Isnin, 14 September 2020 | 8:30am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Ketegasan Kerajaan Pahang pulih kembali Sungai Ichat

KETEGASAN Kerajaan Pahang menangani isu penerokaan tanah haram ramuan utama kejayaan memulihkan kembali Sungai Ichat (daripada tercemar teruk Kelas 4) dalam kawasan tadahan air Terla di Cameron Highlands.

Ini disemarakkan keberangkatan Yang di- Pertua Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, meninjau kawasan itu pada 7 September 2019.

Ketika itu, baginda bertitah, "Kerajaan Pahang memang memandang serius perkara ini. Sebab itu tindakan meroboh dan ambil balik tanah (yang diceroboh) dipergiatkan dan Kerajaan Pusat sedang memerhati serta menyokong tindakan ini".

Hasilnya, tidak sampai satu setengah tahun sejak Februari 2019, Sungai Ichat, satu daripada dua sungai yang mengalir dalam kawasan tadahan air Terla, Mukim Ulu Telom, kini pulih dengan kandungan air mentahnya Kelas 1.

Ini pun tanpa mengambil kira tempoh kira-kira enam bulan kerja penguatkuasaan terpaksa dihentikan susulan keputusan injunksi Mahkamah Tinggi Kuantan yang dimohon pekebun haram terbabit, bermula April hingga akhir September 2019.

Tempoh satu setengah tahun ini adalah satu tempoh singkat berdasarkan jangkaan tiga tahun oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Ishak.

Sebelum ini, pencemaran teruk Kelas 4 Sungai Ichat menyebabkan rancangan asal menjadikannya penyumbang air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla bersama-sama Sungai Terla, tidak dapat dilakukan.

Kini Sungai Ichat dengan sumbangan Sungai Terla sedia ada, boleh menjadi penyumbang air mentah mencukupi untuk diproses LRA Kuala Terla menjadi air terawat bagi keperluan 70 peratus penduduk Cameron Highlands.

LRA Kuala Terla mula beroperasi 2007 sebenarnya, berkapasiti memproses antara 780 meter padu sejam hingga 800 meter padu sejam.

Namun, dengan Sungai Ichat yang tercemar lalu bergantung kepada cuma kepada Sungai Terla menyebabkan LRA ini hanya mampu memproses dan merawat antara 480 meter padu sejam hingga 550 meter padu sejam sahaja.

Bagi memastikan Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom ini terus terpelihara, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada 13 Mac 2019 lagi, meluluskan pewartaan kawasan terbabit dengan keluasan 121.12 hektar sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat.

Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok bagi tujuan pemuliharaan, segera dilaksanakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sebaik tindakan penguatkuasaan selesai.

Selepas Ops Lestari 1 pada 23 Februari 2019, JPNP memulihkan 16 hektar kawasan Sungai Ichat, dengan penanaman 13,615 anak pokok daripada spesies Cupressus, Meranti Bukit, Merawan Siput Jantan, Rhu, Petai, Damar Minyak dan Gerok.

Susulan Ops Lestari 2 pada 23 Disember 2019 pula, JPNP mengambil tindakan pantas menanam 4,000 pokok daripada spesies Damar Minyak, Merawan Siput Jantan dan Meranti Bukit, membabitkan kawasan seluas kira-kira 9.75 hektar.

Tindakan pantas ini bertujuan mengelakkan pekebun terbabit melakukan semula aktiviti mereka dalam kawasan itu.

Selain itu, tiga aktiviti 'CEPA' atau Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam dilaksanakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan universiti tempatan membabitkan Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang, Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Hasilnya, seluas 12.25 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat dipulihkan dengan menanam 11,200 anak pokok daripada pelbagai spesies.

Sehingga kini, seluas 38 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat dipulihkan melalui penanaman 28,815 anak pokok. Baki kawasan belum ditanam akan diteruskan secara kontrak.

Kunci utama adalah ketegasan dan tindakan susulan secara penuh komited bagi menjayakan aspek pemuliharaan dan pemeliharaan di Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands.

Inilah ramuan yang terbukti berjaya akan terus diguna pakai dan dijayakan kerajaan negeri dalam menangani banyak lagi isu penerokaan tanah haram di negeri ini.

Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali
Kuantan

Berita Harian X