Isnin, 20 Jun 2022 | 1:03pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Lanjut SST kereta bersasar elak pembeli tanggung kos tambahan

Pengecualian penuh cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada kereta pemasangan tempatan (CKD) dan pengecualian 50 peratus ke atas kereta pemasangan luar negara (CBU) diberikan kerajaan akan berakhir pada 30 Jun ini.

Insentif ini diperkenal kerajaan pada Jun 2020 sebagai sebahagian daripada insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebagai usaha menjana dan merancakkan kembali ekonomi negara.

Insentif ini mendapat sambutan menggalakkan dalam trend pemilikan kereta serta memacu momentum penjualan sektor automotif negara yang terjejas akibat pandemik.

Namun, dalam tempoh kurang dua minggu keistimewaan ini akan berakhir, timbul keresahan kepada hampir 80,000 pengguna yang membuat tempahan kenderaan baharu. Ia berikutan ada tempahan dibuat sejak enam bulan lalu masih tidak diterima dan tiada petunjuk jelas bila tempoh penerimaan diketahui. Tempoh menunggu tempahan ini dikatakan antara paling lama dihadapi

negara sejak 1990-an.

Pelanggan bimbang dengan kelewatan dan gusar sama ada mereka perlu membayar SST sekiranya tempahan diterima selepas tarikh 30 Jun nanti.

Oleh itu, intervensi segera dari kerajaan diperlukan bagi meredakan konflik daripada menjadi lebih serius.

Namun, ada sesetengah pihak berpendapat kerajaan tidak perlu meneruskan pengecualian cukai ini. Cadangan seumpama ini juga disuarakan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Gabungan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM).

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, berpendapat pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga penghujung tahun ini. Lanjutan ini bukan sahaja boleh meningkatkan jualan dan tempahan baharu, tetapi memberi masa mencukupi kepada pengeluar kereta menyiapkan tunggakan tempahan.

Ada yang berpendapat kerajaan boleh menggunakan peruntukan daripada pengecualian itu bagi menumpukan perkara lebih kritikal dalam konteks masalah mobiliti dan kebolehcapaian (aksesibiliti) perkhidmatan pengangkutan, terutama bagi pergerakan di dalam bandar.

Ini termasuk memberi penumpuan terhadap menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya, kelancaran dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam, serta masalah pencemaran udara.

Natijahnya, isu ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia berkaitan masalah pengurusan rantaian bekalan yang bukan sahaja dialami Malaysia, tetapi membelenggu secara global.

Selain faktor peningkatan kos logistik, pada ketika ini, seluruh dunia menghadapi masalah kekurangan bekalan cip mikro semikonduktor khususnya bagi produk dikeluarkan dari China dan India. Masalah kekurangan cip mikro ini dikatakan terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Pakar dan penganalisis meramalkan krisis ini mungkin berterusan sehingga 2023. Selain memenuhi keperluan industri automotif, cip mikro ini juga digunakan secara meluas merentas beberapa industri lain.

Ini termasuk industri kritikal seperti peralatan komunikasi, peranti perubatan dan perkakasan

elektronik. Cip mikro komponen penting digunakan untuk menggerakkan pelbagai jenis barang menggunakan punca elektrik.

Ketika ini, industri pembuatan cip mikro atau semikonduktor menerima permintaan sangat tinggi, jauh melebihi keupayaan pembekalan.

Ini hasil daripada kepesatan teknologi perkomputeran susulan ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Permintaan mendadak peralatan pintar khususnya untuk kegunaan pengguna isi rumah memaksa pengilang bergelut menghasilkan cip mikro bagi memenuhi permintaan pengeluar.

Pandemik COVID-19 memburukkan keadaan. Penutupan operasi kilang dan sekatan pergerakan

di negara pengeluar mengakibatkan jumlah pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan.

Ada syarikat pengeluar terpaksa gulung tikar. Ketidaktentuan keadaan turut menyebabkan

proses pembuatan tidak dapat ditingkatkan dalam tempoh singkat, sekali gus mewujudkan tunggakan permintaan ketika pesanan tempahan baharu terus diterima.

Masalah kesesakan di pelabuhan turut dikatakan mengakibatkan cip mikro gagal dihantar ke negara pembeli. Walaupun wabak berjaya dibendung ke tahap lebih tinggi, penutupan pelabuhan berbulanbulan pada waktu puncak pandemik memberi kesan lambakan kargo.

Justeru, kapasiti rantaian bekalan dari aspek pengangkutan, terutama di pelabuhan laut tidak berupaya menampung beban lantas merencatkan kelancaran penghantaran.

Kesan langsung daripada permasalahan ini mengakibatkan industri automotif negara dan global terasa tempiasnya. Syarikat pengeluar dan pembuat kenderaan memperlahankan pengeluaran.

Tempahan permintaan cip mikro bagi industri automotif menyusut, ini mengubah fokus pengeluar

cip mikro, menumpukan lebih pembuatan kepada penghasilan cip mikro untuk barangan elektronik pengguna.

Kini, apabila wabak terkawal, pengeluar dan pembuat kenderaan terperangkap dengan permintaan meningkat daripada pembeli. Stok simpanan cip mikro yang ada selama ini tidak mencukupi memenuhi permintaan yang meningkat cepat.

Tidak dinafikan, cukai jualan kenderaan adalah antara sumber pendapatan negara, namun ketika ini pemulihan ekonomi domestik lebih stabil patut diutamakan berbanding kehilangan salah satu sumber cukai.

Kerajaan pada asasnya boleh mengambil tindakan proaktif membantu golongan pengguna yang sudah menempah kenderaan sebelum 30 Jun dengan mengecualikan SST secara bersasar.

Pelanggan membuat tempahan sebelum tarikh luput pengecualian cukai ini seharusnya diberikan keistimewaan harga bebas SST, manakala tempahan dibuat selepas 30 Jun sahaja dikenakan cukai. Pada asasnya tidak wajar mereka yang membuat tempahan awal diminta menanggung cukai ini.

Sekiranya pengecualian cukai SST ini tidak dilanjutkan dan tiada keistimewaan tertentu diberikan, kesan langsung dijangka berlaku khasnya kepada pengguna.

Mungkin ada pelanggan menghadapi kesukaran membayar cukai ini, bahkan ada yang terpaksa membayar ansuran bulanan lebih tinggi akibat cukai diserapkan dalam jumlah pinjaman.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Program Pengangkutan, Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Berita Harian X