Selasa, 14 September 2021 | 11:00am

Pensyarah muda perlu berani cabar kemampuan diri

Bagi seorang pensyarah muda atau felo siswazah, menamatkan pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) adalah permulaan bagi kerjaya yang mempunyai pelbagai sasaran tahunan yang perlu dipenuhi.

Markah prestasi diukur dari pelbagai aspek seperti pengajaran, penulisan jurnal berimpak tinggi, geran penyelidikan yang berjaya diraih, penghasilan produk inovasi, jawatan pentadbiran, penyeliaan pelajar pascasiswazah, pembentangan kertas kerja di persidangan, sumbangan kepada masyarakat dan lain-lain tugasan pada peringkat universiti, industri serta masyarakat.

Memenuhi segala tuntutan kerja itu bukan sahaja memerlukan kerjasama pasukan atau bimbingan pensyarah yang berpengalaman dan sokongan pihak pentadbiran, tetapi lebih penting adalah usaha, komitmen, keyakinan dan sikap berani mencuba pensyarah muda itu sendiri.

Kegusaran kepada potensi diri sendiri adalah perasaan normal yang dirasai oleh ramai pensyarah muda. Antara kerisauan yang sering timbul adalah: "Adakah saya mampu untuk menulis kertas penyelidikan untuk jurnal berimpak tinggi? dan "adakah idea penyelidikan ini layak untuk menerima geran?"

Semua persoalan ini hanya akan terjawab apabila penulisan penyelidikan itu dihantar kepada editor jurnal dan apabila idea penyelidikan itu dihantar kepada penaja geran.

Sekiranya hasil penulisan dan idea penyelidikan itu berjaya diterima, sudah pasti ia adalah satu kejayaan yang perlu dibanggakan. Sebaliknya, jika gagal, ia adalah satu proses pembelajaran.

Penolakan editor dan komen pedas daripada panel penilai adalah lumrah dalam kerjaya seorang pensyarah.

Walaupun perasaan kecewa dan sedih menyelubungi diri, emosi itu tidak boleh dibiarkan terlalu lama. Diri perlu segera bangkit untuk membaiki kesilapan dan berusaha untuk menghasilkan yang terbaik.

Timbalah ilmu dari pelbagai sumber, gunakanlah pelbagai perisian komputer yang dapat menambah baik mutu penulisan dan bekerjasama dengan pensyarah yang berpengalaman.

Jangan berterusan meragui keupayaan diri sendiri dan terjerat dengan persoalan 'bolehkah saya?', 'mampukah saya?' atau 'layakkah saya?'

Kegagalan terbesar dalam hidup adalah tidak mencuba. Oleh itu pensyarah muda perlu bertindak untuk realisasikan idea dan mencabar potensi diri untuk mendapat kejayaan yang lebih tinggi.

Sikap proaktif bukan sahaja membantu mencapai sasaran kerja, malah ia menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat. Selain itu, sebagai seseorang pendidik kepada bakal graduan dan generasi hadapan negara, pensyarah perlu menjadi 'suri teladan' yang tidak gentar dengan pelbagai cabaran, berinovasi dan mempunyai keyakinan diri.

Prof Madya Dr Izlawanie Muhammad,

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X