semua pihak terutama kerajaan untuk merancang kaedah pengawalan awal bencana di masa akan datang.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 2020, menyatakan pelbagai struktur kejuruteraan dibina seperti ban, lencongan air sungai dan kolam takungan, serta mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat berkenaan banjir.

Selain itu, JPS juga berjaya mencipta penyelesaian jangka masa pendek dan panjang membabitkan sistem saliran mereka dan juga kaedah pengawalan banjir sekiranya berlaku.

Persoalannya, mampukah solusi ini mencapai tahap keberkesanan tinggi dalam membantu mencegah bencana banjir yang sering berlaku di negara kita?

Sistem perparitan dan pengairan antara penting untuk mengawal kawasan tertentu daripada dipenuhi air. Sistem ini berfungsi dengan mengalirkan air berlebihan ke kawasan sepatutnya untuk mengelak berlakunya banjir, kerosakan jalan raya dan kelembapan tanah.

Meskipun begitu, sikap manusia yang suka membuang sampah merata-rata di kawasan perparitan seperti longkang di kawasan kediaman mahupun bangunan, serta sungai, mengakibatkan pengairan air berjalan tidak lancar, tercemar dan tersumbat.

Masalah ini boleh diselesaikan dengan dua cara. Pertama, masyarakat mengamalkan sikap rajin membersihkan longkang dan kawasan tercemar berdekatan, manakala yang kedua apabila semua masyarakat mengamalkan sikap bertanggungjawab untuk tidak membuang sampah merata-rata.

Isu pembuangan sampah merata-rata ini mungkin dilihat kecil, namun impaknya kepada alam sekitar amatlah besar.

Selain individu dan masyarakat, kerajaan memainkan peranan penting mengawal keadaan negara sebelum dan semasa bencana berlaku. Banjir tahun ini secara tidak langsung memperlihatkan kepada rakyat bagaimana sistem kerajaan berfungsi dalam mengawal bencana yang berulang kali berlaku di Malaysia.

Kesiapsiagaan kerajaan dalam memberikan bantuan, maklumat dan sebagainya dilihat kurang memuaskan. Malah, banjir kerap berlaku juga menyebabkan rakyat mempersoalkan keberkesanan sistem sedia ada di negara dalam mengawal bencana.

Kerajaan seharusnya memberikan dana mahupun menggalakkan syarikat dan individu yang terbabit dalam bidang kejuruteraan untuk memberikan idea bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Jurutera di Malaysia juga perlulah mempunyai tahap pemikiran kritis supaya mampu mengetengahkan idea dan mencipta teknologi baharu untuk membantu pengawalan bencana ini.

Sebagai contoh, Taufan Sandy melanda bandar New York pada 2013 dijadikan teladan oleh masyarakat di Amerika Syarikat (AS).

Susulan kejadian itu, bandar New York dengan kerjasama Rockefeller Cities mendokumentasikan kejadian dan membangunkan strategi yang mampu melahirkan bandar yang mencapai daya tahan terhadap kesan perubahan iklim, termasuk risiko peningkatan paras laut.

Rockefeller Cities adalah yayasan yang menghimpunkan pelbagai individu mahir dalam bidang sains untuk memberikan idea dan jalan penyelesaian bagi melahirkan bandar yang mampu dibangunkan melalui inovasi tertentu.

Pendekatan diambil kerajaan AS untuk bekerjasama dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara tidak langsung membantu kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat mereka.

Kerajaan Malaysia hendaklah bertindak pantas dan cekap dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak NGO dan swasta pada waktu sebegini untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir.

Pada masa sama, sistem baharu perlu dirangka dan inovasi tertentu dicipta untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin di kala musim banjir hari ini dan pada masa akan datang.

Masyarakat Malaysia juga perlulah menerapkan sikap bertanggungjawab dan sayang alam sekitar dengan tidak merosakkannya melalui apa juga aktiviti.

Nur Athirah Muhamed Asri,

Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X