Jumaat, 17 September 2021 | 11:15am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Vape patut dicukai tinggi elak sistem kesihatan negara terjejas

KIRA-KIRA 11 tahun lalu, pasaran tempatan mula dimasuki sejenis rokok elektronik atau lebih dikenali vape.

Ia kemudian berkembang pesat menjadi industri dan kini, pasaran domestik produk berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM2.27 bilion.

Dalam tempoh beberapa tahun lagi, nilai pasaran industri yang kini membabitkan lebih 3,000 penggiat dalam pelbagai aktiviti berkaitan diramal mencecah RM10 bilion di Malaysia jika ada rangsangan munasabah diberikan kerajaan.

Rantaian pengeluaran vape sangat luas bermula aktiviti pengeluaran bahan mentah kepada pengilangan, peruncitan serta eksport dan import.

Pada 2019 sahaja, kajian mendapati RM450 juta dibelanjakan untuk membayar gaji kira-kira 15,000 pekerja dalam industri ini.

Hakikatnya, industri vape di Malaysia terlalu besar dan diramal terus berkembang pesat untuk dibiarkan tanpa kawal selia melalui penggubalan undang-undang atau peraturan khusus, termasuk dalam aspek percukaian yang seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Kini, negara dilanda kemelut ekonomi akibat penularan pandemik. Rizab negara menjunam mendadak selepas ratusan bilion ringgit digunakan untuk program pemangkin ekonomi.

Dalam keadaan sekarang, apa saja punca yang boleh menjana perolehan kerajaan perlu diberi perhatian menyeluruh, termasuk industri vape melalui rejimen percukaian bersesuaian.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Kementerian Kewangan mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan cukai untuk industri vape, namun kadarnya hanya 40 sen bagi setiap mililiter (ml). Ia dilihat terlalu rendah.

Apa yang lebih dikhuatiri jika kerajaan mengenakan cukai sama bagi cecair vape mengandungi nikotin dan tanpa nikotin. Walaupun cukai sama mudah diselenggara, namun hakikatnya ia akan membawa kesan amat buruk kepada sistem kesihatan negara.

Berdasarkan laporan komuniti vape di Malaysia, sekurang-kurangnya 95 peratus cecair vape dijual di pasaran negara ini mengandungi nikotin.

Jika cukainya rendah, bermakna kerajaan akan mendapat perolehan hasil yang rendah.

Mengikut Advokasi Jenama Runcit dan Dagang Malaysia (RTBA Malaysia), kerajaan dijangka memungut hasil lebih RM300 juta jika cukai ke atas vape dilaksanakan dengan sempurna, namun angka itu dipercayai lebih rendah berbanding hasil yang sepatutnya masuk ke kantung negara.

Hasil satu kajian lain baru-baru ini seperti dilaporkan media tempatan, cecair vape tidak dikenakan cukai di negara kita sekarang adalah bersamaan 12.5 bilion rokok.

Menurut seorang pegawai daripada syarikat Japan Tobacco International Bhd (JTI) seperti dipetik media, kerajaan boleh memungut cukai sekitar RM5 bilion jika industri vape dikenakan rejimen percukaian seperti ke atas industri rokok dan tembakau.

Langkah mengenakan cukai lebih rendah untuk vape boleh dianggap galakan awal untuk perokok bertukar kepada vape, namun apabila kadar cukai dikenakan rendah, perolehan cukai kerajaan juga jatuh dengan ketara.

Kadar 40 sen ke atas cecair vape antara paling rendah di dunia, berbanding kadar purata global kini sekitar 82 sen setiap ml. Filipina mengenakan kira-kira RM3.10 per ml dan Korea Selatan pula RM6.25 setiap ml.

Kadar cukai tinggi bukan saja meningkatkan perolehan kerajaan, malah menghantar mesej bahawa kerajaan tidak menggalakkan tabiat menghisap vape.

Sama seperti 'cukai dosa' (sin tax) dikenakan ke atas produk rokok, tembakau serta alkohol bagi mengelak rakyat terjebak atau mereka yang ketagihan rokok atau alkohol meninggalkan tabiat itu, cecair vape juga seharusnya dimasukkan dalam senarai sama.

Kadar cukai rendah akan menyebabkan harga produk turut menjadi murah, seterusnya melonjakkan permintaan, terutama dalam kalangan generasi muda yang rata-ratanya melihat vape sebagai trend terkini dan tidak begitu membebankan kewangan mereka.

Apa yang mereka tidak tahu, pengguna vape terdedah kesan kesihatan jangka panjang, manakala kerajaan hilang peluang untuk mendapatkan perolehan sebenarnya yang sangat diperlukan dalam usaha memulihkan ekonomi negara ketika ini dan pasca pandemik.

Nilai sekurang-kurangnya RM300 juta dijangka diperoleh melalui cukai ke atas industri vape sebenarnya sedikit berbanding berbilion terpaksa dikeluarkan kemudian hari, bagi membiayai kos perkhidmatan rawatan kesihatan mereka yang mungkin mengalami masalah akibat tabiat menghisap vape.

Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah. Lakukan sesuatu untuk mengawal budaya vape di Malaysia. Jangan digadai nasib bangsa, hanya untuk keuntungan dan kesenangan hari ini.

Cyberjaya

Berita Harian X