Jumaat, 5 Ogos 2022 | 2:31pm
Atlet angkat berat negara menyumbang pingat emas pertama Malaysia, Mohamad Aniq Kasdan adalah pelajar Diploma Pengurusan Sukan UiTM.
Atlet angkat berat negara menyumbang pingat emas pertama Malaysia, Mohamad Aniq Kasdan adalah pelajar Diploma Pengurusan Sukan UiTM.

Jadual fleksibel, biasiswa bantu atlet IPT cemerlang sukan, akademik

PASTINYA perhatian rakyat Malaysia tertumpu kepada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menyaksikan skuad badminton dan atlet angkat berat tanah air memungut pingat emas. Malah, aksi atlet muda olahraga negara turut mencuri tumpuan kita di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia, Cali, Colombia.

Sudah tentu ramai anak Malaysia memasang impian untuk mewakili negara ke kejohanan serupa terutama Olimpik tetapi mungkin ada tertanya-tanya apakah ia perlu 'mengorbankan' pencapaian akademik?

Mungkin tidak ramai tahu atlet angkat berat negara menyumbang pingat emas pertama Malaysia, iaitu Mohamad Aniq Kasdan adalah pelajar Diploma Pengurusan Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM), manakala rakan sepasukannya, Muhammad Erry Hidayat yang merangkul pingat perak juga adalah mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak lupa, ratu terjun negara yang menjadi antara sandaran pingat dalam temasya kali ini, iaitu Nur Dhabitah Sabri sedang mengikuti program Sarjana Muda Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hakikatnya sebagai atlet pelajar di sekolah, jika anda cemerlang dalam bidang sukan, pembabitan itu adalah kelebihan untuk dipertimbangkan apabila memohon untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Kepentingan lanjut pengajian di IPT

Pelbagai input menarik dikongsi kolej dan universiti dalam memberi ruang dan peluang kepada calon cemerlang dalam bidang sukan serta mempunyai kelayakan dalam akademik bagi memperkasakan lagi pembangunan sukan secara holistik di negara ini.

Nur Dhabitah Sabri sedang mengikuti program Sarjana Muda Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nur Dhabitah Sabri sedang mengikuti program Sarjana Muda Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tanpa mengira jenis sukan diceburi, tawaran sentiasa terbuka kepada semua calon atlet. Ini antara usaha baik dalam memberi kesedaran terhadap kepentingan melanjutkan pengajian di menara gading supaya mereka bukan hanya cemerlang akademik, bahkan dalam sukan juga agar sentiasa bergerak seiring dengan matlamat ditetapkan.

Jika dilihat senario sekarang, atlet menonjol akan diberi keutamaan dalam proses permohonan universiti terhadap program tertentu seperti sains sukan, pendidikan jasmani dan kejurulatihan. Mereka mungkin akan diterima pihak universiti jika berjaya melayakkan diri secara merit dan jika bernasib baik, akan ditawarkan biasiswa sukan kerana pencapaian sukan sangat cemerlang.

Di negara ini, terdapat beberapa kolej dan universiti menawarkan biasiswa sukan kepada pelajar cemerlang dalam sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain diskaun serta pengecualian yuran kolej kediaman. Tidak ketinggalan, biasiswa sukan disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada atlet IPT.

Contohnya, Biasiswa YB Menteri Pengajian Tinggi bermatlamat menggalakkan atlet cemerlang dalam bidang sukan dan pada masa sama mempunyai potensi baik untuk meneruskan pengajian di IPT bermula dari peringkat diploma hingga ijazah lanjutan (sarjana dan doktor falsafah) seperti ketetapan dinyatakan dalam syarat kelayakan.

Tawaran biasiswa ini terbuka kepada semua atlet bergiat aktif dalam semua bidang sukan diiktiraf KPT dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK) adalah perkara biasa institusi pendidikan menawarkan biasiswa kepada atlet pelajar dalam sukan seperti golf, bola keranjang, bola sepak, ragbi serta renang.

Maka, peluang untuk pelajar meningkatkan prestasi mengasah bakat dalam bidang sukan adalah semakin mudah sambil meneruskan pengajian mereka.

Selain itu, jadual akademik fleksibel bersesuaian dengan jadual latihan yang dijalani juga harus sentiasa diberi perhatian. Tidak dinafikan terdapat pelbagai inisiatif dan program khas membabitkan atlet IPT dilaksanakan universiti masing-masing.

Contohnya, UiTM menyediakan program khas atlet menawarkan pengajian hingga lima tahun di peringkat Diploma Pengajian Sukan.

Begitu juga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baru pertama kali membuat unjuran laluan khas atlet di peringkat Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan selama dua tahun pengajian pada pengambilan Ogos ini.

Namun, jika program seperti ini dapat diselaraskan semua universiti, ia akan menjadi platform baik kepada atlet untuk menjalani latihan dan pada masa sama, tidak ketinggalan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Ini kerana atlet berkenaan akan sentiasa sibuk dalam membuat persiapan ke temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA, Asian University Games (AUG), World University Games (WUG) dan Universiade.

Begitu juga pembabitan mahasiswa dengan Sukan Univerisiti ASEAN (AUG) yang sedang berlangsung sejak 26 Julai lalu hingga esok di Ubon Ratchathani, Thailand membabitkan 275 atlet daripada pelbagai kolej dan universiti yang mengambil bahagian dalam 19 acara daripada 30 acara dipertandingkan. KPT menetapkan sasaran sebanyak 35 pingat emas.

Kejohanan dapat sokongan sistem akademik

Kejohanan kebangsaan turut mendapat sokongan dalam sistem akademik seperti Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Sukan Malaysia (SUKMA) dan kejohanan terbuka. Dari segi penangguhan semester juga menjadi perkara biasa bagi pelajar atlet mewakili negara.

Pusat Kokurikulum di UPSI sendiri turut menyediakan sokongan dari segi subjek kokurikulum berkredit wajib didaftar pelajar sebanyak tiga semester bagi subjek di bawah unit sukan, permainan dan rekreasi, unit persatuan, seni dan kebudayaan dan unit beruniform.

Bagi pelajar aktif menjalani latihan dan menyertai kejohanan boleh mendaftar satu jam kredit bagi setiap semester dengan subjek insentif kokurikulum diwujudkan khas untuk mereka.

Penyelaras dilantik bagi mata pelajaran berkenaan akan bertanggungjawab dalam mengemaskini data dan penilaian terhadap sukan pelajar berpandukan rubrik ditetapkan Unit Akademik dan Kualiti Pusat Kokurikulum.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu atlet dapat meluangkan lebih banyak masa terhadap latihan di universiti. Ia sama seperti pelajar aktif dalam bidang kepemimpinan tertinggi universiti seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) dan termasuk pelajar terbabit dengan bidang kesenian dan kebudayaan.

Di samping bantuan dan sokongan daripada pasukan masing-masing di peringkat kelab, negeri, negara dan tambahan dengan sistem sokongan disediakan setiap IPT, diharapkan agar terus merancakkan lagi pembangunan sukan di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

Penulis adalah Penyelaras Unit Sukan, Permainan & Rekreasi, Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X