Sabtu, 11 Disember 2021 | 10:30am
Budaya pengenyahan di media sosial yang semakin menular boleh ditakrifkan sebagai buli siber. - Foto hiasan
Budaya pengenyahan di media sosial yang semakin menular boleh ditakrifkan sebagai buli siber. - Foto hiasan

Budaya pengenyahan aib, jatuhkan tokoh dikenali adakah ia buli siber?

Budaya pengenyahan (cancel culture) adalah suatu senario yang cenderung terjadi dalam kalangan dunia selebriti, termasuk pempengaruh (influencer) media sosial.

Budaya pengenyahan merujuk kepada seseorang personaliti atau tokoh yang dikenali dijatuhkan atau dimalukan atas kesilapan tidak kira pada masa sekarang atau silam. Berdasarkan kesalahan itu netizen dengan mudah menghukum dan memalukan mereka. Ia adalah sebahagian daripada budaya pop (pop culture) yang sebenarnya boleh ditakrif juga sebagai buli siber.

Di Korea Selatan, budaya ini terlalu kerap terjadi. Misalnya seorang artis dikecam hebat netizen kerana kesilapan silamnya membuli rakan sekolah. Kecaman itu sangat dahsyat hinggakan artis berkenaan ditamatkan kontrak, dibuang daripada agensi pengurusannya, malah tidak kurang yang terpaksa mendiamkan diri dalam tempoh lama.

Walaupun budaya pengenyahan ini dilihat sebagai buli siber, ada yang mempertahankannya dengan anggapan apabila individu memilih menjadi tokoh dikenali, dia seharusnya mempunyai personaliti dan ketrampilan baik berdasarkan keupayaannya mempengaruhi masyarakat.

Namun, kecaman yang keterlaluan ternyata menjejaskan kedudukan seseorang itu hingga hilang pekerjaan atau perniagaan. Malah, jika kecaman itu disebabkan masa lalu seseorang, tidakkah mungkin dalam tempoh yang lama individu itu sudah pun berubah. Apatah lagi, kesempurnaan bukanlah milik insan. Tindakan netizen seolah-olah menganggap artis atau disebut 'idol' bebas cacat cela.

Kehidupan kita hari ini hampir setiap saat tidak berenggang dengan media sosial. Hampir semua orang, termasuk bayi yang baharu dilahirkan juga mempunyai akaun media sosial dan pengikut sendiri.

Anak muda zaman ini juga muda terpengaruh dengan apa yang mereka lihat di media sosial. Sekiranya pempengaruh di media sosial menunjukkan tingkah laku yang tidak baik, mereka akan mudah terikut dan menganggap ia adalah perkara biasa.

Dari segi ini menjelaskan masyarakat terang-terangan menolak perilaku buruk. Justeru, budaya pengenyahan ini menjadikan pempengaruh akan lebih berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan.

Farihatul Atiyah MohammadTaifor,
Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X