Selasa, 8 November 2022 | 1:03pm
Kewujudan PN mencetuskan ketegangan terhadap kelangsungan BN walaupun suara akar umbi Pahang masih berpihak kepada BN.
Kewujudan PN mencetuskan ketegangan terhadap kelangsungan BN walaupun suara akar umbi Pahang masih berpihak kepada BN.

Pengaruh BN di Pahang kekal dominan di sebalik kemunculan PN

Pahang, sebuah negeri dari segi pengamatan politiknya kuat berkisarkan soal Melayu-Islam. Masakan tidak, negeri ini sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dalam kebanyakan negeri tidak stabil selain Barisan Nasional (BN) tumbang, Pahang muncul sebagai negeri BN masih mengekalkan dominasinya.

Bahkan, tidak keterlaluan mengatakan, Pahang sebagai negeri mampu menjadi kayu ukur kekuatan pengaruh dan keupayaan kelangsungan UMNO dan BN.

Walaupun kawasan parlimen tertentu misalnya Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Maran dan Bentong dikuasai Pakatan Harapan (PH), namun ia tidak begitu memberikan impak kepada kelangsungan BN di Pahang memandangkan segmentasi pengundi begitu dominan dalam kalangan 'luar bandar' dan majoritinya adalah kelompok Melayu-Islam.

Sebetulnya paling utama ialah konteks politik negeri Pahang jika mahu dilihat adalah sesuai untuk dianalisis dari sudut 'kesepaduan ideologi' Melayu-Islam yang begitu dominan dan utuh di sini. Dengan populasi masyarakat Melayu-Islam menghampiri 70 peratus, ia dilihat sebagai jaminan kepada kelangsungan UMNO/BN di Pahang.

Lihat sahaja pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini lalu, ia menjelaskan lagi pengukuhan pengaruh BN dan juga Muafakat Nasional (MN) sebelum PAS memilih untuk terus bekerjasama dengan BERSATU dan kekal dalam Perikatan Nasional (PN) menempuhi PRU15.

Dalam konteks Pahang, pertentangan di antara UMNO dan PAS ini membawa kepada satu sudut pandang serta evolusi politik negeri lebih kompleks namun menarik untuk diperhatikan.

Pahang terkenal dengan semangat kuat berkisarkan soal kepahlawanan diterjemahkan dalam konteks budaya politik sehingga meneguhkan nilai Melayu-Islam itu sendiri. Kewujudan PN yang juga berteraskan Melayu-Islam-Bumiputra dilihat mencetuskan ketegangan terhadap kelangsungan BN walaupun dari suara akar umbi (majoriti rakyat Pahang) masih berpihak kepada BN.

Tidak dinafikan, imej Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dikatakan bersih dan berkarisma juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kelangsungan BN di Pahang. Ini disandarkan atas beberapa aspek seperti tadbir urus yang baik di Pahang, kerancakan pembangunan, keseimbangan faedah ekonomi diterima rakyat mampu menjadi faktor pengukuh pengaruh BN.

Walaupun begitu, melihat kepada trend perkembangan pengundi di Pahang sekitar pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu khususnya di PRK Chini, dapat dilihat BN dan MN berjaya mengukuhkan legitimasinya di Pahang. Tetapi disebabkan ketidaksepaduan ideologi dalam MN, menyumbang kepada konflik di antara UMNO dan PAS di peringkat nasional.

Fenomena pertembungan blok Melayu-Islam

Dengan BN sudah sedia ada berpengaruh di Pahang, kemunculan PN yang dominan di dalamnya seperti PAS dan BERSATU menyumbang kepada kerumitan dalam hubungan kedua-duanya.

Dijangkakan fenomena pertembungan blok Melayu-Islam bakal berlaku berpotensi menyumbang kepada pengurangan dominasi kerusi BN serta mampu memberikan keuntungan kepada PH sekiranya pertembungan ini benar-benar terjadi.

Walaupun di peringkat nasional, situasi politik Malaysia sudah berdepan dengan transisi ataupun perubahan baik dari segi dominasi kepartian, karisma pemimpin dan prestasi tadbir urus, hakikatnya di peringkat negeri, situasi ini masih belum boleh dikatakan sudah mendominasi.

Bahkan di Pahang, aspek sedemikian, masih sukar untuk digambarkan. Tetapi, berdasarkan situasi pertembungan berlaku di Pahang, kemungkinan untuk berlakunya pengurangan dominasi BN itu tetap ada dengan kemunculan PN sebagai alternatif kepada pengundi Melayu-Islam manakala Gerakan Tanah Air (GTA) berpotensi memecahkan blok undi kelompok Melayu-Islam. Situasi ini mungkin boleh terjadi atas beberapa faktor.

Pertama, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan calon daripada blok beliau juga cenderung mempengaruhi kemampuan BN.

Walaupun BN dikatakan berpotensi mengekalkan dominasi di Pahang, namun tindakan Ahmad Zahid mengenepikan beberapa figura besar khususnya bekas Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, sedikit sebanyak mempengaruhi ketidakstabilan dalaman UMNO.

Beberapa calon dikatakan tidak menjadi pilihan menyebabkan ketidakpuasan hati di peringkat bahagian dan akar umbi. Sekiranya ini berterusan dalam tempoh terdekat, potensi pengenduran dominasi kemenangan BN mungkin berlaku di Pahang.

PN berpotensi menjadi alternatif

Kedua, PN berpotensi menjadi alternatif lain kepada kelompok pengundi Melayu-Islam di Pahang selepas beberapa siri naratif pemimpin bersih dan berintegriti tinggi mula dilaungkan sebagai salah satu pra-syarat memilih pemimpin.

Kemunculan figura dominan dalam PAS seperti Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, dikatakan berpotensi mencetuskan fenomena baharu di Pahang.

Ditambah pula dengan kerancakan kerusi Parlimen lain seperti Temerloh mengetengahkan calon gergasi bakal mencetuskan pertembungan sokongan kelompok pengundi Melayu-Islam.

Ketiga, pengaruh pengundi baharu. Apabila Undi18 digazetkan dan bakal dilaksanakan dalam PRU15 ini, pertambahan pengundi besar di Pahang bakal menyaksikan permainan teka teki terhadap parti mana bakal menjadi pilihan kelompok ini.

Dengan jumlah pengundi baharu sekitar 295,538 orang, ia bakal mencetuskan satu fenomena berkemungkinan menyaksikan perubahan undi dan sokongan terhadap parti pernah mendominasi di Pahang.

Walaupun dari sudut transformasi pembangunan, Pahang dikatakan agak baik di bawah pimpinan Wan Rosdy, namun disebabkan situasi semasa dengan kadar literasi politik pengundi muda masih di tahap kurang memuaskan, kemungkinan berlakunya transisi politik itu pastinya ada.

Justeru, sekiranya politik Pahang bakal berdepan transisi, perkara perlu diambil kira adalah soal politik intelek, kualiti kepemimpinan, iltizam perjuangan, transformasi masyarakat, sokongan akar umbi dan manifesto sesuai dicapai.

Melihat kepada situasi semasa, aspek ini sebenarnya mendasari dalam konteks Pahang dan bakal diterjemahkan dalam keputusan PRU15 nanti. Yang menjadi persoalan, bersediakah rakyat Pahang untuk berdepan transisi politik sekiranya berlaku?

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub merangkap Timbalan Pengerusi Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF)

Berita Harian X