Sabtu, 27 November 2021 | 11:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Siswa, pensyarah teruja kembali ke kampus

SETELAH lebih dua tahun pelajar institut pengajian tinggi menjalani kelas secara dalam talian, akhirnya mereka dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat.

Hal ini membuka ruang kepada sistem pengajian secara fizikal kepada pelajar yang sudah lengkap divaksinasi. Ini selari dengan tatacara pengoperasian yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pihak universiti dan fakulti mengenal pasti kursus dan kumpulan pelajar yang dikehendaki atau diberi keutamaan untuk hadir ke kampus. Namun, masih ada pelajar yang dibenarkan untuk menjalani pembelajaran secara dalam talian atau hibrid.

Kursus membabitkan penggunaan makmal, bengkel, atau studio adalah antara yang diberi keutamaan untuk dijalankan secara bersemuka. Bagi pelajar daripada program kejuruteraan misalnya, mereka teruja dapat menghadiri sesi makmal secara bersemuka dan menjalankan eksperimen secara hands-on.

Walaupun masih mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat, pelajar begitu bersemangat untuk mengikuti pembelajaran makmal yang selama ini hanya dijalankan secara dalam talian dengan menggunakan perisian sebagai pengganti.

Bagi pelajar baharu yang sebelum ini terpaksa memulakan pengajian secara dalam talian dari semester satu, akhirnya dapat menjejakkan kaki ke kampus buat pertama kalinya setelah berada di semester ketiga. Mereka kelihatan begitu teruja apabila dapat hadir ke kelas secara bersemuka dan merasai sendiri suasana pembelajaran di universiti.

Nyata mereka tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan seronok kerana akhirnya berupaya merasai suasana kehidupan sebagai seorang pelajar universiti. Keterujaan ini turut dirasai oleh pensyarah yang sememangnya sudah rindu untuk mengajar secara bersemuka terutama kursus yang begitu memerlukan kemahiran praktikal.

Justeru, diharap pihak universiti dan semua staf sentiasa berganding bahu dalam memberikan yang terbaik dalam memastikan kelestarian kualiti pendidikan di samping memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang

Berita Harian X