Hari Kusta Sedunia (WLD) disambut semenjak 1954 dan diraikan setiap tahun pada Ahad terakhir Januari. Tahun ini, ia jatuh pada 29 Januari 2023, dan bertema 'Bertindak Sekarang: Tamatkan Kusta'.
Kita meraikan Hari Kusta Sedunia untuk meningkatkan kesedaran ramai yang mempercayai ia penyakit tidak wujud lagi. Ia membolehkan kita meraikan kehidupan orang terjejas, meningkatkan kesedaran tanda dan gejala kusta serta menangani stigma dan diskriminasi mengelilingi penyakit ini.
Kusta atau Penyakit Hansen, adalah penyakit kronik berjangkit disebabkan kuman 'bacillus, Mycobacterium leprae'. Ia salah satu penyakit tropika diabaikan (neglected tropical disease) dan memberi kesan kepada masyarakat miskin di negara mempunyai sumber terhad.
Kebanyakan mereka yang terjejas tinggal di kawasan perumahan miskin, sesak dan tidak mempunyai akses kepada rawatan perubatan asas. Jangkitan ini mempunyai tempoh inkubasi panjang iaitu selama lebih kurang lima tahun tetapi mungkin mengambil masa 20 hingga 30 tahun untuk tanda dan gejala penyakit menjadi lebih jelas.
Ia boleh menjejaskan kulit, mata, membran mukus, terutama lapisan hidung dan urat saraf 'periferi'. Penyakit kusta boleh diubati dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyediakan rawatan percuma kepada mereka yang terjejas.
Terapi multidrug (MDT) mengubah penyakit ini dan sejak penggunaannya untuk merawati pesakit kusta, bilangan kes kusta di seluruh dunia menurun dengan ketara. Menurut statistik WHO, kes kusta berdaftar di peringkat global pada 2021 sebanyak 133,802 kes.
Terdapat juga 140,594 kes baharu menunjukkan penularan berterusan penyakit kusta ini. India, Brazil dan Indonesia mempunyai beban tertinggi penyakit kusta dengan masing-masing melebihi 10,000 kes baharu. Terdapat 9,052 kes baharu dalam kalangan golongan kanak-kanak dilaporkan, peningkatan sebanyak 4.7 peratus pada 2021 berbanding 2020 (8,642).
Penularan pandemik COVID-19 mengganggu perkhidmatan penyakit kusta di banyak negara dan mungkin juga terdapat kes tidak dapat dikesan, sehingga menyebabkan penularan berterusan.
Sebabkan ketidaksamaan ekonomi
Terdapat stigma dan diskriminasi mengelilingi individu terjejas penyakit kusta dan situasi ini bertambah teruk kerana sesetengah negara masih mempunyai undang-undang membenarkan diskriminasi terhadap penyakit kusta.
Penyakit kusta mempunyai akibat fizikal, psikologi dan sosial menyebabkan ketidaksamaan ekonomi. Ketakutan terhadap penyakit kusta ini menyebabkan tanda-tanda dan gejala penyakit disembunyikan mereka yang terjejas.
Stigma menghalang diagnosis penyakit kusta dalam waktu yang sepatutnya, kerana takut untuk menghadapi realiti mereka menghidapi penyakit ini. Oleh itu, mereka mengelakkan diri untuk mengesahkan diagnosis. Stigma dan diskriminasi boleh menyebabkan kelewatan memulakan rawatan.
Malangnya, impak penyakit kusta bukan sahaja terhad kepada mereka yang terjejas tetapi juga keluarga dan komuniti mereka. Dalam konteks Malaysia, kita menunjukkan prestasi baik dalam usaha memerangi penyakit kusta. Pada 2021, WHO melaporkan terdapat 142 kes baharu dilaporkan di Malaysia dan enam kes baharu membabitkan kanak-kanak.
Walaupun jumlah kes kusta baharu masih rendah, sekiranya usaha bersepadu tidak dilakukan untuk mengesan dan merawat individu ini, jangkitan akan terus merebak oleh mereka yang tidak dirawat. Terdapat tompok 'endemicity' iaitu kes baharu masih dilaporkan dalam kalangan penduduk tempatan, orang asal dan pekerja asing dilahirkan di luar negara.
Sarawak dan Pahang melaporkan insiden tinggi dalam kalangan orang asal. Pekerja asing mungkin menyumbang kepada insiden lebih tinggi dilaporkan di Sabah dan Selangor.
Ketika ini, Malaysia sedang berusaha ke arah pengesanan kes aktif (ACD) secara bersepadu dalam kalangan populasi disasarkan untuk mencegah penularan penyakit kusta. Pengesanan awal dan kawalan penyakit kusta bergantung kepada ACD dan aktiviti promosi di kawasan endemik.
Apa yang penting, kita mesti terus meningkatkan kesedaran dan pandangan orang ramai mengenai kusta melalui nasihat dan pendidikan kesihatan. Orang menghidapi penyakit kusta perlu digalakkan tampil untuk disaring dan dirawat serta digalakkan mengamalkan penjagaan diri.
Pekerja kesihatan mesti dilatih supaya dapat mengesan, merawat dan mengurus penyakit kusta. Kementerian Kesihatan (KKM) menyiapkan Pelan Strategik Kebangsaan (NSP) untuk kusta (penyakit Hansen) 2021-2030 bertujuan membimbing pemegang taruh untuk menubuhkan aktiviti kawalan kusta dan menyelaraskan strategi kepada NSP untuk mencapai sasaran mereka.
Melangkah ke hadapan, pendidikan dan meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan untuk semua akan membantu menghapuskan kecacatan dan stigma berkaitan penyakit kusta. Ramai hidup dengan penyakit ini mungkin tidak dapat atau tidak diberi peluang bekerja.
Penyakit kusta boleh diubati dan jika dirawat lebih awal, mereka yang terjejas boleh terus bekerja dan menjalani kehidupan aktif semasa dan selepas rawatan. Malaysia bertindak awal untuk meningkatkan usaha bagi memudahkan pembabitan mereka terjejas akibat kusta, supaya mereka tidak ketinggalan.
Stigma, diskriminasi dan halangan penyertaan mereka bertambah baik tetapi masih lagi ada cabaran perlu diatasi, terutama dalam kalangan masyarakat tertentu seperti orang asal.
Memahami pengalaman hidup mereka dan bagaimana mereka menghadapi beban penyakit ini akan membantu kita memahami kebimbangan dan keperluan mereka.
Mendengar suara mereka akan membantu agensi berkaitan menyesuaikan bantuan dan sokongan bagi mereka untuk menjadi ahli masyarakat yang menyumbang.
Oleh itu, sempena Hari Kusta Sedunia tahun ini, kita mesti cuba membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit ini. Kita boleh berkongsi maklumat dengan keluarga dan rakan-rakan, penyakit kusta tidak begitu menular seperti pernah difikirkan.
Ia boleh diubati dengan antibiotik dan seseorang tidak boleh menjangkiti penyakit kusta melalui hubungan kasual, seperti berbual dengan mereka atau berjabat tangan.
Seseorang menghidapi penyakit kusta tidak berjangkit selepas beberapa hari memulakan antibiotik, tetapi mereka mesti menyelesaikan rawatan mereka tetapi mungkin mengambil masa sehingga dua tahun untuk memastikan jangkitan tidak berulang. Mereka boleh terus menjalani kehidupan normal.
Penyelidik Tamu, Universiti Perdana, Kuala Lumpur