Jumaat, 20 Ogos 2021 | 10:31am
Generasi muda perlu diberi ruang menjadi penggerak penting dalam pembangunan, politik dan ekonomi. - NSTP/Azhar Ramli
Generasi muda perlu diberi ruang menjadi penggerak penting dalam pembangunan, politik dan ekonomi. - NSTP/Azhar Ramli

Ketengah generasi muda mencorak masa depan negara

PERUBAHAN sering menjadi kayu ukur generasi muda untuk menilai landskap politik negara. Keyakinan mereka terhadap sistem demokrasi dipengaruhi tindak-tanduk ahli politik sendiri.

Berdasarkan luahan di media sosial, generasi muda tiada masalah dengan demokrasi, tetapi faktor ahli politik buatkan mereka tidak lagi percaya dengan sistem itu.

Mereka kecewa dengan demokrasi, malah ada tidak mahu lagi terbabit dalam pilihan raya kerana menganggap tidak memberi kesan kepada tindakan dan keputusan di Parlimen. Penurunan keyakinan ini disebabkan jurang ketidaksamaan antara generasi dalam politik.

Generasi muda perlu diberi ruang menjadi penggerak penting dalam pembangunan, politik dan ekonomi. Generasi lama perlu bekerjasama membantu mereka mencorakkan masa depan negara.

Cara lama di negara ini sudah kurang relevan, bahkan sudah tiba masa Malaysia membuka peluang seluas-luasnya kepada generasi pelapis sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, bidang ekonomi mahupun politik. Peredaran masa harus disertai idea termaju dan perubahan cara kerja lebih segar. Sudah tiba masanya politik Malaysia memberi perhatian kepada generasi muda sebagai pencetus pembaharuan. Mereka perlu menjadi penggerak penting pada usia muda mereka.

Jika negara maju mempunyai Perdana Menteri dan Presiden berusia 35 tahun, Malaysia tidak seharusnya menafikan potensi pemimpin pelapis.

Ahli politik mesti berhenti memandang generasi muda sebagai pengganti. Individu berpotensi kepemimpinan perlu diberi ruang. Bukan tugas ahli politik menunda peranan mereka dalam politik dan kepemimpinan parti serta negara.

Bahayanya bukan sekadar ahli politik tidak sedar mengenai hal ini, bahkan generasi muda semakin terasing dan terpinggir. Bagi melakukan perubahan jangka panjang, generasi muda perlu terbabit dalam proses politik rasmi dan memiliki suara merumuskan politik hari ini serta masa depan.

Penyertaan politik inklusif bukan sahaja hak asasi politik dan asas demokratik, bahkan membangunkan masyarakat stabil serta damai, sekali gus merangka dasar memenuhi keperluan khusus generasi muda. Ekonomi Malaysia tidak boleh selesa dan berpuas hati dengan struktur lama. Fasa ekonomi masa depan perlu berorientasi global dipacu teknologi termaju hasil cetusan idea generasi muda.

Kerajaan perlu berperanan sebagai pemudah cara mengetengahkan generasi muda. Tidak menafikan hak dan pengalaman pemain politik veteran, tetapi tiba masanya mereka mengundur selangkah dan memberi laluan kepada generasi muda.

Pemimpin veteran perlu menjadi penasihat kepada golongan pelapis ini selepas lebih enam dekad bermain di gelanggang politik. Tanpa ekosistem mendukung aspirasi dan suara generasi muda ini, idea terbaik mereka akan dibazirkan dengan demonstrasi di jalanan hanya kerana kita gagal beranjak dan berubah sesuai zaman dan masa.

Ramai generasi muda pintar dan berpendidikan, selain mempunyai tahap kesedaran tinggi. Sekiranya mengambil bahagian dalam politik, mereka mampu memperkayakan dengan idea baharu. Generasi muda mampu mengubah negara melalui politik dengan terbabit secara aktif, substantial dan penuh bermakna dalam parti politik.

Sudah tentu cara mewujudkan masa depan sejahtera bagi negara adalah mempromosikan penyertaan dan pembabitan generasi muda dalam politik. Mereka menjadi bahagian penting dalam mana-mana sistem demokrasi, termasuk Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Melaka

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X