Rabu, 1 Februari 2023 | 1:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perkasa prosedur salur dana bantuan elak 'buaya ekonomi'

Pada Disember tahun lalu, siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan dana berkaitan pengurusan COVID-19 mendapati jumlah peruntukan terbabit dianggarkan RM530 bilion.

Daripada jumlah itu, RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan, manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan. Susulan siasatan itu, SPRM mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya empat kelemahan utama dalam proses penyaluran dana bernilai jutaan hingga berbilion ringgit membabitkan kelompok yang dikenali sebagai 'buaya ekonomi'.

Kelemahan ketara yang wujud membuka ruang kepada penyelewengan dan salah guna kuasa sehingga menyebabkan dana diperuntukkan kerajaan tidak dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Empat kelemahan ini ialah, proses semakan maklumat dikemukakan pemohon sangat lemah, penggunaan alasan darurat atau kecemasan untuk tidak membuat semakan kewajaran terhadap pemohon, tiada mekanisme jelas untuk memantau program atau aktiviti dijalankan serta tiada peraturan dan undang-undang jelas untuk mengambil tindakan terhadap pemohon menyeleweng atau menipu.

Kerajaan sebelum ini menyediakan pelbagai dana melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bertujuan membantu rakyat terkesan akibat krisis ekonomi sepanjang penularan pandemik COVID-19.

Penyelewengan dana PENJANA di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilihat antara cukup serius dan membimbangkan kerana bilangan individu dan syarikat didakwa atas tuduhan tuntutan palsu semakin meningkat.

Misalnya, 133 individu terdiri daripada pemilik dan pengarah syarikat ditahan SPRM dalam operasi khas tahun lalu, selain lebih 100 syarikat disiasat membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM194 juta dengan 34 pemilik atau pengarah syarikat didakwa di mahkamah.

Ini membuktikan laporan SPRM itu memiliki asas kukuh dan terdapat kelemahan sangat ketara dalam prosedur penyaluran dana kerajaan dan proses pemantauan selepas itu.

Tatkala pihak berkuasa terus memburu, menangkap dan mendakwa semua 'buaya ekonomi' terbabit menyelewengkan dana kerajaan, perlu ada langkah intervensi segera bagi memperkemas dan mengetatkan prosedur penyaluran dana kerajaan kepada kumpulan sasaran.

Agensi kerajaan terbabit perlu meneliti semua kelemahan dikenal pasti SPRM dan segera menutup ruang serta peluang yang ada supaya tidak lagi dimanipulasi buaya ekonomi.

Misalnya dalam soal proses semakan permohonan, perlu ditingkatkan aspek tahap semakan, iaitu perlu membabitkan dua atau tiga peringkat tapisan membabitkan kategori pegawai berlainan jawatan dan pangkat bagi memastikan semakan itu teliti dan telus.

Selain itu, oleh kerana ia membabitkan jumlah besar, semakan juga tidak boleh terhad kepada penelitian terhadap bukti dalam bentuk dokumen semata-mata, sebaliknya pegawai perlu turun padang menyiasat dan memastikan ia betul dan sahih.

Langkah ini dapat menangani kes penipuan seperti memberikan butiran palsu senarai nama pekerja tidak pernah wujud di samping kes permohonan daripada syarikat dimiliki orang sama.

Perlu juga ada prosedur semakan silang data melalui perkongsian strategik antara agensi, misalnya agensi terbabit wajar menyemak status pemilikan dan pengoperasian sesebuah syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Mekanisme pemantauan jelas, teratur

Ironinya, agensi kerajaan tidak boleh bekerja secara silo sebaliknya perlu bekerjasama bagi membantu menguruskan prosedur penyaluran dana bantuan kepada rakyat secara cekap, telus dan efisien.

Pada masa sama, pematuhan terhadap prosedur perolehan yang betul tidak boleh dikompromi dengan alasan keperluan darurat atau kecemasan sehingga tidak melakukan semakan kewajaran.

Pegawai diberikan amanah perlu memastikan, walaupun dalam keadaan darurat, proses perolehan atau penyaluran dana tetap diteliti dengan penuh tanggungjawab sebelum meluluskannya.

Dalam konteks ini pegawai kerajaan perlu bertindak berpaksikan Garis Panduan Perbelanjaan Darurat (AP55), satu kaedah untuk melaksanakan perbelanjaan dalam keadaan darurat dan tiada peruntukan serta Perolehan Darurat (AP173.2), satu kaedah perbelanjaan dalam keadaan darurat yang mana terdapat peruntukan diluluskan tetapi peraturan perolehan tidak dapat dipatuhi sebagai panduan.

Agensi kerajaan juga perlu ada mekanisme pemantauan lebih jelas dan teratur bagi memastikan sesuatu program atau aktiviti itu benar-benar dilaksanakan seperti dalam permohonan.

Kita tidak boleh hanya tunggu dan percaya bulat-bulat laporan pelaksanaan program dikemukakan pemohon. Idealnya, agensi kerajaan wajar membentuk sebuah pasukan pemantau khas untuk turun padang memantau pelaksanaan aktiviti.

Selain itu, aspek peraturan dan undang-undang perlu memberikan kelebihan kepada pihak berkuasa dan kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu dan syarikat membolot dana.

Dalam hal ini misalnya, perlu ada undang-undang membolehkan kerajaan mendapatkan semula dana ditipu dan tidak dibelanjakan.

Apa yang amat diharapkan, semua agensi kerajaan perlu segera melaksanakan langkah intervensi bagi memperkasa prosedur permohonan dan penyaluran dana, sebagai langkah berkesan menangani segala unsur penipuan serta penyelewengan daripada 'buaya ekonomi'.

Langkah ini perlu disegerakan kerana kita yakin banyak lagi saluran dana untuk membantu rakyat akan diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini, justeru kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Timbalan Ketua, Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Berita Harian X