Rabu, 21 September 2022 | 1:00pm
Peratusan wanita memegang jawatan pengetua sekolah di Pahang masih rendah sedangkan majoriti guru adalah wanita.
Peratusan wanita memegang jawatan pengetua sekolah di Pahang masih rendah sedangkan majoriti guru adalah wanita.

Dasar, pelan tindakan perkasa keupayaan wanita Pahang

Sejak kemerdekaan tanah air dan penubuhan Malaysia pada 1963, wanita di Malaysia mencapai kemajuan pesat dalam pelbagai bidang pengurusan, ikhtisas dan perniagaan.

Peningkatan tahap pendidikan, peluang pekerjaan dan perubahan sosiobudaya membolehkan wanita bergerak progresif dan berdaya saing untuk menyumbang ke arah pembinaan negara bangsa.

Hal ini jelas menunjukkan dasar kesamarataan gender berjaya memberikan peluang sama kepada golongan wanita. Meskipun begitu, masih terdapat pelbagai cabaran menghambat kemajuan wanita untuk terus berkembang dan menyumbang secara lebih aktif dan bermakna.

Di Pahang, golongan wanita, tidak kira latar belakang dan tahap pendidikan berperanan penting dalam mengukuhkan ekonomi keluarga serta meningkatkan produktiviti negeri.

Walaupun pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan kerajaan negeri bagi memperkasa peranan dan sumbangan wanita, tugas ini masih perlu terus diperkemaskan.

Meneliti trend pada peringkat kebangsaan, wanita di Pahang boleh dikatakan masih ketinggalan dalam pelbagai sektor khususnya sektor ekonomi dan kepemimpinan.

Sebagai contoh, dalam konteks kepemimpinan politik, badan berkanun dan korporat, data menunjukkan ketidaksamarataan gender masih sangat kritikal.

Hanya 10 peratus wanita terbabit dalam kepemimpinan politik dan hanya 8.0 peratus wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam agensi Pahang.

Peratusan wanita memegang jawatan pengetua sekolah di Pahang juga masih rendah sedangkan majoriti guru adalah wanita. Nisbah pemimpin wanita kepada guru wanita adalah 1:146 berbanding lelaki, iaitu 1:28.

Secara umumnya, walaupun golongan wanita ramai bekerja di dalam sesebuah organisasi, mereka lebih cenderung diberi peranan bersifat operasi berbanding pengurusan atau pembuatan keputusan.

Justeru, sudah tiba masanya satu usaha drastik dilakukan kerajaan negeri bersama pihak berkepentingan lain dalam mengangkat dan mengiktiraf kedudukan serta sumbangan wanita Pahang secara saksama, setaraf dengan potensi mereka.

Atas kesedaran ini, buat julung kalinya, kerajaan negeri membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP) 2022-2026 yang bertujuan memperkasa keupayaan wanita.

Dokumen komprehensif ini menggariskan aspirasi dan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangun dan meningkatkan potensi wanita dalam segala aspek kehidupan supaya mereka dapat menyumbang secara optimum.

Dasar induk ini mengandungi 10 kluster, iaitu Pendidikan, Kekeluargaan, Perundangan, Kesihatan, Keagamaan, Pekerjaan, Keusahawanan, Teknologi, Kepimpinan serta Seni Budaya dan Warisan, di samping menggariskan 24 objektif strategik.

Bagi menjamin impak dan keterlihatannya, DPTWP memperincikan 61 inisiatif strategik akan dilaksanakan secara jangka pendek dan sederhana dengan sumber mencukupi.

Inisiatif dicadangkan mempunyai penggerak utama mewakili agensi kerajaan negeri berkaitan dan disokong beberapa agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Keunikan dasar ini terletak kepada pengukuhan asas nilai, kesejahteraan dan keselamatan wanita melalui Kluster Keagamaan, Kekeluargaan dan Kesihatan sebagai teras strategik dan disokong teras penggerak kluster seperti Pendidikan, Teknologi dan Kepimpinan bagi meningkatkan kemandirian diri serta kerjaya.

Aspek keagamaan dan kesihatan turut diberi perhatian serius bagi meningkatkan amalan agama dalam kehidupan seharian serta memastikan kesinambungan gaya hidup sihat.

Melalui program 'Bidadari Sihat', pelbagai aktiviti saringan, kutipan data, pemeriksaan, kempen dan ceramah kesihatan dilaksanakan melalui empat kumpulan iaitu bidadari kecil, remaja, belia dan emas.

Memandangkan peranan wanita amat sinonim dengan institusi kekeluargaan, maka program 'Keluarga Makmur' dilaksanakan bagi mengukuhkan kelestarian institusi kekeluargaan melalui program seperti literasi kewangan, perlindungan nyawa dan akal, serta pemuliharaan agama.

Kluster Pekerjaan dan Keusahawanan pula komited meningkatkan penyertaan wanita dalam pekerjaan serta memperkasa jati diri serta kemahiran usahawan wanita melalui program latihan seperti She-Novates, SHE-Rise dan She-Savvy yang akan menghasilkan pensijilan, khususnya kepada graduan wanita, ibu tunggal dan wanita luar bandar.

Satu agenda perubahan dirangka dalam Kluster Kepimpinan bagi meningkatkan iltizam pelbagai pihak berkepentingan terhadap kepimpinan wanita.

Objektifnya adalah untuk menyemai tanggungjawab dan kepedulian tinggi dalam kalangan pemimpin lelaki untuk merealisasikan kesamarataan dan keadilan gender.

Antara inisiatif dirancang ialah program 'Male Champions of Change' iaitu pemimpin lelaki dipilih menjadi agen perubahan dalam meningkatkan pembabitan dan meraikan pemimpin wanita, dan 'Program inisiatif Plus Satu' iaitu program pembangunan bakat 'fast track' untuk wanita berpotensi tinggi bagi organisasi terpilih.

Sementara 'Program Ummu Umarah' pula mempromosi tokoh dan bakat pemimpin wanita Pahang berintegriti dan berwawasan melalui aktiviti karnival, program media, anugerah dan kursi kepimpinan.

Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang ini diharap akan dapat mencapai matlamat memperkasa wanita dalam pelbagai aspek kehidupan khususnya nilai, kesejahteraan, keikhtisasan dan kepemimpinan.

Kemajuan wanita bukan hanya baik untuk kaum wanita, tetapi juga baik untuk ekonomi, institusi keluarga dan kemakmuran masyarakat.

EXCO Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang

Berita Harian X