Rabu, 21 September 2022 | 12:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Guna pakai strategi 'berundur' atasi impak banjir jangka panjang

Persiapan awal kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri dalam menghadapi banjir kali ini harus dipuji. Inisiatif mengaktifkan segera peranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di semua lokasi bencana diharap membantu mengurangkan impak banjir Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Persediaan logistik menjadi tumpuan terutama terhadap kerja menyelamat dan penyampaian bantuan di lokasi bencana, selain pengurusan mangsa serta menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti.

Terbaru, makanan disediakan menggunakan teknologi retort di semua pusat pemindahan sementara (PPS). Ini tentunya berupaya mengurangkan impak dan lebih penting, mengurangkan jumlah korban banjir.

Kerjasama erat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Persekutuan, negeri dan daerah dalam berkongsi sumber logistik amat kritikal menjelang November, apatah lagi banjir di negara ini bersifat rentas sempadan negeri dan daerah. Semangat perkongsian ini harus diterapkan kepada mangsa di PPS agar bantuan atau kemudahan sedikit tetap memadai.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah sedia mengaktifkan 6,010 PPS di seluruh negara yang boleh menempatkan hampir 1.6 juta mangsa. Angka ini menjadi jumlah terbesar pernah disaksikan negara, justeru semua agensi terbabit sama ada pada peringkat negeri atau daerah bencana perlu memastikan kelancaran bantuan menerusi komunikasi mantap kepada Keluarga Malaysia terjejas.

Sekitar dua bulan mendatang ini harus dimanfaat dengan sewajarnya untuk operasi banjir. Selain perancangan pergerakan anggota dan aset ke kawasan risiko, pengisian Oktober sebagai Bulan Kesiapsiagaan Negara perlu dimasukkan dengan raptai di lokasi mudah banjir demi meningkatkan waspada dan komunikasi kepada semua lapisan masyarakat dalam menghadapi bencana.

Bencana banjir sebelum ini dikaitkan jumlah taburan hujan lampau lebat hasil rantaian fenomena iklim serantau. Sehubungan itu, sebaran maklumat jelas mengenai dinamik cuaca di rantau Asia Tenggara kepada orang awam, terutama dari segi pengaruh pergerakan lekukan tropika perlu diterjemah dalam bentuk mudah difahami semua.

Sudah tentu kepakaran dan pengalaman Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan dapat memberi keyakinan kepada mangsa untuk berpindah awal sebelum banjir berlaku. Namun, keraguan majoriti mangsa banjir enggan berpindah kerana bimbang kemungkinan kecurian harta benda harus ditangani dengan kaedah lebih meyakinkan.

Data mangsa banjir dan inventori aset milikan mangsa menjadi titik fokus negara ketika ini – cerapan kedua-duanya memberi nilai tahap bencana dialami Malaysia. Mengambil sikap proaktif, penyimpanan data ini serta salinan dokumen penting secara dalam talian perlu dilaksanakan dengan bantuan agensi kerajaan sebelum banjir terjadi.

Semasa dan juga selepas banjir surut, ramai sukarelawan akan hadir membawa bersama barangan makanan seperti beras. Seharusnya proses pendaftaran sukarelawan dimulakan segera, manakala bank data sukarelawan diwujudkan hingga ke peringkat daerah demi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan banjir serta mengelakkan pembaziran sumber tenaga sukarelawan mahupun barangan keperluan disumbangkan.

Mengurus banjir juga bermakna mengurus emosi masyarakat sama ada yang tidak bernasib baik menjadi mangsa ataupun yang menjadi pemerhati dan pengkritik tetap.

Maka, kepakaran penjawat awam atau rakyat patriotik diperlukan dalam membantu secara sukarela untuk menyalur maklumat tepat kepada masyarakat ketika banjir yang sering menyebabkan sistem komunikasi seperti telefon mudah rosak, terputus atau tergendala.

Fahami fungsi, peranan agensi kerajaan  

Namun, masyarakat juga harus faham banjir mempunyai fasa sebelum, semasa dan selepas, selain kepelbagaian jenis banjir di negara ini seperti banjir kilat, banjir monsun dan banjir air pasang besar. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memahami fungsi dan peranan agensi kerajaan dan saling turut menyumbang untuk sedikit sebanyak meringankan beban mangsa banjir.

Sebagai langkah jangka panjang, Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan Bencana Negara disyorkan menerima pakai pilihan 'berundur' sebagai satu pendekatan menangani banjir pada era darurat iklim.

Ini bermaksud memindahkan penduduk dari petempatan sedia ada yang sering kali banjir ke suatu kawasan kediaman tetap lain berdasarkan peningkatan kos berulang yang terpaksa dikeluarkan kerajaan saban tahun serta tahap risiko bencana banjir semakin besar.

Strategi 'berundur' bukanlah asing dengan Australia contohnya mula mempertimbangkan kaedah ini dengan adaptasi tertentu bagi kawasan New South Wales terjejas teruk akibat banjir. Malaysia sendiri pernah menyaksikan pemindahan penduduk pada skala besar ketika negara dalam darurat menentang pengganas komunis.

Persoalan kos perpindahan menjangkau ratusan juta mungkin menjadi penghalang. Namun, harus diingat, siri banjir pada 2021 dimulai bencana meragut nyawa penduduk di Jerman dan Belgium, manakala Pakistan sekarang sedang menghadapi banjir besar meragut 1,100 nyawa setakat ini yang kita doa dan harapkan agar tidak menjadi suatu petunjuk kurang baik kepada negara.

Masyarakat umumnya sedar tindakan perpindahan jangka pendek mungkin memberi kelegaan sementara, namun ia tidak menjamin kesembuhan dari impak banjir. Memahami agak sukar untuk berpindah dari kawasan terdedah bencana, pilihan yang ada seperti mengambil insurans perlindungan banjir terhadap aset seperti kenderaan mungkin adalah langkah terbaik ketika ini.

Pada masa sama, perubahan iklim menuntut perubahan sikap dalam gaya hidup masyarakat, terutama bagi penghuni kediaman di kawasan rendah dan sering ditenggelami banjir agar sentiasa waspada dengan kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga.

Sehubungan itu, adalah wajar Malaysia bersiap siaga dengan lebih banyak pelaburan bagi menghadapi bencana ketika musim tengkujuh ini atau apa jua bencana berkaitan iklim dengan rancangan mitigasi dan adaptasi bersifat jangka panjang.

Tanggungjawab mengurangkan risiko bencana banjir ini perlu dipikul secara bersama semua. Ini menuntut perubahan sikap dalam kalangan orang awam daripada gemar menuding jari kepada orang di sekeliling sebagai punca apabila berlaku sesuatu bencana kepada bertindak balas dengan berhemah melalui penyaluran bantuan setakat mampu.

Sememangnya banjir kerap dikaitkan dengan hujan lebat susulan fenomena perubahan iklim. Namun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pembuat keputusan perlu mengambil iktibar daripada kejadian banjir supaya impak pembangunan tidak mesra alam tidak berterusan menyebabkan kita 'mencetak' kerugian seperti RM6.1 bilion kerugian akibat banjir di Lembah Klang pada Disember 2021.

Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X