Khamis, 16 September 2021 | 11:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tarik minat masyarakat jayakan transformasi sektor pertanian

Tarik minat masyarakat jayakan transformasi sektor pertanian

SITUASI pandemik dalam negara semakin positif dan peluang ini perlu direbut pemain sektor pertanian bagi memastikan rantaian makanan terus berkembang.

Sudah sampai masanya pengeluaran makanan dibangunkan sebagai sektor moden berteknologi tinggi, berdaya saing dan komersial. Namun, kedudukan Malaysia sebagai pengeluar padi dan beras sebagai makanan ruji negara kini perlu disemak semula.

Malaysia hanya mampu memenuhi 70 peratus keperluan berbanding sasaran tahap sara diri (SSL) 75 peratus. Baki kekurangan masih diimport dari pelbagai sumber. Ia tidak boleh dipandang selesa kerana banyak perkara perlu ditambah baik.

Pada awal 2021, kita dikejutkan kejatuhan harga cili sehingga terdapat sebilangan kecil petani gulung tikar akibat tidak mampu menampung kos operasi. Penurunan harga mendadak disebabkan manipulasi orang tengah.

Persoalannya di manakah peranan agensi berkaitan dengan pertanian supaya kejadian ini tidak berlaku lagi?

Banyak perlu diberi perhatian pemegang taruh, seperti kebolehgunaan tanah pertanian, pengurusan tanah pertanian, kualiti benih dan baja, serangan perosak dan penyakit, kekurangan sumber air, usia majoriti petani, pesawah dan peladang, isu dalam pelaksanaan subsidi dan insentif kerajaan, masalah kekurangan data serta isu lain, termasuk kos pengeluaran pada peringkat rantaian pengeluaran.

Pihak bertanggungjawab wajib meneliti kembali Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) sebelum beralih ke Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030). Berdasarkan prestasi semasa, sektor agromakanan hanya mencapai pertumbuhan 3.1 peratus berbanding sasaran 5.4 peratus ditetapkan.

Penggunaan teknologi tinggi seperti dron, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan sistem data raya yang komprehensif dibantu pemikiran kritis, peningkatan penggunaan mekanisasi, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim serta amalan agronomik mapan, dapat mengubah landskap sektor agromakanan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Yang pasti, teknologi strategi utama mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing serta meningkatkan minat belia dan rakyat tempatan untuk menyertai sektor ini sebagai pengeluar dan usahawan.

Namun, kemodenan dirancang tidak akan berjaya jika masih terdapat sikap dan pemikiran negatif individu, komuniti, organisasi atau pihak berkepentingan terhadap pertanian itu sendiri.

Data terkini menyatakan 37 peratus pekerja dalam industri pertanian adalah tenaga kerja asing. Selain itu, kaedah pertanian secara konvensional dan kurang penggunaan mekanisasi dan automasi, perlu diberi perhatian supaya sektor pertanian kita tidak 'dijajah' buruh asing yang masih mampu melaksanakan kaedah konvensional.

Masyarakat setempat yang sudah berumur pula tidak berupaya menjalankan pertanian konvensional ditambah pula tiada minat kalangan belia untuk mengambil tempat dalam sektor pertanian.

Beberapa cadangan bagi menarik minat belia dan masyarakat setempat untuk menceburi bidang pertanian seperti berikut:

l Memperkasakan farmers field school (FFS) ke semua peringkat penanaman.

l Pemberian inisiatif dan sistem subsidi bersasar.

l Mewujudkan pengeluaran pertanian secara kelompok.

l Membangunkan peranti dan aplikasi lebih sistematik untuk dijadikan rujukan petani, pesawah dan peladang.

l Penggunaan teknologi digital menerusi pertanian pintar, kecekapan serta produktiviti sektor ini juga dapat dipertingkatkan.

l Pemberian gajet dan teknologi untuk berkongsi kejayaan serta cabaran dalam melaksanakan pertanian bandar bersama rakan sosial.

Namun beberapa isu perlu diberi perhatian untuk membantu petani, pesawah dan peladang. Isu pertama berkaitan monopoli sektor pertanian khususnya berkaitan benih padi.

Perkara ini perlu diberi perhatian supaya tidak membebankan pesawah dan monopoli perlu dicairkan agar lebih ramai pihak dapat bersaing secara sihat dan akhirnya dapat memberikan harga kompetitif kepada pesawah.

Kementerian juga perlu menjalankan peranan dan tugas sebagai pendukung dan pemudah cara bagi menggiatkan usaha meningkatkan tahap pengeluaran makanan negara dengan menangani cabaran dihadapi ekosistem pertanian negara, seterusnya memperkukuh rantaian bekalan makanan.

Agensi pertanian di bawah kementerian pula perlu memberikan informasi lebih komprehensif kepada usahawan tani khususnya dalam menyalurkan maklumat dan perkhidmatan disediakan mereka.

Antaranya maklumat berkenaan lokasi yang memerlukan barang dibekalkan usahawan tani serta maklumat lain yang boleh digunakan usahawan tani untuk membantu meningkatkan penjualan produk pertanian dan seterusnya mengembangkan perniagaan masing-masing.

Kerajaan juga perlu berterusan menyokong petani, nelayan dan penternak dengan menyediakan dana bersesuaian.

Ikatan Ilmuan Nasional

Berita Harian X