Rabu, 1 Disember 2021 | 11:01am
Konsep Keluarga Malaysia mampu menyedarkan kita untuk bertindak sebagai sebuah keluarga walaupun berbeza agama dan budaya
Konsep Keluarga Malaysia mampu menyedarkan kita untuk bertindak sebagai sebuah keluarga walaupun berbeza agama dan budaya

Konsep Keluarga Malaysia kukuhkan perpaduan

Konsep Keluarga Malaysia yang dilancarkan Oktober lalu seharusnya disambut baik oleh seluruh masyarakat. Hal ini disebabkan tiga teras utamanya iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran mampu membawa kemakmuran dan memperkukuhkan perpaduan di Malaysia.

Malaysia adalah sebuah negara yang bersatu dalam kepelbagaian dari segi kaum, bangsa, budaya, bahasa dan agama. Variasi ini boleh menjadi satu cabaran kepada Malaysia sekiranya perpaduan dan persefahaman antara warganya tidak diperkukuhkan.

Justeru, pelancaran Keluarga Malaysia ini sangatlah penting terutama bagi generasi muda. Hal ini disebabkan merekalah yang menjadi harapan untuk menyambung legasi sebuah negara. Sekiranya nilai yang akan membentuk perpaduan tidak diterapkan dalam kalangan mereka, ia tidak akan membantu masa hadapan Malaysia.

Kehidupan manusia di dunia ini semakin hari menuju kemajuan dan kemodenan. Semua ini membuatkan kita sibuk mengejar segala yang terkini sesuai dengan perkembangan persekitaran, namun pada masa sama setiap orang mahukan hidup penuh kebahagiaan dan harmoni.

Namun, langkah kita kemudiannya terhenti seketika apabila diuji dengan pandemik COVID-19 yang mengubah secara total kehidupan normal masyarakat di seluruh dunia. Susulan itu kita hidup dalam amalan norma baharu yang mana sebahagiannya mampu beradaptasi dengan baik tetapi ada juga yang masih bertatih untuk bermula.

Justeru, konsep Keluarga Malaysia dengan tiga teras utamanya itu mampu menyedarkan kita, inilah masanya untuk bertindak sebagai sebuah keluarga walaupun wujud perbezaan agama dan budaya.

Konsep ini menekankan pentingnya kesatuan dalam sebuah keluarga. Setiap perbezaan perlu dirai dan diterima dalam usaha melahirkan masyarakat harmoni dan bersatu padu di bawah bumbung yang sama dalam negara ini.

Berdasarkan konsep Keluarga Malaysia, kita akan mampu untuk memberi tumpuan kepada perkara lebih utama iaitu memulihkan tanah air ini yang terkesan oleh COVID-19. Perkara ini sudah boleh dilihat apabila seluruh rakyat bekerjasama dalam segala aspek seperti ekonomi, kesihatan, dan kawalan penyakit berjangkit.

Sebenarnya konsep Keluarga Malaysia ini juga membawakan nilai yang perlu diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia iaitu kasih sayang dan prihatin kerana pandemik COVID-19 sudah meragut terlalu banyak nyawa. Ramai daripada kita yang hilang ahli keluarga, malah bukan sedikit jumlah anak kecil kehilangan bukan saja ibu atau bapa tetapi hilang kedua-duanya.

Oleh itu, Keluarga Malaysia menjadi platform untuk kita bekerjasama memastikan tidak ada masyarakat terutama golongan kanak-kanak ini yang berjuang sendiri meneruskan kehidupan selepas kehilangan ahli keluarga terdekat. Dalam hal ini keprihatinan kita dituntut kerana itu juga antara tanggungjawab sebuah keluarga.

Nurzulaikhawani Abd Zunaidi,

Perak

Berita Harian X