PULUHAN ribu rakyat hadir di Dataran Merdeka semasa perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Melaka tahun ini. Kibaran Jalur Gemilang dan senyuman gembira di wajah Keluarga Malaysia jelas menggambarkan semangat cintakan tanah air.
Pada saat itu, terlintas di fikiran bahawa kita bukan sekadar meraikan 65 tahun kemerdekaan negara atau 59 tahun pembentukan Malaysia, tetapi juga usahasama serta kegigihan senegara dalam mengharungi pendemik COVID-19 melanda dunia dan Malaysia.
Dalam tempoh Merdeka-Hari Malaysia ini, ramai rakan dan ahli keluarga saya merenung kembali bagaimana kita berada di ambang krisis kesihatan awam dan ekonomi, kemudian berjaya memasuki fasa endemik.
Kesemua pencapaian ini bukan satu kebetulan, tetapi hasil perancangan teliti dan keberanian untuk bertindak berdasarkan pendekatan bukan konvensional.
Masih jelas di ingatan saya semasa COVID-19 mula-mula melanda, dengan kadar kematian dan jangkitan mengerikan serta ekonomi terus merosot. Pada saat itu, saya baharu saja mula bertugas di Kementerian Kewangan (MOF).
Perasaan ketika itu umpama dihumban ke jurang dalam, kerana bencana dahsyat tidak pernah berlaku ini mula mencengkam kehidupan dan kita tiada pengalaman masa lalu untuk dirujuk.
Memang gementar dan bimbang apabila beratus ribu rakyat hilang pekerjaan dan banyak syarikat terpaksa ditutup. Sebagai Menteri Kewangan, saya berhadapan dengan sebuah tragedi seolah-olah tiada kesudahannya.
Kisah seorang ayah yang tidak dapat menyediakan sesuap nasi untuk isteri dan anak-anaknya; atau seorang dua ibu tunggal yang putus asa dek tekanan pandemik sehingga terdorong untuk mengakhiri nyawa sendiri menjadi kisah menyayat hati membuatkan saya sering tidak boleh tidur malam.
Namun, kita juga biasa mendengar kisah-kisah keazaman rakyat meneruskan kehidupan, seperti juruterbang menjadi pembekal makanan; eksekutif korporat tidak lagi bertali leher dan sut kerana terpaksa menjalankan kerja manual.
Terlalu optimis sanggup terajui MOF
Hari-hari saya bergelut dengan hati nurani: adakah saya terlalu optimis apabila menerima tawaran untuk menerajui MOF pada waktu itu? Setiap saat, setiap hari kita mencari jalan untuk menopang ekonomi negara daripada terus merosot.
Dalam dua minggu selepas saya menyertai MOF, kami melancarkan pakej bantuan bagi menyokong ekonomi dan memberi 'talian hayat' kepada mereka hilang pekerjaan atau perniagaan susut pendapatan.
Dalam tempoh dua tahun seterusnya, lapan pakej seumpama itu dilancarkan dengan nilai keseluruhan RM530 bilion, satu nilai begitu besar. Saya juga membentangkan dua Belanjawan negara tertinggi dalam sejarah, iaitu RM322.5 bilion bagi 2021 dan RM332.1 bilion (2022).
Apabila bekalan vaksin COVID-19 mula wujud, kerajaan bertindak pantas memvaksinasi semua rakyat. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) efisien, kita mula nampak sinar harapan.
Walaupun kita kehilangan lebih 36,000 rakyat akibat virus ini, petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan wajar diiktiraf. Bakti dan pengorbanan mereka tidak ternilai – terutama petugas yang tumpas semasa perang sengit dengan virus COVID-19.
Namun, jika diimbas semula, petugas barisan hadapan wujud dalam pelbagai bentuk. Kita sudah biasa melihat mereka dilengkapi peralatan pelindung diri, stetoskop dan picagari.
Hakikatnya, terdapat ramai petugas barisan hadapan ekonomi dan media/komunikasi di belakang tabir berhempas pulas menganalisis data atau melaporkan berita secara bertanggungjawab dalam usaha untuk memulihkan negara.
Mereka juga menyumbang tanpa mengenal erti penat dan lelah sepanjang pandemik. Dasar ekonomi dan komunikasi kerajaan responsif berjaya menaikkan semangat rakyat Malaysia untuk terus bertahan dan kembali
Mereka terdiri daripada rakan sekerja saya di MOF dan kementerian lain serta badan media dan pelbagai agensi kerajaan. Merekalah yang memastikan ekonomi kekal stabil dan maklumat terkini disampaikan secara adil dan telus.
Kongsi saat getir MOF, KKM harungi pandemik
Buku saya yang dilancarkan baru-baru ini, 'Weathering the Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of COVID-19' mengisahkan saat-saat getir pandemik kita harungi serta pelbagai platform untuk berkongsi dasar MOF dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai pemulihan kesihatan awam dan ekonomi.
Kita bergelut dengan isu seperti sekuriti makanan, pemulihan rantaian bekalan terjejas, keperluan operasi berterusan sektor pembuatan, pembongkaran dan penjelasan berita palsu serta macam-macam lagi.
Buku saya menjadi pengiktirafan kepada usaha dan dedikasi buat mereka ini yang juga berjasa demi kesejahteraan negara.
Kita mungkin jatuh, tetapi tidak tersungkur; semangat patah kini kembali utuh. Alhamdulillah, ekonomi negara berkembang ekoran langkah awal seperti subsidi upah bernilai RM21 bilion dan usaha penciptaan pekerjaan untuk rakyat.
Hasilnya adalah pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tiga suku ekonomi berturut-turut iaitu 3.6 peratus (S4 2021);
5.0 peratus (S1 2022) dan 8.9 peratus (S2 2022). Kadar pengangguran pada Julai 2022 pula adalah 3.7 peratus, satu penurunan ketara berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.
Ini semua membuktikan dengan kepemimpinan rasional berdasarkan langkah responsif dan komunikasi/pelaporan bertanggungjawab serta telus, bahtera ekonomi negara mampu distabilkan semula ke arah perairan lebih tenang untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Kini sudah masuk 30 bulan saya di MOF. Saya berasa sedikit lega, dan amat bersyukur kerana berpeluang menerajui MOF sejak Mac 2020, untuk sama-sama berjuang sebagai 'askar' yang berjaya membendung pandemik ini.
Banyak kisah rakyat diketahui
Semangat kerjasama rakyat kita sebenarnya amat kuat dan sekiranya kita bersatu berganding bahu, nescaya Malaysia mampu maju dan mara ke hadapan.
Sejak ekonomi mula dibuka semula perlahan-lahan sehinggalah dibuka sepenuhnya, saya berjumpa dengan ramai peniaga kecil dan besar. Dari mak cik penjual songkok di Kampung Baru, hinggalah ke perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai pasaran di ASEAN.
Rata-rata mereka melahirkan rasa bersyukur dapat berniaga semula. Banyak lagi cerita sebegini dikongsi dengan saya.
Ini mencetuskan satu kesedaran bahawa ada pelbagai kisah rakyat di luar sana yang tidak saya ketahui semasa dalam dunia korporat. Rutin harian saya kini amat berbeza dan terlalu sibuk berbanding dahulu, namun nilai perasaan puas dengan peluang berkhidmat untuk rakyat, tidak dapat saya gambarkan sepenuhnya.
Pada pendapat saya, 'Keluarga Malaysia' bukanlah sekadar sebuah slogan; ia kesinambungan perjuangan nenek moyang kita yang bertungkus-lumus mengasaskan negara aman dan progresif.
Insya-Allah hidup akan lebih bermakna sekiranya kita semua memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan visi ini, demi tanah air kita yang tercinta.