Selasa, 27 Oktober 2020 | 8:16am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Terap ilmu pengurusan kewangan pada usia muda

PENGURUSAN kewangan berhemat dalam kalangan rakyat berada pada tahap membimbangkan. Individu gagal mengurus kewangan, lebih cenderung mempunyai masalah kewangan dan diisytiharkan muflis.

Seperti cendawan tumbuh selepas hujan, golongan muda yang baru bekerja memilih menggunakan kad kredit untuk memenuhi kehendak berbelanja melebihi kemampuan.

Natijahnya, ramai antara mereka diisytiharkan muflis pada usia muda. Pelbagai persoalan berlegar di benak kita kenapa isu ini terjadi dan seharusnya didepani sebaik mungkin.

Masalah muflis dalam kalangan generasi muda suatu isu polemik yang hangat diperkatakan dalam media sosial kebelakangan ini. Warga Kementerian Pelajaran (KPM) diwajibkan mengikuti kursus dianjurkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) secara dalam talian ketika Perintah kawalan Pergerakan Mac lalu.

Matlamat kursus untuk memberi pendidikan pengurusan kewangan berhemat dalam kalangan warga pendidik.

Dalam pada itu, KPM mengambil langkah drastik memperkenalkan topik baharu dalam kurikulum Matematik iaitu Matematik Pengguna: Simpanan Pelaburan, Kredit dan Hutang.

Pada tahun pertama topik ini diperkenalkan, ramai guru subjek itu memberi respon negatif atas alasan kurang penguasaan kandungan pedagogi berkaitan topik. Namun itu bukan alasan guru berputus asa dalam memberi pengajaran terbaik kepada anak didik.

Pelbagai inisiatif diambil guru untuk memperkayakan pengetahuan dalam menyampaikan ilmu. Bak kata pepatah 'kalau tak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya'.

Jika ditelusuri topik Matematik Pengguna ia mengetengahkan perkara yang sangat sinonim dengan kehidupan seharian kita. Secara umumnya murid akan diajar berkaitan jenis simpanan dan pelaburan.

Pada awal usia mereka mengetahui pelbagai jenis pelaburan seperti pelaburan saham, hartanah dan amanah saham. Apa yang menarik perhatian terdapat juga perbincangan mengenai kebaikan dan keburukan penggunaan kad kredit serta pinjaman peribadi.

Pada akhir pengajaran, murid diharapkan dapat mengaplikasi dan menilai sendiri pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan berhemat untuk masa depan mereka.

Pembelajaran Matematik Pengguna tidak terhenti hanya di Tingkatan Tiga, tetapi diteruskan ke tahun berikutnya melalui Pengurusan Kewangan dan ketika Tingkatan Lima pula melalui topik berkaitan percukaian.

Pengajaran dan pembelajaran topik Matematik Pengguna banyak menerapkan soalan penyelesaian masalah yang memerlukan murid berfikir di luar kotak.

Cara ini dapat mendidik murid mengamati kesan baik dan buruk hasil pengurusan kewangan tidak berhemat. Dapat diperhatikan usaha KPM mendepani masalah literasi kewangan dalam kalangan generasi muda, namun usaha ini jadi sia-sia jika tiada kolaborasi erat ibu bapa, guru dan pelajar.

Keluarga terutama ibu bapa adalah ejen sosialisasi dalam mendidik anak mengenai pengurusan kewangan berhemah. Rentetan itu, terdapat kebimbangan jika ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup berkaitan literasi kewangan, mereka tidak dapat memberi didikan sewajarnya kepada anak-anak.

Nooraini Awang Jambol,
Pelajar Sarjana Matematik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X