Isnin, 13 Jun 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Gembleng petani muda, R&D jayakan transformasi pertanian

Malaysia terkenal dengan sektor pertanian sekitar awal abad ke-21. Malangnya, tahap kebergantungan tinggi terhadap aktiviti import terutama dalam sektor pertanian menyebabkan negara berhadapan krisis kekurangan bekalan makanan.

Pakar ekonomi mengaitkan krisis bekalan makanan sedang berlaku kini dengan tiga P, iaitu pandemik COVID-19, perubahan iklim dan perang konflik di Ukraine. Tekanan geopolitik antara Rusia dengan Ukraine mendatangkan impak cukup besar kepada sistem bekalan pertanian global kerana kedua-duanya pengeksport utama beberapa sumber makanan asas.

Berdasarkan data Balai Cerap Kerumitan Ekonomi (OEC), Ukraine mengeksport AS$201 juta (RM885 juta) pada 2020 dengan produk pengeluaran utama adalah gandum, iaitu AS$72.3 juta (RM318 juta).

Hubungan bilateral antara Malaysia dengan Ukraine terjalin sejak 1992 menjadikan kedua-dua negara saling bergantung terutama dalam eksport import. Konflik di negara itu secara langsung dan tidak langsung mengganggu aliran aktiviti import eksport yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan negara.

Semakin hari, sumber bahan makanan asas seperti ayam, roti dan telur terhad kerana bekalan gandum tidak mencukupi dari negara pengeluar seperti Ukraine, Amerika Syarikat (AS) dan India. Ini memberi kesan kepada kenaikan harga barangan dan peningkatan kadar inflasi.

Di rantau Asia Tenggara, isu kekurangan jaminan makanan sering berlaku berpunca kurangnya sumbangan bekalan dari negara anggota ASEAN dalam sektor pertanian. Indeks Keselamatan Makanan Global 2021 (GFSI 2021) menunjukkan

hanya dua negara anggota ASEAN berada pada kedudukan 50 teratas negara mempunyai tahap keselamatan makanan tertinggi.

Indeks diterbitkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) ini menunjukkan Singapura dan Malaysia masing-masing berada di tangga ke-15 dan 39. Kedudukan ini mengambil kira sistem rantaian dan faktor lain membabitkan bekalan berdasarkan konsep keselamatan makanan seperti diperkenalkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Sidang Kemuncak Makanan Dunia 1996.

Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) menggariskan usaha Malaysia dalam memajukan industri agromakanan dengan mengetengahkan pemodenan teknologi bagi melestarikan jaminan bekalan makanan di seluruh negara. Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) langkah ke hadapan merevolusikan penggunaan teknologi canggih bagi meningkatkan tahap keberkesanan dan ketersediaan sektor agromakanan negara.

Persoalannya, bagaimana Malaysia harus bertindak untuk mengatasi krisis makanan dengan mempertingkatkan sektor agromakanan tempatan? Krisis bekalan makanan melanda dunia menunjukkan sudah tiba masanya isu ini diberi perhatian serius pihak bertanggungjawab bagi menjamin setiap rakyat mempunyai akses kepada makanan mencukupi pada bila-bila masa demi kehidupan sihat.

Pemberhentian permit kelulusan (AP) bagi eksport barangan makanan tertentu diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini, adalah langkah segera memastikan bekalan domestik mencukupi dan menangani kenaikan harga barang makanan boleh menjurus kepada peningkatan inflasi. Langkah itu sewajarnya disusuli tindakan jangka sederhana dan panjang lebih berkesan untuk memastikan lebihan bekalan di pasaran stabil kepada pengguna.

Dalam kes Malaysia, ketiadaan jaminan makanan mencetuskan kebimbangan rakyat, terutama kepada golongan rentan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40). Ini disebabkan kesannya akan dirasai ketara pada harga makanan ruji seperti beras, ayam dan telur terutama apabila harga barangan makanan semakin meningkat selepas tempoh perayaan.

Berdasarkan Laporan Harga Purata Terkini Peringkat Runcit Komoditi Harian dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), harga runcit bagi ayam proses sekilogram antara RM8.90 hingga RM12 pada 7 Jun lalu. Harga ini masih berada pada paras tinggi walaupun kerajaan menetapkan had siling ayam RM8.50 sekilogram bermula 1 Jun.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat majlis itu bulan lepas, mencadangkan kerajaan mengaktifkan semula peranan Majlis Khas Keselamatan Makanan dan Pemakanan (MKMPK) yang sebelum ini berfungsi menangani krisis makanan negara.

Pengaktifan semula itu akan membolehkan kerajaan mempertingkatkan pengeluaran makanan lebih sistematik dalam bertindak balas terhadap gangguan rantaian dan bekalan makanan global.

Peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah diberikan kepada murid daripada keluarga di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) nasional dengan pendapatan isi rumah RM1,169 perlu ditingkatkan supaya mereka dapat menikmati makanan berkhasiat.

Strategi utama perlu difokuskan untuk melestarikan jaminan makanan adalah meningkatkan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ini bertujuan merevolusikan industri pertanian negara seperti berjaya dilaksanakan Thailand, Vietnam, China dan Poland - langkah mengatasi isu kemiskinan dan keselamatan makanan di negara berkenaan.

Pakar dasar ekonomi, Prof Datin Dr Fatimah Arshad menjelaskan pelaburan dalam R&D adalah cara terbaik untuk memastikan kelestarian keselamatan makanan. Menaik taraf R&D dalam sektor pertanian adalah usaha penting perlu dilakukan bersama-sama petani dan ejen berkaitan bagi menggalakkan penyertaan serta penglibatan awam

dalam proses penyelidikan dan pembuatan dasar lebih inklusif.

Strategi memajukan sektor pertanian perlu membabitkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang agrokeusahawanan. Keusahawanan berasaskan pertanian ini sudah lama diperkenalkan bagi memenuhi hasrat negara untuk memajukan sektor pertanian sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut statistik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda pada 2021, purata umur petani di negara ini ialah 60 tahun, manakala hanya 15 peratus ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berumur di bawah 40 tahun.

Trend ini amat membimbangkan kerana sektor pertanian masih didominasi petani berusia. Apa akan jadi kepada masa depan sektor pertanian dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan penyertaan petani muda amat rendah ini?

Apakah Malaysia hendak menyerahkan masa depan sektor ini kepada pekerja asing yang kini sedang menguasai 30 peratus tenaga kerja seperti dilaporkan dalam kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada 2020?

Dalam hal ini, komitmen kerajaan khususnya agensi berkaitan dalam merangka strategi khusus untuk menangani masalah struktur ini amat mendesak bagi memastikan sektor pertanian negara tidak ketinggalan dan menunjukkan pertumbuhan seperti diharapkan.

Galakan berterusan dan sokongan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, infrastruktur mahupun latihan kepada belia menceburi bidang agrokeusahawanan berupaya mentransformasikan sektor dan industri ini kepada pertanian moden berasaskan teknologi tinggi yang mampu melipatgandakan tahap pengeluaran makanan tempatan.

Pepatah Melayu menyebut, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Kesungguhan kerajaan dan pihak berkaitan selaku pemegang taruh menangani krisis bekalan makanan melalui pelaksanaan pelbagai strategi berkesan akan menyelamatkan Malaysia daripada dibelenggu masalah sama.

Penganalisis Penyelidikan Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Berita Harian X