Suhu politik negara semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi kubu kuat Perikatan Nasional (PN), manakala Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan masih dibayangi pengaruh Pakatan Harapan (PH).
Namun, landskap politik hari ini boleh berubah pada bila-bila masa sahaja dan kekuatan serta pengaruh parti ini akan diuji sekali lagi menerusi PRN akan datang.
Pelaksanaan PRN di enam negeri terbabit perlu dilakukan selewat-lewatnya Julai 2023 dan memerlukan pengundi untuk keluar mengundi buat kali kedua bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing.
Penganjuran pilihan raya berasingan ini sebenarnya membelakangi semangat federalisme yang diamalkan di negara ini sejak merdeka.
Tindakan itu dilakukan segelintir pemimpin parti tidak bertanggungjawab dengan memanipulasi pilihan raya semata-mata untuk mengekalkan kelangsungan dan kepentingan politik peribadi.
Pencabulan semangat federalisme ini bermula apabila tercetus krisis di antara pemimpin UMNO negeri di Melaka yang kemudian memilih menangani konflik itu dengan memanipulasi PRN untuk mematahkan strategi seteru politiknya, seterusnya menyebabkan amalan itu merebak ke Johor.
Situasi ini mencetuskan duluan (precedent) yang mengancam semangat federalisme sehingga mengubah amalan pilihan raya serentak di Malaysia.
Meskipun pelaksanaan PRN berasingan tidak bertentangan dengan undang-undang tubuh negeri terbabit, rakyat terkesan dengan tindakan manipulasi politik merugikan mereka, tetapi menguntungkan segelintir pemimpin.
Justeru, duluan sebelum ini tidak boleh diteruskan pada PRN di enam negeri berkenaan semata-mata untuk keuntungan politik kepartian.
Pemimpin parti politik seharusnya mempertimbangkan secara serius kesan kepada pelbagai pihak apabila pilihan raya diadakan secara berasingan.
Pertama, perbelanjaan mengurus dan mengadakan pilihan raya secara berasingan meningkat berlipat kali ganda berbanding jika parti politik bersetuju mengadakan PRN serentak.
Perbelanjaan perlu ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh pilihan raya membabitkan koordinasi logistik, penggajian staf operasi, pembelian dan penyewaan kelengkapan bagi melancarkan proses pengundian.
Penggiat politik sebenarnya tidak lagi boleh sekadar melihat pilihan raya sebagai platform menyelesaikan krisis politik dalaman dan medan bertindak secara rakus mendapatkan kuasa.
Rakyat dan negara perlu menanggung kos tinggi untuk pelaksanaan PRN berasingan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.
Misalnya pelaksanaan PRN Melaka dan Johor menelan belanja RM142 juta dan dana ini boleh dimanfaatkan kepada program pemulihan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19 sekiranya pemimpin politik di kedua-dua negeri terbabit bijak menangani krisis politik tempatan.
Oleh itu, pelaksanaan PRN serentak dapat mengurangkan kos perbelanjaan, sekali gus penjimatan dana dan kerajaan dapat menyalurkan dana itu kepada program membantu rakyat lebih kritikal.
Kedua, rakyat Malaysia bosan dan lesu dengan 'politiking' berlarutan antara pemimpin dan parti politik sehingga menyebabkan fokus pemulihan negeri dan negara semakin tersasar daripada matlamat asal.
Rakyat sebenarnya mahukan pemimpin mampu menjana idea dan melaksanakan dasar membela rakyat dengan kadar segera berbanding pertelagahan politik tidak menguntungkan mereka.
Cipta pilihan raya demi keuntungan politik
Usaha mencipta pilihan raya demi keuntungan politik oleh segelintir pemimpin politik adalah pengkhianatan kepada amanah rakyat dan pencabulan kepada demokrasi. Tidak mengejutkan apabila terdapat orang politik sengaja mencipta pilihan raya ketika isu dan gelombang sokongan cenderung memihak kepada kemenangan mereka.
Kini, praktik demokrasi dan pilihan raya secara jelas dimanipulasi pemimpin politik bagi merasionalkan tindakan semata-mata untuk mengekalkan kuasa dan mengekang kebangkitan seteru politik mereka. Oleh demikian, satu usaha menetapkan pilihan raya serentak dalam tempoh relevan sama ada pada peringkat Persekutuan dan negeri perlu direalisasikan segera.
Sekiranya tarikh pilihan raya ditetapkan selari dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, maka 'politiking' berpanjangan akan lenyap dan pemimpin parti politik akan memfokuskan tugas hakiki masing-masing selepas berakhir pilihan raya.
Ketiga, pilihan raya tidak boleh dijadikan makmal untuk menguji strategi politik parti sehingga membebankan pengundi. Sememangnya diakui pemimpin parti adalah 'pemain gelanggang politik' licik dan mereka sering berusaha mengatur pelbagai strategi politik untuk memperoleh kemenangan dalam setiap pilihan raya.
Malah, parti politik menguasai kerajaan sama ada pada peringkat negeri atau Persekutuan berpotensi memanipulasi jentera dan sumber kerajaan.
Tindakan mengadakan PRN berasingan juga satu strategi parti politik pemerintah untuk mengekang kebangkitan seteru dengan mengumpulkan setiap peringkat kekuatan parti dari seluruh negara.
Namun, tindakan ini sebenarnya sangat membebankan SPR untuk mengendalikan PRN berasingan, namun badan itu terpaksa akur kepada proses undang-undang pilihan raya demi memenuhi 'selera' pemimpin politik sentiasa berusaha mencari jalan mencapai kemenangan.
Berdasarkan perkembangan politik semasa, pemimpin politik negara khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkenal sebagai pejuang kepentingan rakyat perlu berperanan sebagai 'broker politik' untuk menangani isu PRN berasingan.
Sebagai 'broker politik', beliau sewajarnya mempelopori rundingan, perbincangan dan menyediakan platform kepada semua ketua kerajaan negeri untuk menggembleng konsensus bagi mengadakan PRN secara serentak demi keuntungan rakyat.
Sememangnya diakui adalah sukar dan mustahil untuk menggembleng konsensus ini kerana ketua kerajaan negeri terikat dengan keputusan parti masing-masing dan bertindak berdasarkan kepada undang-undang tubuh negeri.
Namun, tidak ada perkara mustahil dalam era politik dinamik dan segala yang mustahil dalam politik di negara ini berakhir apabila DAP dan UMNO mampu bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan pada peringkat negeri dan Persekutuan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)