Sabtu, 28 Ogos 2021 | 11:00am
gambar hiasan
gambar hiasan

Bersama 'merdeka' daripada pandemik

Tanggal 31 Ogos 1957 detik bersejarah buat negara dengan tujuh kali laungan 'Merdeka' oleh Tunku Abdul Rahman berkumandang di Stadium Merdeka.

Menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat bukan mudah. Pernah dijajah 446 tahun, perjuangan perit generasi lalu perlu kita sentiasa hayati bersama.

Jika dahulu kita melawan penjajah, hari ini kita melawan virus tidak dapat dilihat mata kasar.

Negara akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 dengan tema 'Malaysia Prihatin'. Prihatin bermaksud mengambil berat dengan memberi perhatian serta cakna terhadap sesuatu perkara.

Tema 'Malaysia Prihatin' bermaksud kebersamaan rakyat Malaysia, berganding bahu memerangi dan melawan COVID-19.

'Malaysia Prihatin' menuntut semua warga Malaysia terdiri pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa, supaya prihatin terhadap sejarah tanah air dengan mempelajari, memahami, menghayati dan menghormati sejarah negara.

Ia akan dapat membantu penyatuan dan perpaduan warga, supaya menjadi warga yang bersatu teguh, menumpahkan taat setia kepada Raja dan negara dalam semangat 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.

Cabaran negara dalam mendepani tahun mendatang adalah dalam situasi yang amat sukar akibat kesan pandemik COVID-19 ini.

Cabaran terhadap persekitaran dan pembangunan negara dari sudut ekonomi, sosial dan keselamatan juga amat besar. Bahkan lebih terkesan lagi dari sudut kesihatan jasmani, jiwa dan mental rakyat negara ini.

Namun, kita perlu istiqamah dan bertekad untuk menangani krisis serta melawan COVID-19. Marilah kita mengucapkan syukur kerana mampu mengecapi nikmat kemerdekaan dan keamanan.

Bersesuaian tema kemerdekaan, sebagai rakyat Malaysia sikap dan semangat prihatin dapat direalisasikan dengan semua pemimpin dan rakyat, menunjukkan sikap toleransi untuk bersama-sama berhadapan situasi sukar dengan menghulurkan bantuan dan sokongan.

Usaha kerajaan dan barisan hadapan banyak dilakukan sejak negara berdepan pandemik. Kita perlu sedar kejayaan dalam perjuangan menentang dan menghapuskan pandemik mampu ditangani dengan kerjasama semua pihak.

Pada masa sama, kita terus berdoa supaya seluruh negara dirahmati dan dilindungi daripada segala ancaman serta penularan wabak COVID-19.

Marilah bersama-sama berganding bahu memastikan negara dapat menghapuskan cengkaman pandemik yang berlanjutan ke tahun kedua sejak penularan pada awal 2020.

Dengan kesedaran, kepekaan dan keprihatinan tinggi terhadap wabak ini, tidak mustahil kita dapat mengharungi dan menghapuskan wabak COVID-19.

Mohd Yakop Ikram,

Ipoh, Perak

Berita Harian X