Sabtu, 1 Oktober 2022 | 1:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perlombongan lantanid lebih banyak bawa bala daripada laba

Isu lantanid menarik perhatian kerana dua sebab utama. Pertama, latar belakang penulis dalam bidang kimia dan pernah berkhidmat sebagai ahli kimia di dalam dan luar negara, manakala kedua, penulis sendiri berasal dari Hulu Perak dikelilingi kehijauan gunung dan kaya dengan khazanah alam semula jadi.

Hulu Perak ialah daerah terbesar di Perak yang merangkumi tiga daerah kecil, iaitu Gerik, Pengkalan Hulu dan Lenggong.

Lembah Lenggong diiktiraf Tapak Warisan Dunia ketika mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia di Saint Petersburg, Russia pada 30 Jun 2012.

Tapak ini membekalkan siri urutan budaya mengikut kronologi bermula zaman Paleolitik hingga Neolitik dan Zaman Logam. Begitu juga Taman Negeri Royal Belum dipercayai wujud lebih 130 juta tahun hingga menjadikannya antara hutan hujan tertua di dunia, lebih tua berbanding Hutan Hujan Amazon dan Hutan Hujan Kongo.

Bagi menjawab isu perlombongan lantanid itu, penulis cuba mencari faedahnya selain pulangan atau habuan kewangan kepada pihak berkepentingan sahaja. Selain imbuhan kewangan, projek ini dikatakan dapat menyediakan peluang pekerjaan.

Dari aspek peluang pekerjaan, kajian dijalankan untuk menyiasat pendedahan pekerja kepada unsur nadir bumi (REE) di kilang pemprosesan REE utama dari China Utara dengan menilai pendedahan luaran dan pendedahan dalaman pekerja.

Kumpulan pendedahan termasuk 50 pekerja di kilang pemprosesan dan kumpulan kawalan turut membabitkan 50 pekerja dari kilang minuman keras terletak 150 kilometer (km) daripada kumpulan pertama diambil dalam kajian itu.

Data menunjukkan pencemaran jauh lebih tinggi di kilang pemprosesan REE berbanding kumpulan kawalan, iaitu 87.5 berbanding 0.49 mikrogram per meter padu udara /m3 kelimpahan REE, manakala kepekatan darah jauh lebih tinggi dalam kumpulan pendedahan (3.47 berbanding 2.24 mikrogram per liter kelimpahan REE).

Data ini jelas menunjukkan pencemaran lantanid tinggi dalam persekitaran kerja dan badan manusia berbanding subjek kawalan.

Apa itu lantanid

Secara kimianya, lantanid ialah siri unsur kimia terdiri daripada 15 unsur bermula lantanum (La) hingga lutetium (Lu) pada jadual berkala dengan nombor atom 57 hingga 71. REE atau lantanid ini menjadi bahan utama teknologi moden seperti dalam aplikasi sistem pertahanan ketenteraan dan telefon pintar kerana sifat magnetik, fosforus serta pemangkin unik.

Kawasan dicadangkan untuk melombong lantanid adalah seluas 2,161 hektar di Kenering, Hulu Perak. Tapak projek ini menghubungkan Hutan Simpan Kenderong, Hutan Simpan Bintang Hijau (Hulu Perak) dan Hutan Simpan Belukar Semang.

Projek ini mencadangkan perlombongan larut resap setempat dan penjerapan ion lantanid. Proses ini membabitkan penggerudian lubang ke dalam deposit bijih. Kemudian, suntikan larutan ammonium sulfat ke dalam jasad bijih melalui lubang suntikan berkenaan di bawah tekanan tertentu untuk mengekstrak mineral ini dalam bentuk ion. Larutan mengandungi kandungan bijih terlarut akan dikumpulkan untuk proses seterusnya di loji hidrometalurgi.

Banyak kajian dijalankan dan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa berkaitan perlombongan lantanid ini. China menguatkuasakan pengharaman perlombongan larut resap in-situ (setempat) sejak Jun 2011. Oleh itu, pelbagai masalah timbul merosakkan alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan tanah runtuh.

Berkaitan pencemaran air bawah tanah ini, penyelidikan dijalankan di China diterbitkan pada 2020 mendapati selepas 12 tahun projek perlombongan ini selesai, min pH air bawah tanah dalam kawasan perlombongan adalah antara 3.9 dan 4.87 di bahagian bawahnya.

Keadaan ini disebabkan kehadiran sisa bahan kimia dan kepekatan nitrogen ammonia adalah 12 hingga 40 kali lebih tinggi daripada kepekatan tanah bijih mentah sebelum dilombong.

Kaitan tanah runtuh, perlombongan

Berkaitan tanah runtuh pula, dilaporkan hampir 100 kes tanah runtuh berlaku di Ganzhou turut dikaitkan dengan perlombongan ini. Kajian dilakukan Xavier dan rakan pengkajinya dalam makalah jurnal Resouces Policy 78 (2022), mendapati aktiviti perlombongan membawa kepada tekanan alam sekitar seperti kemerosotan hutan dan air sisa.

Perubahan alam sekitar akibat tekanan dihasilkan aktiviti perlombongan adalah perubahan dalam litupan tanah dan kemerosotan habitat membawa kepada kehilangan biodiversiti, pencemaran udara, air serta tanah. Akibat perubahan persekitaran ini aktiviti kehidupan masyarakat juga terjejas.

Saleem H Ali dalam makalah Social and Environmental Impact of the Rare Earth Industries pada 2014 pula melaporkan kebimbangan semakin meningkat mengenai pencemaran akibat melombong lantanid di China.

Kajian ini juga menyentuh konflik antara sosial dengan alam sekitar menyelubungi pembangunan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Kuantan yang membawa kepada perhatian aktivis antarabangsa atas dakwaan ketidakadilan alam sekitar dan sosial.

Apa akan berlaku selepas segala hasil bumi dijarah? Lombong berkenaan akan ditinggalkan dan turut mengundang masalah kepada penduduk setempat ,terutama kepada kanak-kanak.

Jika kita tinjau dari perspektif Islam, Allah SWT berfirman: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat serta laut dengan sebab apa dilakukan tangan manusia (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian balasan perbuatan buruk mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan taubat)." (Ar-Rum: 41)

Teknik kitar semula

Selain isu lantanid di Perak, kita juga menyaksikan pemandangan bukit ditarah dan digondol di Simpang Pulai, apabila sampai di Ipoh. Keadaan ini jelas bertentangan firman Allah SWT: "(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang yang mati?) Bukankah Kami menjadikan bumi terbentang luas sebagai hamparan dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya." (An-Naba': 6–7)

Justeru, bagi tujuan mengekalkan pengeluaran REE global dan mencapai pembangunan mampan, teknik kitar semula untuk meminimumkan jumlah keperluan bahan itu bagi setiap unit peranti menjadi perhatian serius bagi mengurangkan jejak gas rumah hijau.

Kajian itu sebenarnya sudah dilakukan R Dutta dalam Encyclopedia of Renewable and Sustainable Materials Vol.3 terbitan 2020.

Malah, penulis juga menyarankan kita melihat pelaksanaan program pembangunan mampan di New Zealand kerana ketika penulis bekerja di negara itu, penulis kagum dan terpukau melihat keindahan alam semulajadinya.

Dari pulau paling utara hingga paling selatan, semua terjaga. Malah, kita boleh terus minum air daripada paip tanpa perlu memasang penapis air atau membeli air mineral dalam botol.

Semua ini disebabkan pemikiran semua pihak menjaga alam sekitar dari peringkat paling tinggi hingga paling bawah. Kita pula terpaksa membayar kos tinggi untuk melancong ke New Zealand semata-mata ingin melihat keindahan alamnya sedangkan alam dianugerahkan kepada kita di sini, sudah kita cemari.

Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X