Khamis, 2 Februari 2023 | 12:08pm
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

Cabaran realiti sebenar urus negara, turunkan 'obesiti ekonomi'

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencerahkan perspektif dan keutamaannya dalam mengurus serta merencana pembangunan ekonomi negara dalam Siri Syarahan Parlimen 1.0: Resetting the Malaysian Economy.

Menariknya, kenyataan sebagai menteri jauh berbeza dengan Rafizi dahulu semasa kempen pilihan raya apabila menegaskan walaupun permasalahan dihadapi negara dan langkah penyelesaian jelas, proses melaksanakannya bukanlah mudah dan 'easier said than done.'

Rafizi menyatakan secara keseluruhan ekonomi Malaysia merekodkan prestasi baik, mempunyai daya tahan tinggi dengan purata pertumbuhan 3 peratus setahun dalam tempoh pandemik COVID-19 (2020-21) dan dijangka bertahan pada kadar 4-5 peratus untuk tahun ini yang berhadapan kelembapan global.

Ini satu 'wake up' sangat baik buat Rafizi, iaitu apabila menyedari realiti sebenar dalam menguruskan ekonomi negara.

Rafizi sekali lagi menekankan tiga cabaran, iaitu menangani kekangan fiskal, meningkatkan hasil kerajaan dan menstrukturkan semula ekonomi negara sebagai keutamaan dalam meletakkan Malaysia dalam landasan pembangunan ekonomi kukuh.

Beliau membayangkan usaha diperlukan umpama menurunkan berat badan dan menangani obesiti. Ia memerlukan komitmen dan disiplin tinggi, dibuat beransur-ansur dan kalau tidak ditangani, akan memburukkan lagi keadaan, terjebak dengan pelbagai masalah seperti penyakit kencing manis dan masalah jantung. Ekonomi negara akan lebih bermasalah sekiranya kita tidak bertindak sekarang.

Saya bersetuju dengan amaran Rafizi. Saya juga sering mengingatkan kita berhadapan masalah struktur serius. Ketiga-tiga cabaran utama dinyatakan itu ialah permasalahan struktur, bukan disebabkan krisis ekonomi pandemik COVID-19.

Pandemik menyerlahkan permasalahan yang sudah dikenal pasti seawal 2010 lagi. Pemulihan ekonomi pasca-COVID-19 tanpa menangani permasalahan struktur adalah sangat merugikan.

Pandangan balas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dalam majlis sama mengingatkan rakyat sudah tahu semua ini, bukan lagi masa untuk menghurai dan mengkaji. Kesabaran rakyat mungkin tidak bertahan lama.

Mungkin slogan 'Ini kalilah' sesuai untuk dijadikan laungan mengajak rakyat dan industri bersama menangani permasalahan struktur ekonomi serius ini supaya masa depan ekonomi negara lebih mampan dan cemerlang.

Konsolidasi fiskal perlu bermula dengan iltizam meyakinkan bahawa kerajaan tidak akan berbelanja sewenang-wenangnya. Cadangan memperkukuhkan governans perbelanjaan awam dengan memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal beberapa tahun lalu perlu disegerakan. Ini signal 'kesanggupan politik' meyakinkan.

Kebocoran berbilion ringgit diumumkan Perdana Menteri tidak mampu dikekang dengan niat dan semangat sahaja, sebaliknya perlu ada kebertanggungjawaban terhadap akta khusus dan tata kelola jelas serta akauntabiliti.

Guna, urus wang awam dengan sebaiknya

Wang awam adalah untuk pembangunan negara. Perlu ada disiplin betul, mengambil kira implikasi jangka pendek dan jangka panjang dalam keputusan perbelanjaan kerajaan.

Emolumen dan bayaran persaraan adalah komponen perbelanjaan fiskal terbesar, hampir 50 peratus atau RM115 bilion daripada perbelanjaan mengurus kerajaan. Ia berkait saiz penjawat awam yang pada 2020 berjumlah hampir 1.6 juta orang berbanding 1 juta orang (2010). Kerajaan ialah majikan terbesar di negara ini, menggajikan hampir 10.2 peratus peratus daripada 15.7 juta tenaga kerja Malaysia.

Hal ehwal saiz dan produktiviti penjawat awam memang rumit serta sangat sensitif. Namun, kita tidak boleh mengelak daripada membincangkan perkara ini. Jangan terburu-buru membuat keputusan untuk kecilkan (down-sizing) tetapi sebaiknya tentukan apa sesuai dan wajar (right-sizing). Letak sasaran, bertindak beransur-ansur, berjadual dan perlu komitmen tinggi.

Kita semua sedia maklum, cara mengendalikan bantuan subsidi tidak mampan, membeban dan merugikan, perlu diubah. Menteri Kewangan sebelum ini memaklumkan jumlah keseluruhan subsidi untuk 2022 dijangka mencecah hampir RM80 bilion, hampir sama perbelanjaan emolumen 2021.

Subsidi bersifat 'hangus' contohnya subsidi petrol pada 2022 dijangka mencecah RM27 bilion. Pada harga RM2.05 seliter, setiap liter petrol 'kita' isi, kerajaan membelanjakan RM2.65 (anggaran harga pasaran RM4.70 seliter).

Persoalannya, siapakah mendapat subsidi petrol ini? Si kaya atau si miskin? Rakyat atau pendatang asing? Yang bekerja atau yang bersuka? Kaedah pemberian subsidi secara meluas 'blanket-economy-wide', tanpa sasaran dan matlamat khusus sangat membebankan. Ini bukan cara mampan membangunkan negara. Hanya yang susah perlu terus dibantu, bukan semua rakyat. Rakyat mesti bersedia dengan penstrukturan ini.

Kecekapan dalam perbelanjaan fiskal perlu ditingkatkan tetapi ada hadnya. Mengurus negara, operasi dan pembangunan, tetap memerlukan kerajaan berbelanja. Cabaran kedua ialah meningkatkan hasil kerajaan.

Rafizi memaklumkan asas cukai negara antara terendah di Asia Tenggara. Cukai menjadi komponen terbesar hasil kerajaan, sekitar 70 peratus. Kutipan cukai kerajaan pada 2021 hanya 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, setanding dengan Laos. Jumlah kutipan cukai ini tidak sepadan dengan saiz ekonomi negara.

Ini bukan isu baharu. Kerajaan menyedari perkara ini sejak sekian lama. Mengapa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan? Inilah sebabnya, tetapi malang sekali, penyelesaian kepada cabaran ekonomi negara dijadikan bahan politik. GST menyumbang sekitar RM44 bilion kepada hasil kerajaan pada 2017 tetapi dihapuskan pada 2018.

Kita terus dibelenggu dengan cabaran sama. Sejauh manakah kerajaan bersedia melihat semula kaedah percukaian negara? Sejauh manakah pula rakyat dan industri bersedia melihat cukai sebagai tanggungjawab bersama membangunkan negara? Kerajaan perlu memperjelaskan kepada rakyat akan keperluan ini.

Persoalan besar ialah kesanggupan dan kesediaan kerajaan melaksanakannya. Kita tidak dapat mengelak daripada beberapa kesan sementara yang mungkin pahit. Akan ada beberapa pihak terkesan. Menelan ubat pahit demi kesejahteraan berpanjangan.

Kiasan Rafizi seperti usaha menurunkan berat badan, memang akan ada kejanggalan dalam corak kehidupan untuk menurunkan berat badan, tetapi kalau diteruskan dengan penuh komitmen, akan menjadi kelaziman dan akhirnya membuahkan hasilnya. Kita menanti penjelasan dari kerajaan bagaimana 'obesiti ekonomi' ini akan kita tangani. Apa sasarannya? Apa tindakannya? Apa jadualnya? Apa hasil akhirnya? Malaysia mesti bersedia.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) dan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Universiti Harvard

Berita Harian X