Khamis, 23 Jun 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

PAS mampu pertahan Kelantan tetapi sukar di Terengganu, Kedah

Pada 2022, kerajaan Kelantan diterajui PAS mencecah usia 32 tahun dan sepanjang tempoh itu, negeri itu dipimpin tokoh politik tempatan disegani iaitu Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kini diterajui Datuk Ahmad Yaakob.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan pimpinan PAS mengharungi pelbagai cabaran dan ujian getir dalam persekitaran politik tidak sealiran dengan kerajaan negeri.

Kerajaan pimpinan PAS di Kelantan pada 2004 pernah diuji dengan kegoyahan politik apabila sekadar memenangi 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) dan hanya membentuk kerajaan negeri menerusi majoriti dua kerusi.

Kegoyahan kedudukan PAS sekali lagi diuji setahun selepas PRU-11 apabila seorang wakil rakyatnya meninggal dunia sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil (PRK) kemudiannya dimenangi calon Barisan Nasional (BN).

Kemenangan BN dalam PRK pada 2005 menyebabkan PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi di DUN tetapi masih terus mengekalkan kedudukan sebagai kerajaan negeri sehingga PRU seterusnya.

Kejayaan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri disebabkan wala' atau taat setia tinggi kepada kepemimpinan Nik Abdul Aziz dan wakil rakyatnya mempunyai pendirian kuat menerusi tarbiyah politik dalaman PAS.

Di samping itu, pelbagai isu tempatan dikitar semula oleh seteru politik PAS untuk menyerang kerajaan negeri setiap kali menjelang PRU tetapi gagal merebahkan parti berkenaan di Kelantan.

Antara isu itu ialah masalah bekalan air berlarutan, pembalakan, sungai tercemar dan pembangunan negeri. Walhal di negeri lain juga terdapat isu sama tetapi tidak diberikan tumpuan.

Namun, senjata politik lawan mengitar semula isu tempatan ini nyata gagal mempengaruhi pengundi dan menggugat kedudukan PAS di Kelantan dalam tiga PRU berikutnya.

Sebaliknya, prestasi dan kedudukan PAS di negeri itu semakin kukuh apabila menguasai 37 kerusi DUN dalam PRU-12 dan PRU-14 serta 33 kerusi daripada 45 kerusi DUN dalam PRU-13.

Soalnya, adakah PAS mampu meneruskan kesinambungan legasinya di Kelantan pada PRU-15 nanti ketika parti lain seperti UMNO, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU juga mempunyai cita-cita menguasai negeri itu.

Adakah PAS sedia menggunakan slogan penyatuan ummah yang dilaungkannya di peringkat nasional bagi penyatuan parti Melayu untuk mengharungi PRU-15 di Kelantan nanti.

Mungkin, PAS tidak akan menjadikan slogan penyatuan ummah sebagai pegangannya untuk menghadapi PRU-15 kerana berdasarkan keputusan PRU sebelum ini, sentimen pengundi majoriti di negeri itu boleh dibaca menolak parti, selain PAS untuk menjadi kerajaan negeri.

Justeru, PAS Pusat perlu menetapkan pendirian sama ada sedia berkompromi atau tidak dengan parti Melayu lain seperti BERSATU menerusi kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) atau UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Selain menetapkan pendirian menguntungkan parti, PAS Pusat perlu menyerahkan autonomi khususnya dalam pembuatan keputusan kerjasama politik dan agihan kerusi kepada badan perhubungan negeri kerana hanya kepimpinan tempatan dapat mencerap peluang kejayaan dasar di peringkat akar umbi.

Sekiranya PAS Pusat menggunapakai pendirian politik Kelantan di Selangor, tindakan itu tidak akan menguntungkan PAS kerana corak dan budaya politik di kedua-dua negeri berbeza dan memerlukan pendekatan lebih realistik dengan perkembangan politik tempatan. Misalnya kerjasama politik atas platform MN dilihat lebih sesuai di Selangor dan negeri Pantai Barat Semenanjung.

Berdasarkan kepada kemenangan besar PAS dalam tiga siri PRU sebelum ini, mungkin agak sukar kepada mana-mana parti untuk menumbangkan PAS.

PAS mempunyai budaya politik jauh berbeza daripada parti politik lain apabila pemimpin semakin berusia dan bertaraf tok guru dan ulama sangat dihormati dalam perjuangan parti serta sebahagian besar rakyat Kelantan.

Bagaimanapun, PAS Kedah dan Terengganu tidak mempunyai satu model politik tempatan kukuh untuk menjadi asas perjuangannya dalam PRU-15 akan datang.

Di Kedah misalnya, kerajaan negeri tidak dibentuk menerusi mandat PRU tetapi PAS mendapat 'rezeki terpijak' selepas tercetusnya masalah dalaman PH dan dua wakil rakyat PKR menarik sokongan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar ketika itu.

Persoalannya, adakah PAS Kedah mampu menerajui kerajaan selepas PRU-15 nanti. Besar kemungkinan PAS tidak mampu menerajui semula kerajaan Kedah selepas PRU-15 kerana tiada tawaran lumayan dan model politik luar biasa mampu diketengahkan seperti di Kelantan.

Pada masa sama, UMNO dan BN juga komited mahu merampas kembali Kedah yang diterajui pemimpin PAS dilihat sering menyerang kepemimpinan UMNO.

Keadaan sama juga mungkin berlaku di Terengganu kerana pengundi di negeri itu lebih pragmatik dalam pilihan raya, tidak takut menukar parti menerajui kerajaan negeri.

Ia dapat dilihat sejak 1998 hingga kini, kerajaan negeri pimpinan PAS dan UMNO-BN bersilih ganti mentadbir negeri itu dan keadaan ini tidak membimbangkan rakyat Terengganu yang biasa dengan perubahan politik.

Justeru, PAS dinilai sukar mengekalkan kedudukannya di Kedah dan Terengganu pada PRU-15 sekiranya parti itu tidak merancang strategi jitu atau berjuang sendirian tanpa bersama platform PN atau MN. Lebih elok PAS mengambil pengajaran daripada PRN Melaka serta Johor.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X