X
Isnin, 27 Jun 2022 | 11:30am

Kos ganti profesional bersara awal tinggi, kemahiran sukar diganti

TREND pekerja bersara awal semakin meningkat sebenarnya merunsingkan lebih-lebih lagi membabitkan golongan profesional dan berkemahiran tinggi yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.

Persaraan awal dalam kalangan golongan profesional berpengalaman, berkemahiran tinggi dan terlatih serta memiliki kelayakan akademik dalam bidang tertentu merugikan negara kerana sumbangan amat bernilai dalam usaha membangunkan negara.

Ini akan memberi kesan negatif kepada sektor kritikal negara sekiranya terdapat jurang kepakaran dan pengetahuan dalam kalangan mereka yang mengambil alih peranan serta tugasan ditinggalkan.

Walaupun pekerja baharu boleh diambil untuk menggantikan individu bersara awal, usaha melatih akan memakan masa, termasuk bagi membolehkan mereka mempelajari pelbagai kemahiran baharu serta melengkapkan diri dengan kebolehan menyelesaikan pelbagai masalah mengambil kira cabaran global dihadapi dalam fasa pascapandemik, termasuk ketidaktentuan geopolitik antarabangsa.

Pada masa sama, pelanggan meletakkan harapan tinggi terhadap kualiti perkhidmatan diberikan organisasi hingga pekerja baharu dilantik sudah tentu menerima tekanan dengan harapan berkenaan.

Firma analisis antarabangsa, Gallup dalam kajiannya mendapati kos menggantikan seorang pekerja boleh mencapai kadar dua kali ganda gaji tahunan pekerja digantikan, manakala The Society for Human Resource Management (SHRM) melaporkan kos hampir enam hingga sembilan bulan gaji pekerja untuk menggantikan seorang pekerja berhenti.

Lebih kritikal, majikan akan kehilangan bakat yang selama ini membantu organisasi berada dalam kedudukan kompetitif dalam perniagaan atau memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Sasaran negara untuk mencapai pertumbuhan produktiviti sebanyak 3.6 peratus pada tahun ini seperti diunjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia juga boleh terjejas sekiranya golongan profesional berkemahiran tinggi memilih untuk bersara awal daripada sektor kritikal seperti industri berintensifkan teknologi.

Persaraan awal penjawat awam berpengalaman di kementerian atau agensi bertanggungjawab membawa masuk pelaburan asing dan menyediakan ekosistem perniagaan kondusif juga boleh menjejaskan pencapaian produktiviti disasarkan.

Selain itu, sekiranya golongan profesional bersara awal memilih untuk bekerja di luar negara, ia menyumbang kepada penghijrahan bakat ke luar negara yang amat merugikan kerana pelaburan ke atas mereka selama ini dalam bentuk dana pendidikan dan latihan akan menjadi sia-sia.

Menurut kajian Emir Research, penghijrahan bakat Malaysia berkembang pada kadar purata 6 peratus setahun dalam tempoh beberapa dekad lalu, sekali gus menjangkakan lebih dua juta rakyat Malaysia tinggal dan bekerja di luar negara, termasuk hampir 500,000 golongan profesional berkemahiran tinggi.

Kita juga dikejutkan dengan kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini. Walaupun angka dilaporkan masih diperdebatkan, persaraan awal dalam kalangan guru amat merugikan negara kerana mereka menjadi tonggak pembangunan modal insan masa hadapan.

Kita juga mendengar trend persaraan awal dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang semakin meningkat hingga boleh menjejaskan mutu perkhidmatan ditawarkan kepada rakyat. Media pernah melaporkan seramai 2,446 anggota polis memilih bersara awal pada 2018 yang jumlah itu hampir separuh daripada keseluruhan 5,000 pegawai serta anggota bersara bagi tahun terbabit.

Trend persaraan awal juga mungkin berlaku dalam sektor perkhidmatan awam negara yang lain hingga memerlukan satu tinjauan perlu dilakukan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai situasi sebenar.

Namun, kita perlu bertindak secara matang ketika memperhalusi fenomena persaraan awal ini, iaitu tidak terus menekan butang panik apabila membaca laporan berkaitan trend persaraan awal dalam kalangan golongan profesional dalam sektor tertentu hingga membuat kesimpulan pramatang tidak disokong data secukupnya.

Justeru, pihak berkepentingan perlu membuat analisis komprehensif apabila berlaku trend peningkatan permohonan persaraan awal ketara dalam sektor kritikal penting untuk pembangunan negara.

Analisis trend mencakupi perkara seperti sektor dan jabatan terbabit, lokasi, kategori serta jenis pekerjaan, jumlah permohonan, jantina dan umur pemohon, sebab bersara awal, pendapatan isi rumah, status perkahwinan, latar belakang keluarga, perancangan masa hadapan dan sebagainya perlu diteliti agar kita mendapat gambaran jelas mengenai isu ini.

Persaraan awal sekiranya atas sebab tekanan kerja perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental pekerja yang boleh membawa kemudaratan dalam jangka panjang.

Dalam isu seperti ini, latihan berkaitan perlu diberikan agar mereka mampu berhadapan tekanan akibat bebanan kerja dan harapan masyarakat. CUEPACS pernah melaporkan lebih 21,000 pekerja bersara awal disebabkan masalah tekanan di tempat kerja pada 2018.

Dari satu lagi sudut, lebih ramai pekerja bersara awal lebih banyak pengisian jawatan perlu dilakukan. Ini bermakna lebih ramai pesara berpencen (bagi memilih opsyen berpencen) secara pilihan dan wajib boleh dijangkakan pada masa hadapan, terutama dengan peningkatan jangka hayat dan penduduk lebih tua di negara ini menjelang 2030.

Berdasarkan unjuran penduduk 2010-2040, Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan penduduk berusia 60 tahun ke atas mencecah 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk. Ini memerlukan lebih banyak peruntukan dibuat untuk pembayaran pencen pada masa hadapan, justeru menambahkan lagi beban kewangan kerajaan kerana dijangkakan bayaran pencen akan mencecah RM46.6 bilion pada 2030 berbanding 2019 (RM28 bilion).

Dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia berada pada purata 75 tahun, negara rugi besar sekiranya tidak dapat terus memanfaatkan kepakaran dan pengalaman mereka bersara awal, terutama daripada kategori golongan profesional. Justeru, usaha berterusan perlu dibuat untuk mengekalkan mereka dalam perkhidmatan untuk jangka panjang kecuali persaraan awal atas sebab tidak dapat dielakkan seperti masalah kesihatan kronik.

Langkah menyemak semula skim perkhidmatan dan perjawatan sedia ada, termasuk skim gaji serta elaun boleh dilakukan agar ia menjadi lebih menarik dan kompetitif. Majikan juga perlu membuat penambahbaikan ke atas perkara seperti skop dan beban kerja serta persekitaran kerja agar pekerja dapat bekerja dalam suasana lebih kondusif dan tidak menekan mereka.

Selain itu, majikan perlu menyediakan ekosistem menyokong pembangunan dan kemajuan kerjaya pekerja, sekali gus mewujudkan sistem sokongan moral membantu pekerja mencapai kesejahteraan psikologi.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X