Isnin, 30 November 2020 | 12:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Berbakti pada tanah capai pembangunan lestari

MATLAMAT pembangunan lestari (SDG) meliputi pembangunan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dengan penggunaan sumber yang bijaksana dan memastikan pemuliharaan terhadap alam sekitar dilaksanakan dengan sebaik mungkin untuk melihat hasilnya.

Antara matlamat penting pembangunan lestari dipersetujui ialah pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan daratan.

Ketika ini, semua lapisan masyarakat digalak menjalankan aktiviti pertanian. Sebagai contoh, mengusahakan tanah dengan menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran, pokok bunga dan tanaman hiasan.

Pertanian boleh dilakukan di kawasan sesuai seperti tapak lapang di halaman ataupun belakang rumah. Jadi, tidaklah kawasan itu terbiar begitu sahaja, malah manfaatnya cukup besar kepada diri dan orang sekeliling.

Aktiviti pertanian dapat mengisi masa terluang dengan perkara berfaedah serta dapat mengurangkan tekanan dan perasaan bosan. Malah, masyarakat tidak akan terjerumus dalam gejala sosial tidak sihat seperti merokok, melepak, berjudi dan menagih dadah.

Pada masa sama, perbelanjaan harian juga dapat dijimatkan kerana tidak perlu membeli sayur-sayuran dan buah-buahan di pasar. Jika melihat sudut kesihatan, bagaimanakah masyarakat hendak memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan dibeli di pasar adalah baik dan bebas bahan kimia?

Justeru, aktiviti pertanian amatlah penting supaya masyarakat lebih cakna mengenai makanan diperoleh dalam kehidupan seharian.

Selain itu, penanaman herba seperti halia dan serai wangi pula dapat membantu dijadikan ubat ketika sakit.

Tambahan lagi, aktiviti pertanian dapat memberi peluang kepada masyarakat di rumah untuk berkongsi rezeki diperoleh daripada hasil tanaman mereka bersama jiran dan penduduk yang tinggal berjiran.

Ini secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim dan memupuk suasana harmoni dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, ia juga dapat membantu mencapai matlamat pelestarian dengan menjalankan aktiviti pertanian secara perkongsian. Sebagai contoh, berkongsi tanah bersama jiran dan mengusahakan tanaman bersama sama.

Hasil diperoleh dapat dimanfaatkan dan dikongsi bersama. Hal ini sangat bersesuaian dengan matlamat pelestarian iaitu rakan kongsi mencapai matlamat kelestarian.

Jelas di sini bahawa aktiviti pertanian sangat membantu mencapai matlamat kelestarian dan aktiviti ini harus dipraktikkan dan dikekalkan dalam kehidupan masyarakat.

Melalui pertanian juga, masyarakat akan lebih mesra dengan alam sekitar dan menjaganya dengan lebih baik. Masyarakat dapat berbudi kepada tanah dan memulihara ekosistem daratan.

Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu menjaga alam sekitar dengan baik supaya dapat mencapai sasaran SDG.

Kesannya, masyarakat dapat menghirup udara segar dan menikmati kehijauan alam sekitar.

Realitinya, alam sekitar perlu dijaga dengan sebaik mungkin supaya generasi akan datang juga dapat memperoleh manfaat yang sama.

Nur Safia Izzani Jamalludin, Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berita Harian X