Rabu, 15 Jun 2022 | 10:00am

PN perlu formula baharu cari kekuatan dalaman hadapi PRU-15

Baru-baru ini diadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) dihadiri Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Dr Dominic Lau Hoe Chai dan wakil komponen lain.

Banyak spekulasi berlegar mengenai perbincangan diadakan itu dan ia dilihat lebih menjurus mengenai bagaimana PN mempersiapkan diri bagi membolehkan mereka mengalahkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdapat kebimbangan berlaku PRU-15 pada tahun ini sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob akur kepada desakan partinya, UMNO dan BN untuk membubarkan Parlimen, sekali gus PRU diadakan segera.

Isu paling membimbangkan PN sekiranya PRU-15 diadakan adalah, sama ada mereka mampu menang pada peringkat nasional selain sekurang-kurangnya mempertahankan negeri dimenangi mereka seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu oleh PAS.

BN mahukan PRU-15 diadakan awal bagi memastikan momentum kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, selain beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dikekalkan dan membolehkan BN menang bergaya.

Keputusan PRN Melaka pada 20 November 2021 menyaksikan BN menang dua pertiga dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, tetapi PN hanya memenangi dua kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi.

Sementara itu, BN menang besar pada PRN Johor pada 12 Mac lalu dengan menawan 40 kerusi DUN, PN mendapat tiga kerusi, PH pula sebanyak 12 kerusi dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hanya memenangi satu kerusi.

PN tahu kemenangan BN pada dua PRN ini banyak bergantung kepada situasi semasa iaitu PRN diadakan ketika pandemik COVID-19, sempadan negara ditutup dan rakyat bimbang untuk keluar mengundi, di samping memikirkan isu ekonomi menghimpit mereka.

Yang pasti, dinamik politik boleh dan akan berubah. Ini diharapkan PN dan juga PH bagi mencapai kemenangan. Oleh itu, PN mengharapkan mereka boleh menentukan dinamik ini bagi membolehkan mereka menang pada PRU-15 nanti.

Melalui mesyuarat Majlis Tertinggi PN itu juga, mereka membincangkan keperluan untuk mengalahkan BN sekiranya kerjasama politik boleh dilakukan dengan parti pembangkang lain seperti PH, Parti Warisan (WARISAN), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan MUDA.

Mereka sedar peluang akan lebih cerah dan dinamik politik akan menyebelahi mereka sekiranya berlaku pertembungan dua penjuru. Bagi mereka, pertembungan tiga penjuru atau lebih akan memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada BN untuk menang.

Ketika ini, masih ada dalam kepemimpinan PN, terutama PAS melihat BN wajar kembali kepada landasan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama PN bagi memenangi PRU-15.

Hakikat ini agak sukar setakat hari ini melihatkan kepada kritikan terbuka antara pemimpin utama PAS dengan pemimpin utama BN yang menjelaskan agenda MN semakin pudar.

Melihat kepada perspektif PN itu sendiri, jelas ketika PRN Melaka dan Johor, PN sebenarnya masih tidak jelas hala tuju politiknya. BN membawa agenda kestabilan selepas menyedari hakikat kestabilan kerajaan membawa keyakinan kepada umum dan juga pelabur asing untuk datang ke Malaysia.

PN harus mempunyai satu matlamat masa depan politik boleh diyakini rakyat. Perkara ini perlu kerana PN adalah parti gabungan baharu memerlukan masa untuk rakyat faham agendanya dan memberi sokongan.

Satu perkara ketara ialah anggota PN mempunyai mimpi politik berbeza. BERSATU jelas mahu menjadi alternatif kepada UMNO dan cuba menguasai politik nasional.

Namun, parti komponen lain lebih memfokuskan kepada agenda menguasai negeri sedang dan pernah mereka kuasai. PAS sebenarnya lebih memikirkan untuk kekalkan kuasa di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Bagi PAS, kerjasama melalui PN sudah cukup untuk mereka mengekalkan kuasa di tiga negeri terbabit. GERAKAN adalah parti pernah menguasai Pulau Pinang yang menjadi idaman mereka. STAR dan SUPP lebih memikirkan untuk terus menguasai Sabah.

Sebenarnya kita tidak terkejut dengan keadaan ini kerana parti politik ini rasional dalam melihat ruang dan peluang untuk mereka menang serta mempertahankan apa yang mereka ada.

Tidak menolak hakikat kemenangan PN pada PRU-15 nanti banyak bergantung kepada kelemahan parti lawan khususnya BN. PN menyedari UMNO sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang mana Perdana Menteri mahukan pilihan raya umum dilewatkan ke tahun hadapan.

Namun, Presiden UMNO dan sebahagian besar kepemimpinan utama UMNO dan BN mahukan PRU-15 disegerakan kerana peluang untuk menang lebih baik kali ini ketika pembangkang masih lemah dan tidak bersatu.

Perpecahan dalam UMNO bakal melemahkan BN dan membuka ruang PN sebagai alternatif untuk dipilih rakyat. Hal ini kerana PN adalah sebahagian daripada kerajaan kini. Maka, kelemahan kepada BN yang mengetuai kerajaan kini dilihat sebagai kekuatan kepada PN.

Secara realitinya, PN menggunakan kaedah serampang dua mata. Sekarang mereka sedang cuba membina kekuatan dengan menarik sokongan parti pembangkang lain menyertai mereka, di samping melemahkan UMNO dan BN dari dalam.

Kelemahan BN adalah kekuatan PN. Sekiranya strategi ini mengena, PN mampu memberikan cabaran kuat kepada BN bagi memenangi PRU-15 akan datang. Apa yang Muhyiddin sedang lakukan adalah untuk merubah dinamik politik bagi menyebelahi PN.

PAS sebagai rakan sekutu PN dilihat berperanan besar bagi memastikan strategi PN ini berjaya khususnya dalam proses melemahkan UMNO. Sekiranya PN diyakini rakyat dan strategi politik berkesan, gabungan itu mampu memberikan cabaran besar dan kejutan kepada politik negara. Hanya masa menentukan kejayaan atau kegagalan PN ini.

Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X