Khamis, 9 Julai 2020 | 7:55am

Didik rakyat hormati prinsip Rukun Negara

Hari ini, Perdana Menteri akan melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara bertempat di Dewan Taklimat, Aras 1, Blok Timur, Bangunan Perdana Putra.

Rukun Negara diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1970 bersempena Sambutan Kemerdekaan Ke-13. Rukun Negara dirangka hasil rundingan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang mengandungi lima prinsip.

Rukun Negara ini diisytiharkan setahun selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Tragedi ini menjadi titik hitam buat negara kerana menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.

Persoalan timbul, selepas 50 tahun Rukun Negara diisytiharkan, adakah rakyat masih lagi menyanjung dan memberikan penekanan terhadap kepentingannya?

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan penerbitan sebuah buku yang menghina Jata Negara. Tindakan itu sama ada sengaja atau tidak, banyak pihak terguris dengan penerbitan buku berkenaan kerana menghina lambang rasmi negara.

Sebenarnya, banyak perkara berlaku saban tahun yang menunjukkan betapa rakyat Malaysia tidak memandang serius terhadap Rukun Negara.

Antara yang sering kedengaran ialah penghinaan terhadap lagu Negaraku. Rentak ditukar dan dinyanyikan dengan bukan bahasa kebangsaan serta lirik ditukar dengan tujuan menghina lagu Negaraku. Hal ini jelas menunjukkan betapa terdapat golongan yang cuba mengingkari prinsip dan kedaulatan Rukun Negara.

Bukan itu sahaja, ramai yang menggunakan media sosial untuk menunjukkan sifat sebenar mereka. Ya, Malaysia memberikan hak kebebasan kepada rakyatnya untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka namun perlu menjaga tatasusila dan adab ketimuran.

Hal berkaitan negara seperti lagu Negaraku, Jalur Gemilang dan Jata Negara seharusnya tidak dijadikan sebagai satu agenda yang boleh dipermainkan.

Kritikan dan penghinaan sering berlaku di media sosial. Kadang-kadang, ada yang sanggup menggunakan akaun palsu semata-mata ingin menghina dan merendahkan kedaulatan negara. Hal ini tidak sepatutnya berlaku.

Keadaan ini menunjukkan semakin hari Rukun Negara tidak dipandang serius oleh masyarakat. Usaha perlu dilakukan bagi memastikan rakyat menghormati setiap prinsip Rukun Negara. Tindakan keras perlu diambil kepada mereka yang menghina dan merendahkan Rukun Negara.

Ikrar Rukun Negara mungkin perlu kembali dibaca pada majlis rasmi. Suatu ketika dahulu, setiap perhimpunan pagi di sekolah akan dimulakan dengan bacaan ikrar Rukun Negara. Ini secara tidak langsung mengingatkan setiap pelajar kepentingan setiap prinsip yang terkandung dalam rukun negara.

Semoga Sambutan 50 Tahun Rukun Negara dapat menyedarkan seluruh rakyat betapa pentingnya penghayatan prinsip Rukun Negara.

Mohd Nazrullah Abdul Aziz,
Setapak, Kuala Lumpur

Berita Harian X