Selasa, 25 Ogos 2020 | 11:30am
PENGAWAL Keselamatan Norasiah Shamsuddin membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 yang akan disambut pada 31 Ogos ini. - Foto BERNAMA
PENGAWAL Keselamatan Norasiah Shamsuddin membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 yang akan disambut pada 31 Ogos ini. - Foto BERNAMA

Kebebasan bersuara ikut acuan sendiri

TAHUN ini, Malaysia Prihatin dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang memberi tumpuan terhadap usaha usaha membendung wabak COVID-19. Selain itu, rakyat juga perlu bertindak proaktif terhadap usaha usaha kerajaan merangkumi aspek ekonomi dan perihal kebajikan lain.

Penulis tertarik dengan ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020.

"Malaysia Prihatin perlu kita sematkan dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Hatta, 'perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan' mensyaratkan setiap individu untuk bersikap bertanggungjawab sebagai warganegara patriotik. Ini termasuk memahami makna kebebasan dalam nikmat kemerdekaan dikecapi dengan sudut pandang benar dan sahih.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah bertitah: "Umat Islam diseru memenuhi tanggungjawab moral, menggunakan daya intelek kurniaan Illahi untuk mencetuskan cadangan dan pandangan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah. Islam membenarkan kebebasan bersuara tetapi kebebasan tersebut wajib dikembarkan dengan tanggung jawab."

Secara langsung, seruan baginda menuntut umat Islam untuk berakal panjang dengan melihat kebebasan bersuara dalam pandangan alam Islam. Oleh itu, faham kebebasan yang benar dapat dicapai melalui budaya ilmu dengan pembacaan yang baik.

Misalnya ilmuwan disegani, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya, Risalah untuk Kaum Muslimin menjelaskan kebebasan dalam Islam bermaksud menyerahkan diri jasmani untuk tunduk takluk kepada diri rohani.

Amalan itu, menurut al-Attas, dapat dilakukan dengan cara mematuhi undang-undang dan hukum akhlakiah yang ditetapkan agama.

Kebebasan juga terkait dengan hakikat kemuliaan penciptaan manusia sebagai 'al-hayawan al-natiq,' iaitu 'hidupan yang bertutur' kerana manusia dimuliakan kerana kurniaan akal untuk bertutur dengan tertib. Hatta, setiap niat dan ucapan disampaikan mensyaratkan setiap individu berfikir untuk berbicara menuruti kehendak agama.

Kebebasan bersuara, jika dilihat semata-mata sebagai 'ruang menzahirkan idea atau pandangan' tanpa epistimologi dan adab tertib betul menyalahi akan hakikat fitrah manusia. Kegagalan menjaga adab berbicara ini kemudiannya akan menyebabkan timbulnya persengketaan dan salah faham, malah lebih membimbangkan apabila kebencian semberono antara kaum tersemai kerana kandungan ucapan berbaur hasutan dan fitnah.

Sudah tentu, kebebasan bersuara yang liar biadap perlu dielakkan lebih-lebih lagi ketika negara berada dalam keadaan genting bagi fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Terpampang jelas di mata kita ketika berdepan dengan gelombang pandemik COVID-19 yang menuntut kita cermat memilih berita dan ruang memberi pendapat berwibawa. Ini penting sebagai panduan dan rujukan untuk memilih tindakan dengan betul dalam menggembleng tenaga memutuskan rantaian jangkitan.

Ahli ekonomi Amerika Syarikat, Prof Jeffrey D Sachs, dalam makalahnya, The East-West Divide memuji negara di Asia yang mengawal jangkitan COVID-19 melalui penjarakan fizikal, perkhidmatan awam kesihatan dan tegas-bertanggungjawab dalam amalan normal baharu.

Dalam konteks Malaysia, amalan ini terjelma daripada budaya Timur yang wajar dicontohi Barat termasuklah beradab tertib dalam menyuarakan pendapat.

Kebebasan bersuara yang betul turut membabitkan budaya penulisan media. Penulisan baik bersandarkan agama akan bersifat mendidik dan menyampaikan maklumat benar. Malah, kreativiti penulis yang baik juga membuka akal pembaca untuk menghayati dan berfikir terhadap kandungan perbincangan penulisan.

Usaha ini dapat dilihat dari teladan Tan Sri Johan Jaaffar dalam bukunya, Nota Kaki. Buku ini ialah himpunan 206 rencananya dari kolum Nota Kaki di akhbar Utusan Malaysia sekitar 1994 hingga 1998. Selain itu, kolum beliau, Di Luar Lingkaran dalam BH dahulu juga mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.

Gaya penyampaiannya bersahaja namun sarat maklumat segar dan lampiran buah fikir penulis terkenal tempatan dan antarabangsa. Usaha beliau secara langsung memberi semangat kepada pembaca untuk meluaskan daya pembacaan. Penulisan baik akan menjadi rujukan sebagai panduan kepada generasi untuk menghasilkan penulisan kreatif.

Kesimpulannya, kita berharap kebebasan bersuara dapat difahami dengan tepat dengan acuan sendiri. Nikmat kemerdekaan dengan hidup pelbagai bangsa dan agama mensyaratkan diri kita untuk berbicara dengan baik bagi memastikan negara berjaya pulih dari dugaan wabak dan ekonomi serta menyemai perpaduan antara kaum.

Muhammad Mohamad Idris

Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X