Rabu, 20 Julai 2022 | 2:54pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Transformasi pendidikan penting tangani isu keciciran murid

Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) amat memberi perhatian kepada pelaksanaan pendidikan untuk semua dengan membangunkan pelbagai dasar dan garis panduan dengan matlamat merapatkan jurang pendidikan antara komuniti bandar, luar bandar dan pedalaman bagi mengelakkan keciciran pendidikan dalam kalangan kanak- kanak.

Tindakan kerajaan ini bagi memastikan semua kanak-kanak, tanpa mengira jantina, lokasi, latar belakang sosioekonomi atau etnik mendapat akses serta dapat menamatkan pendidikan sekurang-kurangnya peringkat rendah.

Sejak 2012, kerajaan melaksanakan dasar pendidikan percuma. Golongan sasaran khususnya B40, iaitu golongan pendapatan keluarga di bawah gaji bulanan minimum membabitkan kanak-kanak daripada keluarga atau penempatan miskin bandar, luar bandar dan pinggir bandar, kanak-kanak Orang Asli dan tidak berdokumen serta kanak-kanak tinggal di ladang serta pelarian.

Semua kelompok kanak-kanak ini diberi dan disediakan pendidikan percuma lagi berkualiti dalam semua bidang dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti biasiswa, bantuan persekolahan termasuk rancangan makanan tambahan (RMT). Namun, isu keciciran pendidikan kanak-kanak masih berlaku dan diperbincangkan.

Di antara faktor berlaku keciciran ini adalah tahap sosioekonomi keluarga, pengaruh latar belakang sosioekonomi keluarga berasaskan pendapatan isi rumah, pekerjaan ibu bapa, tahap pendidikan ibu bapa dan lokasi tempat tinggal.

Pendapatan rendah jejas pendidikan

Pendapatan keluarga yang rendah antara faktor memberikan impak terhadap proses pendidikan anak. Ini menyebabkan keperluan untuk ibu bapa mempertimbangkan kewangan bagi keperluan asas lebih penting bagi menjamin kelangsungan hidup.

Menurut data dikeluarkan Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi Malaysia (IDEAS) pada 2017, hampir 60 peratus pelajar tercicir adalah daripada keluarga berpendapatan rendah.

Masalah kewangan ini menjadi hambatan kepada majoriti ibu bapa berpendapatan rendah dalam menyediakan kemudahan pendidikan sempurna sehingga mengakibatkan murid terpaksa bekerja bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Ini menyebabkan keciciran murid ke sekolah.

Faktor minat dan motivasi murid turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehadiran ke sekolah. Minat dan tingkah laku sangat mempengaruhi kepantasan murid belajar dan menguasai sesuatu topik.

Sekiranya murid mempunyai sikap positif seperti mengetahui keperluan dan kepentingan pembelajaran, maka mereka akan cuba menguasainya dengan pelbagai cara.

Murid yang berminat dengan apa dipelajari kebiasaannya menunjukkan pencapaian akademik lebih tinggi dan cenderung menguasai kandungan pelajaran berbanding pelajar kurang berminat.

Elemen motivasi dalam kalangan murid akan mendorong mereka untuk melakukan sesuatu memberi impak kepada proses pembelajaran dilalui. Namun sekiranya wujud asas motivasi rendah termasuk wujud gejala sosial akhirnya membawa kepada keciciran dari sekolah seperti merokok, mengambil dadah, tekanan jiwa, masalah jenayah dan masalah mental.

Faktor keciciran murid ini juga boleh dianalisis daripada aspek faktor budaya dan persekitaran, kaedah pengajaran guru serta pengaruh rakan sebaya.

Pengaruh budaya dan persekitaran adakala membentuk asas pemikiran pembelajaran sebagai membosankan dan menyukarkan. Ini ditambah peluang pekerjaan memperoleh pendapatan dengan lebih pantas berbanding datang ke sekolah, turut menyumbangkan permasalahan ini.

Selain itu, kaedah pengajaran guru yang masih berorientasikan kaedah tradisional menyebabkan pelajar kurang berminat belajar. Sebahagian besar murid akan tertarik untuk belajar jika guru memainkan peranan penting di dalam kelas.

Guru amat berperanan meningkatkan minat pelajar dengan memberikan kaedah tepat dalam melakukan aktiviti pembelajaran di kelas. Guru seharusnya kreatif dan sentiasa mengikuti arus media sosial seperti TikTok, Facebook dan sebagainya dalam memberikan ilmu pada pelajar.

Anjakan paradigma kaedah pengajaran berasaskan teknologi maklumat berupaya menarik minat murid untuk meneroka ilmu dengan lebih mendalam. Justeru, bagi menangani isu keciciran kanak-kanak ini, terdapat beberapa pendekatan dan cadangan mungkin wajar dipertimbangkan.

Antaranya, KPM dan sekolah perlu memberikan pendedahan kepada ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan untuk anak. Ibu bapa perlu didedahkan bahawa pendidikan formal mampu membantu anak berjaya dalam pelajaran dan membantu mengubah nasib keluarga mereka pada masa hadapan.

Selain itu, kerjasama di antara pihak sekolah dan ibu bapa perlu ditingkatkan seperti pertemuan pada hari interaksi, menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membincangkan prestasi pembelajaran anak mereka.

Terdapat sekolah mengambil inisiatif menghubungi ibu bapa atau penjaga bagi mengesahkan kehadiran persekolahan anak, menganjurkan aktiviti ziarah sekolah dari semasa ke semasa, menyediakan perkhidmatan kaunseling dan motivasi.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah antara pendekatan berkesan bagi mengurangkan isu keciciran dalam kalangan murid sekolah.

Pelbagai program bantuan untuk murid dilaksanakan menerusi pelan ini seperti bantuan buku teks, RMT, program susu untuk pelajar, perkhidmatan kaunselor berfokus dan program guru pemulihan untuk membantu murid yang lemah dari segi akademik. Bantuan disalurkan KPM ini sedikit sebanyak berupaya meringankan beban ibu bapa menampung kos pendidikan mereka.

Mempelbagaikan program pendidikan

KPM setakat ini melaksanakan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mempelbagaikan program pendidikan bagi mengurangkan masalah keciciran antaranya Program Perantisan Industri Menengah (PIMA) iaitu program aliran kemahiran di sekolah menengah dilaksanakan antara KPM dan institusi industri atau latihan.

Inisiatif pelaksanaan program ini adalah usaha membantu mengurangkan keciciran dalam kalangan pelajar sekolah menengah tidak berminat dalam bidang akademik serta alternatif melanjutkan pelajaran melalui latihan industri serta akademik.

Dari sudut keupayaan pengajaran guru, terdapat kepelbagaian kaedah boleh digunakan di bilik darjah bagi meningkatkan tahap pembabitan murid. Penggunaan bahan bantu mengajar seperti penggunaan teknologi terkini, carta, gambar, dan graf adalah sebahagian daripada usaha membentuk bilik darjah kondusif dan menyeronokkan.

Proses pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) ketika negara di landa pandemik COVID-19 juga antara pendekatan boleh mengatasi keciciran.

Kesimpulannya, sistem pendidikan negara perlu melihat kepada transformasi pendekatan bertepatan dengan keperluan setempat dengan mengambil kira keadaan budaya, lokaliti dan nilai yang wujud.

Keperluan dalam merapatkan jurang pendidikan boleh dicapai melalui usaha berterusan dan komitmen daripada semua pihak terutama ibu bapa, badan pertubuhan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat dan pelabur.

Dalam pada itu, KPM bukan sahaja perlu memberikan perhatian dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) murid, tetapi kebajikan dan keperluan sosial murid khususnya di luar bandar.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X