Sabtu, 18 September 2021 | 10:30am
Pantai Chenang kembali bernyawa semula melalui program rintis Gelembung Pelancongan Langkawi. Langkawi mula menerima kedatangan pelancongan mulai 16 September selepas ditutup berikutan pandemik COVID-19. - Foto BERNAMA
Pantai Chenang kembali bernyawa semula melalui program rintis Gelembung Pelancongan Langkawi. Langkawi mula menerima kedatangan pelancongan mulai 16 September selepas ditutup berikutan pandemik COVID-19. - Foto BERNAMA

Terus patuh SOP setiap masa

MALAYSIA bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober ini seperti dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Endemik bermaksud kejadian penyakit sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat seperti denggi. Bagaimanapun, ini bukanlah petanda kita sudah bebas dan menang melawan virus ini.

Pemberian vaksin kepada rakyat antara usaha kerajaan memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung. Namun, ini bukan bermakna penerima vaksin tidak akan dijangkiti lagi.

Bilangan pesakit COVID-19 masih pada tahap tinggi walaupun terdapat penurunan harian. Terdapat segelintir masih degil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Contohnya, tiada penjarakan fizikal ketika di dalam kedai dan melebihi kapasiti ditetapkan. Ini pastinya akan menyumbang peningkatan kadar jangkitan kepada orang lain sekiranya ada antara pengunjung positif.

Terdapat juga sebilangan masyarakat hanya pandai menuding jari kepada kerajaan, sebaliknya diri sendiri tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Memandangkan pelbagai sektor dalam negara dibenarkan beroperasi, rakyat tidak boleh terlalu ghairah mengunjungi tempat sesak.

Baru-baru ini, foto dan aktiviti masyarakat yang terlalu teruja mengunjungi beberapa lokasi seperti sungai dan pusat beli-belah tular di media sosial selepas kerajaan mengumumkan peralihan fasa dua bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tidak salah jika pandai menjaga SOP dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal. Namun, seeloknya kita perlu bijak memilih tempat tidak ramai pengunjung bagi memastikan SOP dapat dilaksanakan lebih sempurna.

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai termasuk penerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan.

Elakkan kawasan sesak, amalkan kekerapan membasuh tangan, sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam tertutup dan pemakaian berganda amat digalakkan.

Masyarakat perlu lebih bijak berperanan dalam memastikan COVID-19 dapat dibendung. Pembukaan banyak sektor bukan bermakna kita bebas melakukan apa sahaja.

Bertindak lebih bijak dan sentiasa memastikan diri serta keluarga dalam keadaan selamat. Pastikan kita sentiasa memantau tahap kesihatan diri bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikurangkan.

Jika mempunyai tanda awal penyakit, disaran melakukan pengasingan kendiri di rumah dan segera mendapatkan nasihat doktor.

Langkah ini amat penting bagi memastikan penurunan kes secara konsisten berlaku setiap hari.

Sekiranya ada kenaikan kes dan kematian lebih tinggi selepas ini, tidak mustahil kita perlu berdepan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh itu, sangatlah penting untuk rakyat berganding bahu melawan COVID-19 dengan mematuhi arahan dan mengamalkan SOP dengan betul.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X