Selasa, 7 Februari 2023 | 1:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Diskriminasi pendidikan sekat pengembangan potensi pelajar

Dalam amalan pendidikan seharian, tidak dapat dinafikan wujud amalan dan unsur diskriminasi sama ada disedari atau tanpa disedari, khasnya di sekolah.

Perkara ini pahit untuk ditelan tetapi perlu diberi perhatian pihak berwajib supaya amalan menjurus kepada diskriminasi dalam pendidikan ini dapat dikekang.

Diskriminasi dan stigma di sebuah institusi boleh memberi kesan negatif kepada minat, motivasi dan pencapaian murid serta guru sebagai golongan terkesan dalam komuniti sekolah.

Diskriminasi merujuk kepada perlakuan membeza-bezakan atau memberikan layanan berbeza kepada individu atau kumpulan dalam kelompok, komuniti atau masyarakat. Ia boleh berlaku dalam banyak keadaan dan tidak semestinya membabitkan perkauman.

Perbuatan diskriminasi atau perbezaan layanan ini boleh memberi kesan jangka pendek dan panjang khasnya kepada mangsa diskriminasi.

Antara kesannya adalah merendahkan rasa nilai dan keyakinan diri, menggugat pencapaian pembelajaran, melebarkan jurang antara satu sama lain dan memberi kesan psikososial seperti pengasingan diri dari komuniti serta masyarakat.

Unsur diskriminasi di sekolah itu boleh berlaku berkait dengan dasar pendidikan itu sendiri. Sebagai contoh, dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains di dalam Bahasa Inggeris menerusi Dual-Language Programme (DLP), khasnya di sekolah menengah.

Terdapat sekolah hanya menawarkan kelas aliran Sains (pengajaran Fizik, Kimia dan Biologi) di dalam bahasa Inggeris.

Keadaan ini secara jelas menyekat murid ingin mengambil aliran sains di dalam bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah itu dan memaksa murid mengubah haluan ke aliran lain diajar di dalam bahasa Melayu.

Diskriminasi terhadap murid

Ini satu bentuk diskriminasi yang mana sekatan berlaku disebabkan tiada pilihan dan secara terpaksa murid perlu memilih aliran lain, sebagai contoh aliran perniagaan dan ekonomi, serta perakaunan yang belum tentu mereka minati.

Secara tidak langsung, ia menyekat peluang murid terbabit untuk melanjutkan pengajian di bidang sains di institusi pengajian tinggi (IPT) selepas tamat persekolahan.

Seharusnya sekiranya dasar DLP ini ingin diteruskan, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memastikan setiap sekolah perlu menawarkan program berkenaan dua bahasa pengantar, supaya tiada murid disisihkan dalam memilih aliran sains hanya kerana aliran itu dalam satu bahasa pengantar sahaja.

Dasar kedua adalah untuk diteliti penempatan anak guru di sekolah sama di mana guru terbabit mengajar.

Dasar penempatan murid dalam kalangan anak guru ini perlu diperhalusi demi mengelakkan amalan pilih kasih serta mengelak berlaku konflik berkepentingan.

Sering terdengar rungutan ibu bapa mengenai pemilihan murid sama ada dalam perjawatan atau pembabitan aktiviti akademik atau kokurikulum. Wujud amalan mendahulukan anak guru walaupun terdapat murid lain berkelayakan.

Penempatan murid dalam kelas tertentu juga tidak terkecuali. Ini juga satu bentuk amalan diskriminasi mempersoalkan sejauh manakah pemilihan dan penempatan murid dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Seterusnya, diskriminasi yang terkait dengan dasar pemakaian kurikulum dan silibus dalam pengajaran serta pembelajaran yang dibentuk.

Kurikulum dan silibus berat dan tidak bersesuaian dengan tahap intelektual murid serta keupayaan guru boleh menjadi memberi bebanan kepada psikologi dan minda.

Di sini, pertimbangan teliti perlu diberikan kepada implikasi pembangunan kurikulum terhadap peranan aktif pelajar, proses pengajaran dan pembelajaran, kesediaan guru dan beban tugas guru.

Bilangan subjek yang banyak dan kandungan silibus berat diajar dalam tempoh waktu singkat tanpa kesediaan sepenuhnya dari guru berikutan kekangan masa atas bebanan tugas tinggi menyebabkan murid tidak dapat belajar dengan sempurna.

Disebabkan ini juga, murid hilang motivasi untuk belajar dan seterusnya tercicir daripada pembelajaran.

Keciciran dan ketirisan ilmu ini juga satu bentuk diskriminasi. Maka, sudah sampai masa untuk diambil serius mengenai beban tugas guru supaya mereka dapat memberikan fokus dan komitmen terhadap perancangan dan penyampaian pengajaran.

Elak berlaku ketirisan

Selain itu, dalam aktiviti kokurikulum, kursus, dan pertandingan disarankan dapat dilaksanakan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) demi mengelakkan berlaku ketirisan dan keciciran dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Fenomena ini menimbulkan episod murid mengadu 'hari ini tidak belajar' atau 'guru tidak masuk kelas' kerana terbabit dengan program atau aktiviti tertentu.

Keadaan ini membuatkan murid tidak minat untuk hadir ke sekolah. Hilang minat ke sekolah ini memberikan impak kepada masalah keciciran murid.

Murid hadir ke sekolah untuk belajar tetapi pengajaran tidak berlaku, seolah-olah menidakkan hak murid untuk belajar, yang juga satu bentuk diskriminasi.

Amalan tadbir urus di sekolah juga perlu diberi perhatian kerana ia mempunyai ruang diskriminasi. Pengkelasan murid mengikut tahap pencapaian akademik boleh menyekat peluang dan hak sama rata murid.

Sebagai contoh, apabila berlaku amalan pengkelasan ini, penyertaan murid dalam acara atau program tertentu, kebarangkalian lebih ramai murid diambil dari kelas mempunyai pencapaian yang baik.

Tidak dinafikan amalan tadbir urus ini dipengaruhi faktor pencapaian prestasi sekolah ditetapkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan atau KPM.

Begitu juga, ada keadaan guru cemerlang dan berpengalaman diletakkan di kelas cemerlang demi memastikan pencapaian prestasi cemerlang sekolah dapat dikekalkan.

Ini jelas menyebabkan murid di kelas hujung kekal 'di hujung' tanpa kemajuan sedangkan murid ini mempunyai hak untuk maju dan mendapat pendidikan terbaik.

Oleh yang demikian, segala bentuk diskriminasi tidak harus berlaku kerana sekolah adalah pusat atau agen perubahan perlu dihormati dan dilayan dengan adil, serta memastikan kebajikan semua murid terjaga.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Berita Harian X