Selasa, 31 Ogos 2021 | 10:55am
Semangat meraikan Hari Kebangsaan tetap terserlah walaupun dalam norma baharu. - NSTP/Aswadi Alias
Semangat meraikan Hari Kebangsaan tetap terserlah walaupun dalam norma baharu. - NSTP/Aswadi Alias

Semangat juang rakyat kekal tinggi harungi cabaran pandemik

SUDAH dua kali kita meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu akibat COVID-19. Jika direnung kembali, memang banyak ketidakpuasan hati, kemarahan, dan kegusaran kita rasakan sepanjang 18 bulan lalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac tahun lalu.

Ini semua mungkin menyebabkan kita berputus asa dan kurang rasa bangga sebagai rakyat. Namun, masih banyak lagi hal baik yang berlaku di sekitar kita boleh kita banggakan dan bersyukur.

Pertama, kesungguhan rakyat seperti jelas ditunjukkan menerusi kepantasan kadar vaksinasi dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Disebabkan kesungguhan kerajaan mendapatkan pelbagai jenis vaksin dan mempercepatkan proses vaksinasi, khidmat jangkauan komuniti, komitmen petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta kerjasama rakyat mendaftarkan diri, sudah lebih 60 peratus populasi dewasa di Malaysia menerima dua dos vaksin COVID-19.

Kita sepatutnya berbangga kerana kadar vaksinasi COVID-19 di negara ini adalah terpantas di dunia, yang tidak mungkin dapat dicapai tanpa kesungguhan kita semua.

Kedua, sifat tidak mementingkan diri sendiri dalam kalangan rakyat terutama petugas barisan hadapan. Kita sangat bersyukur dan berbangga dengan mereka mempertaruhkan nyawa untuk memastikan keselamatan kita semua.

Lihat sahaja polis berkawal di pos sekatan jalan raya, petugas di PPV dan Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) dan doktor serta petugas kesihatan di wad kecemasan yang sabar menangani kes dan masalah kesihatan lainnya.

Mereka berkorban untuk kebaikan negara ini tanpa terlalu memikirkan diri sendiri serta isu perjawatan yang sekian lama diperjuangkan. Walaupun tampuk pemerintahan negara bertukar, mereka boleh diharapkan untuk menjaga, mempertahankan dan menyelamatkan kita.

Ketiga, kemurahan hati kita semua seperti terlihat sepanjang pandemik ini, terutama menerusi pengwujudan bank makanan di merata tempat, selain kempen #BenderaPutih dijalankan orang awam untuk membantu keluarga menghadapi masalah terputus bekalan makanan dan keperluan asas akibat kehilangan sumber pendapatan disebabkan tempoh PKP berterusan.

Mereka mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga bagi mengumpul dana serta mengagihkan makanan dan keperluan asas tanpa mengharapkan balasan. Malah, laporan World Giving Index 2021 juga mengiktiraf kemurahan hati rakyat Malaysia yang 55 peratus dilaporkan membantu mereka tidak dikenali dan 45 peratus lagi mendermakan wang kepada badan kebajikan secara berkala.

Keempat, semangat kita sebagai rakyat kekal membara. Di sebalik ujian besar, kehilangan orang tersayang, penutupan perniagaan keluarga dan kehilangan sumber pendapatan kerana COVID-19, kita tidak pernah berputus asa.

Mereka yang kehilangan sumber pendapatan, meneroka peluang baharu perniagaan dalam talian dan menyertai kegiatan ekonomi gig seperti menawarkan servis penghantaran barangan dan makanan.

Meskipun bilangan kes dan jumlah kematian akibat COVID-19 di negara kita kekal tinggi, sebahagian besar kita tetap bersemangat serta kekal positif menantikan khabar gembira penurunan statistik ini.

Majoriti juga kekal bersemangat dalam mengamalkan norma baharu COVID-19, SOP serta penjarakan fizikal meskipun menerima dua dos lengkap vaksin.

Malaysia masih menjadi negara boleh kita banggakan. Benar kita sedang menghadapi krisis hebat yang tidak pernah dijangkakan selama ini. Namun, ia bukan sebab untuk berputus asa dengan Malaysia. Ia juga tidak bermakna kita harus kehilangan semangat juang untuk mengembalikan Malaysia seperti sedia kala atau menjadikannya lebih baik pada masa depan.

Jika ada yang salah, kita perbaiki. Jika ada yang gagal, akan selalu ada peluang untuk kita sebagai rakyat untuk bersama-sama mencuba lagi. Tetaplah bersyukur walau dalam sekecil-kecil sekalipun dan berbanggalah dengan negara kita, sambil terus berjuang untuk Malaysia.

Selamat Hari Kebangsaan yang ke-64. Semoga Tuhan terus merahmati negara tercinta ini.

Mohamad Syafiq Ya Shak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan pandangan dan membuat membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X