Rabu, 22 Jun 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Rangka inisiatif atasi kelemahan nilai ringgit, elak krisis inflasi

Isu berkenaan kemerosotan nilai ringgit boleh disifatkan isu kontemporari dan sentiasa mendapat liputan meluas. Terdapat pelbagai telahan dibuat pelbagai pihak berkenaan nilai ringgit mungkin mencecah melebihi RM5 bagi setiap AS$1.

Ada pihak mencadangkan nilai ringgit ditambat semula seperti pernah dilaksanakan pada awal September 1998 ketika negara bergelut kegawatan ekonomi angkara penyangak mata wang.

Umumnya, masyarakat begitu prihatin dengan pergerakan mata wang ringgit disebabkan nasib mereka boleh terjejas secara langsung disebabkan faktor inflasi yang diimport.

Meskipun demikian, pergerakan mata wang ringgit perlu kita fahami dengan cara lebih luas. Ini kerana resam mata wang asing sifatnya begitu meruap.

Turun naiknya mata wang sukar dijangka dan ia banyak disumbang faktor luaran seperti sentimen kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) serta pergolakan geopolitik boleh memberi kesan kepada harga komoditi dan inflasi.

Sekiranya kita mengikut teori ekonomi seperti Kuasa Beli Pariti, nilai ringgit sepatutnya meningkat disebabkan kadar inflasi di negara kita 2.3 peratus setakat April lalu sedangkan di AS, kadar inflasi mereka 8.3 peratus pada tempoh sama. Namun teori adalah sekadar teori dan realiti sememangnya berbeza.

Oleh itu, kita perlukan penelitian lebih berhati-hati dalam memahami pergerakan kadar tukaran mata wang asing dalam mencari punca serta kesannya kepada negara.

Punca meruapnya kadar tukaran mata wang asing ini banyak disebabkan faktor luaran bersifat sementara. Contohnya, kenaikan kadar faedah di AS bersifat sementara kerana Rizab Persekutuan AS menghentikan proses kenaikan kadar faedah apabila dasar monetari mereka mencapai sasaran iaitu meredakan tekanan inflasi.

Begitu juga dengan dasar COVID-19 sifar di China dijangka diselaraskan mengikut perkembangan kadar jangkitan. Barisan pemerintah di China seperti Li Keqiang menyatakan kebimbangan terhadap landskap ekonomi China semakin lembab.

Secara logiknya, mungkin dasar ini akan dirombak pada masa akan datang. Sekiranya ini berlaku, berkemungkinan isu gangguan rantaian perniagaan dapat diredakan.

Sehubungan dengan itu, kita sering disajikan dengan cerita bersifat sementara dalam menilai pergerakan mata wang ringgit. Perkara ini membuatkan kita menjadi lupa dan alpa terhadap gambaran besar pergerakan mata wang asing serta mesej dibawa.

Sekiranya harga saham melambangkan kekukuhan sesebuah syarikat disenaraikan seperti pelan perniagaan mereka jelas, barisan pengurusan dan ahli lembaga pengarah berpengalaman serta kedudukan kewangan yang stabil, begitulah juga dengan mata wang.

Mata wang seharusnya melambangkan prospek pertumbuhan ekonomi yang baik dengan landskap perniagaan berdaya saing serta dasar ekonomi jelas serta pelaksanaannya konsisten.

Perkara ini akan menarik minat pelabur, peniaga serta pelancong untuk datang ke negara kita disebabkan keyakinan mereka tinggi.

Jika melihat trend mata wang ringgit berbanding dolar AS dalam tempoh jangka panjang, ia seolah-olah menunjukkan trend semakin lemah.

Pada akhir Disember 2010 selepas negara mula pulih daripada kemelesetan ekonomi akibat krisis Sub Prima di AS, ringgit berbanding dolar AS berada pada paras RM3.064.

Ketika ini, ringgit berbanding dolar AS didagangkan sekitar RM4.3883. Begitu juga ringgit berbanding dolar Singapura pada akhir Disember 2010 berada pada paras RM2.39 dan sekarang berlegar sekitar RM3.2003.

Berdasarkan rekod ini, ringgit dilihat perlahan-lahan merosot nilainya. Ini trend jangka panjang perlu diambil secara serius dan bererti peserta pasaran mata wang meletakkan nilai ringgit pada tahap semakin lemah.

Ini persoalan penting perlu dirungkai kerana ia isyarat memerlukan tindak balas tuntas. Ini juga bermakna banyak mata wang ringgit dijual berbanding belian.

Persoalannya, kenapa jualan melebihi belian? Umumnya, sekiranya kita mahu keluar negara,

kita perlu menukar mata wang ringgit kepada mata wang negara mahu dilawati.

Dengan kata lain, kita perlu menjual mata wang ringgit untuk memperoleh mata wang asing. Sama ertinya jika pekerja asing bekerja di Malaysia mahu menghantar wang mereka ke negara asal mereka.

Mereka perlu menjual mata wang ringgit bagi menghantar hasil titik peluh mereka ke negara masing-masing. Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, jumlah wang diremit keluar pekerja asing pada 2014 adalah RM20.6 bilion.

Pada 2018, angka itu mencecah RM29.2 bilion. Ini bermaksud saban tahun pekerja asing menghantar wang mereka keluar dari Malaysia dan jumlah itu semakin meningkat.

Kebanyakan pekerja asing ini terdiri daripada pekerja kurang mahir atau 5.2 peratus daripada mereka mempunyai pendidikan di peringkat tertiari.

Perkara ini memberi gambaran tahap pengeluaran di negara kita masih menggunakan teknologi rendah dan kurang menyerap tenaga mahir.

Selain isyarat daripada pasaran buruh, jumlah import agromakanan kian meningkat juga menunjukkan banyak wang ringgit keluar dari negara ini.

Pada 2021, jumlah eksport dan import agromakanan adalah pada paras RM38.7 bilion dan RM63.6 bilion. Berikutan angka import melebihi eksport, maka negara mencatatkan imbangan dagangan defisit iaitu sebanyak RM25 bilion pada 2021.

Pada 1990, defisit di dalam imbangan dagangan agromakanan hanya pada paras RM1.1 bilion. Ini bererti defisit ini semakin melebar setiap tahun.

Berdasarkan trend ringgit melemah bagi tempoh jangka panjang, maka ia jelas menunjukkan terlalu banyak perkara perlu diperbaiki.

Dalam hal ini, pemimpin sebagai tonggak negara bertanggungjawab mewujudkan dasar ekonomi tuntas serta pelaksanaan konsisten supaya kesan positif dapat dirasai segenap lapisan masyarakat.

Sekiranya banyak masa dihabiskan ke arah perkara kurang produktif, dikhuatiri nilai ringgit terus melemah dan menyebabkan kenaikan inflasi lebih tinggi pada masa akan datang.

Akhir kata, nilai ringgit kian melemah perlu dipandang serius, namun pendekatannya harus bijak dan bukan bersifat mengikut musim.

Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)

Berita Harian X