Visi 'Membangun Negara MADANI' dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat bergantung kepada pemahaman, perencanaan, pelaksanaan dan pemantauan serta maklum balas dan penerimaan daripada pelbagai pemegang taruh, terutama rakyat.
Justeru, pembabitan dan sambutan semua pemegang taruh amat penting untuk membangunkan Malaysia MADANI bagi mengelakkan ia bertukar menjadi satu slogan kosong.
Dalam aspek ini, kerajaan perlu mengambil kira beberapa cabaran yang perlu dihadapi dan merangka strategi bersesuaian bagi merealisasikan kerangka dasar MADANI.
Pada peringkat awal ini, visi Malaysia MADANI mempunyai beberapa kekuatan.
l Pertama, visi ini diperkenalkan ketika negara terpalit dengan pelbagai isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.
Pada masa sama, unsur polarisasi dan disintegrasi dalam masyarakat kekal serius apabila isu kaum dan agama terus dimainkan orang politik serta pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam konteks ini, pengenalan visi dan kerangka dasar menekankan soal nilai dan etika adalah penting untuk memulihkan keadaan sosial dan defisit sosial rakyat terhadap kerajaan.
Hakikat lain perlu diperakui adalah keadaan rakyat dalam proses pemulihan daripada kesukaran dan tekanan kewangan disebabkan COVID-19 dan pelbagai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berdepan dengan situasi ini, kerajaan menumpukan kepada usaha membangunkan ekonomi manusiawi dan merealisasikan agenda pembangunan insan bagi mengangkat maruah dan martabat manusia. Justeru, visi ini bertepatan dan tepat pada masanya.
l Kedua, visi ini menambah baik pembentukan dasar awam supaya bersifat manusiawi.
Dasar bakal dibentuk atau ditambah baik perlu berteraskan enam rukun MADANI dengan mengambil kira lapan elemen penting dalam pembuatan dasar iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar dan luar bandar.
Selain itu, kerangka ini menekankan supaya dasar digubal berpandukan masa hadapan bagi memastikan kita lebih bersedia untuk beradaptasi.
l Ketiga, visi ini memerlukan pembabitan dan koordinasi semua pemegang taruh, iaitu kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Bagi menangani situasi pasca normal, koordinasi dan kerjasama ini perlu dilaksanakan secara serentak pada pelbagai peringkat, iaitu nasional, negeri dan daerah.
Bahkan, pendekatan bottom-up atau 'ke atas', iaitu maklum balas dan pemantauan rakyat perlu dititikberatkan untuk merealisasikan dasar MADANI.
l Keempat, visi ini menawarkan naratif nasional baharu untuk membawa negara ke depan. Kerajaan perlu menekankan keperluan dan kepentingan acuan pembangunan negara tersendiri serta berbeza daripada model pembangunan lain.
Meskipun Malaysia MADANI mempunyai kekuatan, ia sarat dengan cabaran. Pertama adalah pemahaman terhadap konsep MADANI kepada pelbagai pemegang taruh.
Perkataan madani ini agak asing bagi sebahagian besar rakyat meskipun akronim MADANI adalah sinonim.
Kempen pendidikan meluas
Justeru, kerajaan perlu meringkaskan konsep ini supaya ia dapat difahami semua pemegang taruh terutama birokrat, iaitu aktor melaksanakan dasar.
l Bagi memasyarakatkan MADANI, kerajaan perlu melaksanakan kempen pendidikan meluas dan peranan ini boleh dimainkan golongan akademik.
l Kedua, terjemahan visi MADANI perlu dipastikan meresap dalam dasar kerajaan dan pelaksanaannya.
Meskipun banyak dasar MADANI dicadangkan, ia mungkin belum dapat dibayangkan majoriti rakyat.
Justeru, kerajaan perlu mengangkat satu dasar MADANI berimpak seperti pelaksanaan Menu Rahmah, iaitu inisiatif pihak kerajaan dengan kerjasama pihak peniaga untuk membantu rakyat terkesan akibat kenaikan kos sara hidup.
Selain itu, pelaksanaan dasar ini memerlukan sokongan dan sambutan pada peringkat negeri serta kebersamaan kerajaan negeri pembangkang.
l Ketiga, pemantauan perlu sentiasa dilakukan terhadap semua kementerian dan agensi kerajaan.
Bagi memastikan dasar digubal berdasarkan rukun MADANI, kerajaan perlu menubuhkan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) bagi menilai prestasi dan penyampaian agensi kerajaan berteraskan MADANI.
l Keempat, kerajaan perlu menguruskan harapan menggunung rakyat terhadap dasar MADANI prorakyat.
Dalam hal ini, kegagalan untuk menguruskan harapan ini akan menyebabkan sesuatu dasar kurang mendapat sambutan dan sokongan rakyat yang akhirnya menyukarkan kerajaan melaksanakan agenda reformasi lebih luas.
l Kelima, MADANI tidak seharusnya mempunyai kesinambungan dengan dasar atau slogan sebelumnya yang diwujudkan kerajaan lalu.
Konsep MADANI wajar dipisahkan daripada konsep Keluarga Malaysia, Malaysia Prihatin, Malaysia Baharu, 1Malaysia dan Islam Hadhari.
l Keenam, visi MADANI tidak dijalinkan dengan agenda besar pembinaan negara bangsa.
Hal ini bermaksud konsep bangsa Malaysia cenderung untuk diabaikan dalam naratif rasmi kerajaan dan ia tidak diterjemahkan secara konsisten dalam dasar perpaduan.
Justeru, kerajaan seharusnya menjadikan MADANI sebagai naratif nasional bagi membina konsensus baharu untuk bangsa Malaysia.
l Ketujuh dan terakhir, visi MADANI ini jangan sampai bertentangan dengan dasar dan tindakan semasa dibuat kerajaan.
Pensyarah, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)