Pada 24 Februari ini, Belanjawan 2023 akan dibentangkan semula dan harapan rakyat terutama pihak berkepentingan, komuniti peniaga dan usahawan serta perusahaan amat tinggi.
Sudah pasti mereka mahu melihat bajet bakal dibentangkan itu membawa transformasi struktur ekonomi negara lebih baik berbanding hari ini supaya cabaran serta masalah ekonomi negara dan rakyat dapat diselesaikan.
Hari ini, rakyat sememangnya muak dengan retorik ahli politik. Mereka mahukan penyelesaian substantif dan bukan sekadar 'gula-gula politik' ataupun bantuan berbentuk ala kadar dan juga sekali beri semata-mata.
Sementara itu, antara bentuk reformasi yang wajar difikirkan adalah dalam sistem percukaian negara. Kenapa sistem (SST), iaitu sistem cukai lapuk dan ketinggalan zaman masih hendak dipertahankan.
Kenapa tidak mahu memperkenalkan sistem cukai lebih baik daripada sistem SST seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Maksudnya di sini bukan GST akan diperkenalkan tahun ini, tetapi boleh diperkenalkan pada 2024 atau 2025.
Maka, persediaan dari sekarang boleh dibuat supaya pelaksanaannya kelak lebih kemas dan baik. Ia juga memberikan isyarat jelas kepada bakal pelabur yang Malaysia mempunyai hala tuju dan komitmen perancangan ekonomi jelas.
Hakikatnya, jika dilaksanakan dengan betul, GST adalah satu sistem cukai dapat mengutip hasil negara secara mampan. Ia juga dapat mengurangkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan miskin serta menstabilkan harga barang dalam jangka masa panjang.
Hutang negara yang kini berada pada paras RM1.2 trilion juga dapat diurus dengan lebih tersusun dan sistematik.
Begitu juga dengan usaha menangani isu kos sara hidup. Penyelesaian reformis dan tuntas perlu ada dalam Belanjawan 2023 ini. Hakikatnya, pertimbangan ekonomi tidak boleh diabaikan akibat pertimbangan politik.
Kita tahu, tahun ini juga tahun pilihan raya di enam negeri, sekali gus tidak boleh menjadi pertimbangan dalam merencana serta menggubal Belanjawan 2023 ini.
Rakyat masih sengsara sehinggakan ada pihak mendesak supaya pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipertimbangkan sekali lagi.
Jika kerajaan berpendapat pengeluaran khas KWSP ini tidak lagi boleh dilaksanakan, apakah inisiatif atau idea baharu boleh diperkenalkan untuk mengatasi masalah rakyat ini.
Dalam isu ini, kerajaan dicadang memperkenalkan idea atau formula baharu, iaitu Pencen Sosial Sejagat atau Universal Social Pension (USP). Beberapa negara di rantau ini sudah memperkenalkan dasar USP, seperti Thailand dan Vietnam. Mungkin kita boleh belajar daripada mereka.
Dasar pengagihan semula
Untuk kita betul-betul membantu golongan miskin, terutama miskin tegar dan golongan rentan, apatah lagi selepas dihambat kesan pandemik COVID-19, kesenjangan agihan pendapatan, harta dan juga pembangunan wilayah dan negeri, kanak-kanak mengalami masalah nutrisi seperti masalah bantut dan obesiti, Belanjawan 2023 perlu ada dasar berbentuk redistributive by design atau 'pengagihan semula'.
Untuk ini, saya mencadangkan formula baharu, iaitu Perkhidmatan Asas Sejagat atau Universal Basic Services (UBS). UBS mempunyai elemen kemampanan, kesejahteraan dan juga ihsan, antara tiga tonggak utama dalam enam rukun diperkenalkan dalam konsep Malaysia MADANI.
UBS dilihat lebih menyeluruh dan reformis jika dibandingkan dengan dasar Pendapatan Asas Sejagat atau 'Universal Basic Income' (UBI), yang kerap juga dibincangkan di Malaysia mutakhir ini.
Dalam spesifik isu kemiskinan pula, sudah tiba masa kemiskinan pelbagai dimensi diutamakan dan diketengahkan terutama dari segi pemahaman mengenai konsep kemiskinan dan juga instrumen pengukurannya.
Sememangnya, isu rasionalisasi subsidi tidak boleh lagi diketepikan seperti pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober tahun lalu. Jika kita mahukan 'reformasi tulen' dalam ekonomi kita, pemberian subsidi perlu lebih bersasar.
Sebagai contoh, subsidi petrol dalam hal penetapan harga siling, yang pada ketika ini berada pada paras RM2.05 per liter bagi RON95. Jika harga ini diapungkan, harga di pasaran adalah pada kadar RM3.55 per liter.
Siapakah akan mendapat manfaat daripada subsidi ini? Adakah orang miskin yang betul-betul memerlukan? Apakah pula mekanisma terbaik boleh dilaksanakan?
Contohnya, jika pengapungan terkawal dipilih, adakah ia dibuat secara harian, mingguan atau bulanan? Amat penting dalam hal ini peniaga dan pengguna dibabitkan dalam membuat keputusan paling optimum kepada semua pihak.
Dari segi isu berkait dengan golongan muda, pekerjaan adalah menjadi tumpuan utama mereka. Dalam hal ini, kerajaan boleh memperkasakan aspek keusahawanan dan mengaitkannya dengan isu jaminan makanan dan alam sekitar pada Belanjawan 2023.
Selain itu, perlu ada banyak insentif baharu untuk menggalakkan perniagaan 'start-up' dalam bidang pertanian. Program Digital AGTECH dalam Belanjawan 2023 lalu mungkin boleh ditambah baik, begitu juga dengan dana pinjaman keusahawanan bagi golongan muda dan juga wanita.
Mungkin kerajaan perlu mewujudkan tema dan syarat tambahan dalam dana keusahawanan ini yang menjurus kepada matlamat matlamat kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan agenda Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula perlu ada program khas kepada PKS tempatan untuk mendedahkan mereka dengan kerangka ESG dan lebih penting lagi bantuan meningkatkan keupayaan mereka dari segi eksport bagi menembusi pasaran baharu dalam Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) dan juga Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Dalam usaha Kerajaan Perpaduan memeta hala tuju Malaysia menuju negara bangsa maju dan sejahtera melalui konsep Malaysia MADANI, semestinya terjemahan ekonominya akan bermula dengan Belanjawan 2023 akan dibentangkan nanti.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia