Selasa, 29 November 2022 | 12:05pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kabinet Anwar harapan baharu 'bahtera Malaysia'

PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) baharu membuka ruang untuk perhatian beralih kepada kemajuan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Perkembangan terkini menyaksikan kemelut politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mulai reda, namun 'bahtera Malaysia' perlu bersedia berdepan kelembapan ekonomi dunia pada 2023.

Peperangan Russia-Ukraine tidak berkesudahan, ketidakstabilan geopolitik antara negara kuasa besar, tekanan inflasi global serta impak pandemik COVID-19 masih terasa, sekali gus menuntut Malaysia bertindak segera.

Maka, sejauh mana PM, pasukan kepemimpinan baharu dapat mengemudi Malaysia dengan pertumbuhan yang baik, mampan dan memanfaatkan semua menjadi perhatian semua.

Ada dua cabaran besar perlu diberi perhatian nakhoda baharu negara. Pertama, sejauh mana bahtera Malaysia ini dapat terus bergerak pantas dan stabil menongkah ekonomi global 2023 dijangka lembap.

Terkini, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia 2023 semakin lembap pada tahap 2.7 peratus. Pertumbuhan negara maju dijangka mencapai kadar 1.1 peratus.

Sebagai ekonomi kecil terbuka, Malaysia amat terdedah kepada prestasi ekonomi global lembap ini. Ditokok pula dengan tekanan inflasi global, khususnya di negara maju.

Kadar inflasi di AS masih tinggi pada kadar 7.7 peratus. Tindak balas dasar monetari AS menaikkan kadar faedah menjadi pendorong utama kepada penyusutan nilai ringgit dan mata wang dunia lain kebelakangan ini.

Untuk Malaysia, kepantasan pembentukan kerajaan lengkap dan berfungsi sepenuhnya amat penting. Dasar perlu dibuat segera.

Namun, tiga kelewatan sering mengehadkan keupayaan sebuah kerajaan iaitu kelewatan mengenal pasti (recognition lag), kelewatan pembuatan keputusan (decision lag) dan kelewatan pelaksanaan (execution lag). Maka, ia perlu diatasi dengan berkesan.

Kita mengharapkan PM baharu akan dapat merubah kelemahan tradisi kerajaan ini. Proses pembuatan keputusan pada semua peringkat perlu dipermudahkan, tanpa kompromi terhadap tatakelola awam.

Pengurangan bilangan menteri menerusi pengecilan saiz kabinet sering didorong pertimbangan politik amat dialu-alukan. Ini cabaran besar buat Malaysia.

Azam Anwar untuk menghentikan kelaziman menjadikan lantikan menteri sebagai 'ganjaran' sokongan politik amat dialu-alukan. Kita mengharapkan menteri mempunyai kredibiliti, dihormati, sebaiknya mempunyai pengalaman kepemimpinan dan pengetahuan terbaik, mampu memberi komitmen serta memiliki akauntabiliti. Ini adalah konsep Malaysia baharu yang amat dinantikan.

Tak perlu tubuh pelbagai majlis kerajaan 

Di samping pengurangan bilangan kementerian, penubuhan pelbagai majlis kerajaan yang sering wujud sebagai tindak balas segera untuk menangani permasalahan semasa atau menggerakkan misi strategik negara juga perlu dinilai semula.

Lebih wajar jika ia dikurangkan. Penubuhan majlis bukan penyelesaian untuk kerajaan. Keberkesanan tindakan menyelesaikan masalah jauh lebih penting daripada penubuhan majlis yang lazim hanya bermesyuarat dua hingga empat kali setahun.

Bagi majlis dilihat masih perlu dikekalkan, urus setia majlis berpangkalan di kementerian perlu dinaik taraf ke peringkat lebih tinggi dan diberi mandat sebagai 'pasukan bertindak berdedikasi', bukan menjadi urus setia mesyuarat penyediaan kertas, minit mesyuarat dan kenyataan akhbar sahaja.

Pasukan bertindak ini mesti diterajui dan dianggotai individu berkualiti dan berprestasi tinggi, manakala masalah dihadapi, ditangani berterusan hingga selesai.

Ini bermaksud cara kerajaan berfungsi mesti berubah. Kerajaan perlu meningkatkan koordinasi tindakan. Birokrasi bertindan sering wujud, malah berleluasa di Malaysia atas alasan keperluan tatakelola rapi.

Birokrasi keterlaluan melewatkan pelaksanaan. Penubuhan institusi kawal selia sering kali lebih menghasilkan kerenah birokrasi yang remeh berbanding membuahkan kecekapan awam diperlukan.

Urusan awam-kerajaan dirumitkan dengan birokrasi keterlaluan. Perkara mudah-kecil memaksa rakyat perlu 'berlari' ke sana sini untuk mendapat dan mengisi pelbagai borang dan syarat.

Ini berlaku pada semua peringkat, bermula menerima pelabur antarabangsa sehingga mendapat lesen berniaga kecil-kecilan. Birokrasi mesra rakyat dan perniagaan perlu diutamakan.

Kedua, transformasi struktur ekonomi perlu menjadi keutamaan. Dalam hal ini, bukan masalah pusingan ekonomi semasa perlu diutamakan, tetapi perkara asas mengukuhkan daya saing dan meningkatkan daya tahan negara untuk terus kompetitif.

Ia bagi membolehkan ekonomi Malaysia tumbuh dengan mampan, bersaing, berfungsi menepati land- skap ekonomi baharu selain menjadi tarikan kepada sumber bakat, pelaburan dan dana berkualiti.

Sebahagian besar keluhan rakyat, khususnya kos sara hidup semakin tinggi, lonjakan harga rumah, peluang menjana pendapatan berkualiti terhad, kadar upah dan gaji malar, peluang pekerjaan dan keusahawanan berkualiti serta kualiti sistem pendidikan memerlukan perubahan bersifat struktural.

Semua isu ini tidak boleh diselesaikan dengan perubahan bersifat tempelan kecil atau pemberian subsidi dan bantuan kebajikan semata-mata. Isu jurang pembangunan dan pencapaian antara wilayah, pelbagai lapisan pendapatan B40, M40 dan T20, umur, gender dan kumpulan etnik juga didorong halangan bersifat struktural.

Segera adaptasi teknologi terkini 

Sementara itu, keupayaan negara mengadaptasikan teknologi terkini sebagai asas kepada aktiviti dan pengeluaran ekonomi negara perlu disegerakan.

Kemampuan Malaysia beralih kepada ekonomi digital dan menguasai teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) menentukan daya saing, masa depan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyatnya.

Peningkatan produktiviti adalah jawapan mampan kepada cabaran sekuriti makanan negara, bukan bergantung kepada subsidi. Penerapan teknologi mesti berlaku pada semua peringkat aktiviti ekonomi dalam semua sektor.

Permasalahan struktural ini berlaku sejak sekian lama. Hampir semua dokumen perancangan pembangunan ekonomi negara dan subsektor menyatakan permasalahan struktural ini dengan jelas, berfakta.

Justeru, kerajaan perlu mewujudkan pasukan bertindak transformasi ekonomi yang diberi mandat untuk bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan menangani cabaran struktur dihadapi.

Pelaksanaan yang berkesan ini menjadi pertaruhan besar Malaysia yang baharu. Maka, kita berharap PM, anggota Kabinet bakal dilantik serta keseluruhan jentera perkhidmatan awam akan bersama komited merealisasikan impian ini. Rakyat juga perlu sama tampil menyahut menjadikan Malaysia lebih cemerlang, hebat, makmur dan harmoni untuk semua.

Penulis adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) dan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Universiti Harvard

Berita Harian X