Rabu, 13 Oktober 2021 | 11:01am

Syor perhalusi sesi pembelajaran hibrid

Pembelajaran secara hibrid ada kelebihan dan kekurangan. Kelebihannya sudah tentu pelajar dapat kembali belajar secara bersemuka seperti dahulu.

Menurut Akademi Pediatrik Amerika (AAP), pembelajaran bersemuka penting dalam membentuk emosi pelajar dan memberi kebaikan ke atas kesihatan mental mereka.

Ia juga memberi peluang kepada pelajar berinteraksi bersama rakan di sekolah seperti sebelum ini. Ini penting dalam membentuk emosi dan kestabilan mental pelajar selepas berbulan-bulan terperap di rumah mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Pelajar juga boleh mengikuti pembelajaran secara amali di sekolah seperti subjek Sains yang memerlukan pelajar menggunakan perkakasan makmal yang tidak dapat dilakukan ketika sesi pembelajaran dalam talian.

Kelebihan lain, waktu belajar fleksibel kerana kehadiran bergilir-gilir pelajar ke sekolah. Guru boleh merekod sesi pengajaran di sekolah untuk ditonton pelajar yang mengikuti pembelajaran dalam talian mengikut kesesuaian masa, selain mengakses sesi pengajaran di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Pembelajaran secara hibrid juga memungkinkan guru memberi perhatian khusus kepada pelajar, terutama yang lemah disebabkan jumlah dikurangkan mengikut kapasiti muatan kelas.

Dari segi kekurangan, kebanyakan ibu bapa sudah mula bekerja disebabkan pembukaan lebih banyak sektor. Ini menyebabkan pelajar, terutama sekolah rendah sukar untuk mengikuti sesi pembelajaran dalam talian disebabkan faktor berkongsi gajet.

Murid sekolah rendah, terutama Tahap 1 juga masih memerlukan bimbingan ibu bapa untuk menyiapkan tugasan diberi guru. Mereka akan menghadapi masalah kefahaman jika tidak dibimbing ibu bapa, terutama ketika mengikuti sesi pembelajaran dalam talian.

Kekangan lain sesi pembelajaran hibrid adalah risiko penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar. Walaupun ada prosedur operasi standard (SOP), murid akan terlupa menjaga jarak fizikal, terutama ketika pulang dari sekolah.

Bagi murid menaiki bas atau van sekolah pula, amat sukar menjaga jarak selamat dalam kenderaan terbabit. Ini membimbangkan kerana murid sekolah rendah bawah 12 tahun tidak diberikan vaksin.

Kekangan lain dalam kalangan guru. Adakah mereka bersedia mengajar secara hibrid? Guru perlu mengemas kini dan mengadaptasi sesi pengajaran meliputi pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian.

Justeru, pertimbangan semua pihak, terutama pentadbir perlu bagi menjayakan pembelajaran hibrid.

Dr Farah Idayu Mohd Salleh,

Pensyarah Kanan Bahagian Pembangunan Pelajar, Universiti Kuala Lumpur, MITEC

Berita Harian X