Selasa, 14 Jun 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Mansuh hukuman mati mandatori selari ajaran Islam

Persetujuan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, sangat signifikan kerana hukuman berkenaan bukan sahaja menjadi polemik dalam negara, bahkan pendekatan global termasuk dunia Islam.

Antara kesalahan membawa hukuman mati di bawah Kanun Kesiksaan ialah Seksyen 121- melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong; Seksyen 121A - Kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong; Seksyen 132 - Bersubahat dalam angkatan bersenjata dan Seksyen 194 - Memberi atau mereka keterangan palsu dengan niat hendak mendapat sabitan atas kesalahan hukum bunuh.

Juga Seksyen 302 - Membunuh orang; Seksyen 305 - Menyubahati membunuh diri; Seksyen 364 - Menculik untuk membunuh; Seksyen 374A - Tebusan; Seksyen 396 - Rompak berkumpulan serta membunuh orang.

Terdapat kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 membawa hukuman mati, manakala Seksyen 7(1) (a) & (b) akta itu mengenakan hukuman bunuh, atau penjara seumur hidup dan dihukum sebat tidak kurang enam kali bagi mereka berdagang dengan senjata api.

  Akta sering menjadi perbahasan mengenai hukuman mati mandatori ialah di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, akta itu dipinda pada 2017 dengan memberi pilihan kepada hakim, tertakluk keadaan pengedar dadah itu dapat membantu pihak berkuasa membasmi aktiviti berlawanan dengan undang-undang, boleh menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun (seumur hidup). Dengan perkataan lain, hukuman mati tidak lagi bersifat mandatori.

  Perlu dinyatakan, masih terdapat kes dijatuhkan hukuman mati berdasarkan akta itu ketika pindaan tetapi pelaksanaannya ditangguhkan (moratorium).

Sehingga rencana ini ditulis, hampir 2,000 kes disabitkan kesalahan hukuman mati yang sebahagian besar membabitkan pengedaran dadah ditangguhkan hukuman gantung kerana pelaksanaan moratorium sejak 2018. Mereka juga sedang menunggu jawapan Lembaga Pengampunan bagi menimbang permohonan daripada dilaksanakan hukuman gantung.

Kesalahan membunuh dengan niat mematikan orang seperti diperuntukkan dalam Seksyen 301 Kanun Kesiksaan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori sekiranya disabitkan kesalahan (seksyen 302).

Justeru, terdapat pandangan cenderung agar hukuman mati mandatori dikekalkan bagi kesalahan ini. Ini kerana pembunuhan dengan niat terutama secara kejam tidak ada balasan setimpal kecuali bunuh balas.

Ia bertepatan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, iaitu 'Tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.'

Namun, langkah kerajaan mahu menghapuskan hukuman mati mandatori ke atas pembunuh sebenarnya selari dengan ajaran Islam.

Di bawah undang-undang qisas merangkumi pembunuhan dan mencederakan, bentuk hukumannya adalah balasan balik atau bayaran diyat kepada waris mangsa.

Qisas dianggap kesalahan individu menyentuh kepentingan perseorangan (haq al-fard/'ibad). Justeru, pihak waris mangsa boleh membuat pilihan sama ada pembunuh dibunuh balas atau 'menggantikan' nyawa itu dengan diyat.

Diyat ialah bayaran wajib dibayar penjenayah dalam kes pembunuhan atau kecederaan dengan kadar ditentukan syarak. Namun, ia masih bersifat uqubah (punishment), bukannya ganti rugi atau dhaman (compensation).

Terdapat juga pandangan bayaran diyat adalah sebagai ganti rugi dan ada juga berpendapat ia antara keseksaan dengan ganti rugi.

Secara keseluruhan, melihat kepada gesaan antarabangsa, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuntut hukuman mati dihapuskan. Pendekatan global termasuk dalam kalangan negara Islam menampakkan amalan menghapuskan hukuman mati sedang mendapat tempat.

  Bahkan bagi negara melaksanakan hukuman mati, banyak pihak meminta sama ada penangguhan terhadap hukuman mati atau mengurangkan kes disabitkan.

  Hasilnya, peratus kes membabitkan hukuman mati menurun 17 peratus, iaitu daripada 3,117 kes kepada 2,591 kes. Dari jumlah ini, Iran, Arab Saudi dan Iraq menjadi tiga negara teratas di Asia Barat masih melaksanakan hukuman mati, selain Yaman, Mesir serta Libya.

Di Mesir, 132 pelaksanaan hukuman mati direkodkan antara 1994 hingga 1998 dan 350 kes (1999-2003), berkurangan kepada sembilan kes antara 2004-2008, manakala ada empat kes pelaksanaan hukuman mati di Libya pada 2009.

  Walaupun trend dunia melihat pelaksanaan semakin menurun, hukuman mati mandatori masih menjadi amalan di beberapa negara antaranya Brunei, Ghana, Pakistan, Maldives, Myanmar, Nigeria, Pakistan dan Singapura.

  Dengan keputusan Kabinet itu, Malaysia akan menjadi antara negara Islam mengambil pendekatan memansuhkan hukuman mati mandatori di samping Jordan dan Maghribi.

Bagi Jordan, ia mengambil pendekatan membekukan semua kesalahan membawa hukuman mati antara 2006 hingga 2014. Walaupun hukuman mati masih wujud di Maghribi, pengampunan diraja dan undang-undangnya mengambil pendekatan tidak kepada hukuman mati. Lazimnya, ia diganti penjara seumur hidup. 

  Turki pernah menghapuskannya pada 2004. Sebelum 1984, banyak kes hukuman mati berkait rapat individu terbabit rampasan kuasa. Antara 1980 hingga 1984 berikutan rampasan kuasa pada 1980, Turki menjatuhkan hukuman ke atas 40 lelaki, termasuk 27 aktivis politik.

  Kegagalan rampasan kuasa pada 2016 mendorong Presidennya, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan pada 29 Oktober 2016 bahawa Turki akan kembali melaksanakan hukuman mati tetapi hingga kini tiada perkembangan lanjut.

  Sehingga keputusan Kabinet itu diluluskan di Parlimen, Malaysia antara 56 negara masih mengekalkan hukuman mati. Daripada 32 kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati, 11 kesalahan adalah hukuman mati mandatori. Seperti dibincangkan di atas, kebanyakan kes hukuman mati di Malaysia membabitkan kes kesalahan pengedaran dadah di bawah Akta Berbahaya 1952 (Pindaan 2017). 

  Realitinya, langkah memansuhkan hukuman mati mandatori sebenarnya satu perkembangan mengikut trend antarabangsa. 

  Ini juga menyaksikan pelaksanaannya ke atas kesalahan pengedar dadah juga berkurang di negara ini dengan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2017 yang secara relatifnya boleh mengurangkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah.

  Di samping itu, kerajaan juga akan meneliti dan membuat kajian lanjut terhadap cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan lain membawa hukuman mati mandatori dan 22 kesalahan membawa hukuman mati tertakluk kepada budi bicara hakim.

  Ini bagi memastikan hukuman gantian dicadangkan setimpal kesalahan dilakukan terutama membabitkan jenayah pembunuhan.

Satu mekanisme menyeluruh dengan mengambil pendekatan terkandung dalam undang-undang qisas memberi peluang kepada waris si mangsa turut terbabit dalam menganggotai badan pengampunan.

Sama ada waris kekal mahu hukuman bunuh balas setimpal ke atas pembunuh atau bayaran diyat yang jumlahnya begitu besar dikenakan ke atas pembunuh, hukuman gantian ini mestilah dipersetujui waris mangsa.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X