Sabtu, 4 Februari 2023 | 2:37pm
Umat Islam di negara ini dan seluruh dunia mengecam tindakan membakar al-Quran di Sweden. - Foto hiasan
Umat Islam di negara ini dan seluruh dunia mengecam tindakan membakar al-Quran di Sweden. - Foto hiasan

Tindakan bakar al-Quran serlah diskriminasi Barat terhadap Islam

Tindakan Rasmus Paludan, pemimpin politik berhaluan kanan Sweden membakar Kitab Suci umat Islam, al-Quran di depan Kedutaan Turkiye di Stockholm, baru-baru ini jelas satu tindakan biadab dan provokatif terhadap hampir dua bilion umat Islam seluruh dunia.

Mungkin tindakan sebegitu tidak mampu memberikan provokasi melampau diharapkan daripada sekitar tidak lebih 400,000 umat Islam di seluruh Sweden, yang menjadi kumpulan minoriti sekitar 4 peratus daripada sejumlah sembilan juta penduduk Sweden, namun kemarahan umat Islam di seluruh dunia tidak dapat dibendung lagi.

Inilah kegagalan dan sikap double standard masyarakat Barat merealisasikan istilah 'kebebasan bersuara' apabila membabitkan Islam dan umatnya.

Peristiwa baharu di Sweden ini menunjukkan mereka faham benar tiada kebebasan suara mutlak dan kebebasan itu ada had serta batasnya, namun apabila terhadap umat Islam ia seolah-olah tiada had dan batasnya, malah apa sahaja tindakan boleh dilakukan menyinggung, menyakiti, menimbulkan kemarahan umat Islam.

Negara Kesatuan Eropah (EU) dan sekutu mereka menggubal undang-undang mengharamkan dan menghukum mereka yang menafikan peristiwa pembunuhan beramai-ramai secara terancang keturunan Yahudi sekitar enam juta orang ketika pemerintahan rejim Nazi Jerman pada Perang Dunia Kedua kerana ia dikatakan bersifat anti-semitik dan demi menjaga hati serta perasaan orang Yahudi.

Pada 1 April 2022, seorang nenek warga Jerman berusia 93 tahun, Ursula Haverbeck dihantar ke penjara kerana menafikan peristiwa dipanggil 'Holocaust' itu. Mahkamah Jerman memutuskan menafikan Holocaust tidak termasuk dalam 'Kebebasan Bersuara' dibenarkan.

Amat jelas di sini, sehingga begitu sekali masyarakat Barat menjaga hati dan perasaan bangsa Yahudi sekitar 15 juta orang keseluruhannya, sehingga undang-undang khas digubal untuk mencapai tujuan itu, tetapi langsung tidak memiliki tekad untuk menjaga hati dan perasaan bangsa lain khususnya umat Islam.

Tak hormati umat Islam

Hakikatnya, di negara itu ada peruntukan undang-undang lain melarang 'ucapan kebencian' atau 'anti-diskriminasi' terhadap jantina, warna kulit, bangsa dan agama orang lain, namun semuanya tidak dikuatkuasakan dan tidak terpakai untuk umat Islam.

Inilah terjadi apabila umat Islam menjadi bangsa lemah. Lemah dalam serba serbi sama ada ekonomi, politik, kekuatan ketenteraan, pendidikan dan sebagainya sehingga umat lain tidak lagi menghormati umat Islam dan dengan mudah mengganyang umat Islam.

Negara Barat sudah lama menguatkuasakan undang-undang melarang diskriminasi terhadap jantina sama ada lelaki atau perempuan, diskriminasi terhadap orang kurang upaya (OKU), diskriminasi terhadap warna kulit, bangsa dan agama.

Larangan ini disebut sebagai 'kesaksamaan peluang', tetapi dari segi pengamalan dan realitinya ia tidak sebegitu, malah diskriminasi tetap berlaku walaupun undang-undang melarang diskriminasi sudah lama wujud. Malah, ucapan kebencian terhadap umat Islam terus berlaku.

Tidak pernah dalam sejarah umat Islam selama lebih 1,400 tahun ini, terdapat kerajaan umat Islam membenarkan membakar Kitab Suci penganut agama lain seperti kebenaran diberikan kerajaan Sweden kepada Rasmus Paludan. Pembakaran al-Quran tempoh hari mendapat sokongan dan dukungan kerajaan Sweden atas nama kebebasan bersuara.

Dalam konteks Islam, ia agama perdamaian dan tidak pernah mengajak permusuhan dalam beragama atas prinsip 'kamu dengan agama kamu, kami dengan agama kami. Islam juga melarang menghina tuhan atau sembahan orang bukan Islam.

Larangan ini ditegaskan Allah SWT menerusi Surah al-An'am pada ayat 108 bermaksud; "Jangan kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula, padahal mereka tidak memiliki ilmu".

Berdasarkan kes berlaku di Sweden ini, ia sekadar membuktikan kebebasan bersuara mutlak adalah suatu perkara mustahil berlaku terutama di negara Barat.

Ada perkataan tertentu dilarang diucapkan sama sekali dalam situasi tertentu seperti ketika dalam kapal terbang misalnya, dilarang menjerit 'bom', atau ketika dalam panggung wayang dilarang menjerit 'api' atau 'terbakar' dan kerana ia akan menimbulkan suasana panik orang ramai.

Ada sesetengah perkataan walaupun tidak salah menuturkannya, tetapi ia bersifat provokasi, menyerang dan menghina bangsa lain. Di Amerika Syarikat (AS) misalnya perkataan nigger (kulit hitam) adalah provokasi kepada keturunan orang berkulit hitam dari Afrika dan jika dilaungkan dalam perkampungan masyarakat itu, nescaya padah kepada penuturnya.

Masyarakat Barat kadangkala lupa sementara mereka boleh berselindung di sebalik hak kebebasan bersuara, namun kebebasan itu belum tentu dapat menyelamatkan mereka akibat menuturkan perkataan itu. Ia ibarat kata pepatah ' terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Perbuatan Rasmus Paludan itu atau sesiapa sahaja terhadap Islam, akan ada tindakan balas dan umat Islam pasti tidak berdiam diri, namun dikhuatiri segelintir mereka yang ekstrem akan mengambil kesempatan dan membuat tindak balas melampau yang majoriti umat Islam sendiri tidak merestuinya.

Penulis adalah Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X