Ahad, 12 Jun 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Ubah syarat lapuk hentikan iklan produk 'jual' agama

Dalam dunia pemasaran, gimik dan iklan serta saluran promosi dalam media perdana dan sosial sangat agresif dilakukan.

Antara gimik dan promosi yang banyak diguna untuk melariskan jualan adalah agama. Unsur dan dorongan agama semakin berleluasa menjadi strategi melariskan produk terutama makanan, kesihatan dan perkhidmatan.

Sebenarnya isu penggunaan agama dalam dunia komersial sudah berleluasa hampir dalam semua aspek. Komersialisasi hari perayaan agama sangat nyata berleluasa di negara ini sehingga kesucian agama tidak dipedulikan.

Menggunakan unsur agama ketika Ramadan dan Aidilfitri untuk melariskan pelbagai barangan di pusat beli-belah dan juadah berbuka puasa ternyata amat ketara. Iklan iftar dan merayakan Aidilfitri sangat semarak di seluruh negara dan media massa.

Demikian juga pada perayaan Krismas, Deepavali dan Wesak dengan pengiklan mengguna elemen agama untuk melariskan jualan. Melihat kepada cara iklan berleluasa dipaparkan, agama benar-benar ditunggangi peniaga.

Kini dakwaan sesuatu produk mempunyai kelebihan menyembuh dan merawat penyakit kerana mengguna proses agama seperti dibacakan ayat suci al-Quran amat berleluasa. Pengguna dipancing kepada produk didakwa mengguna bacaan ruqyah dan pelbagai zikir.

Perlu diberi perhatian Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sudah membincangkan pada beberapa siri muzakarah dan forum mengenai isu mengguna agama untuk melariskan jualan.

Ketetapan dibuat adalah ia bersalahan dalam Islam. Ditegaskan tindakan peniaga menggunakan promosi agama semata-mata untuk melariskan perniagaan bertentangan prinsip Islam dan keadaan ini boleh menimbulkan unsur penipuan serta terdapat pihak mengambil kesempatan.

Usaha menyekat eksploitasi agama dalam iklan dan promosi produk kini cuba dilakukan melalui Forum Kandungan 2022 oleh Forum Komunikasi Multimedia dan Kandungan Malaysia (CMCF) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang akan meletakkan peraturan untuk bertindak ke atas peniaga menyalahgunakan agama untuk melariskan produk.

Penggunaan agama untuk melariskan produk boleh membawa kekeliruan dan merosakkan kesucian agama. Peniaga mengambil kesempatan meraih keuntungan maksimum dengan harga tinggi atas alasan agama. Jelas ini mengeksploitasi agama dan tidak beretika. Agama tidak boleh disalahgunakan seperti ini kerana ia tindakan menukar agama kepada komoditi perniagaan.

Istilah dan penjenamaan seperti 'makanan sunah' kini diterima secara meluas oleh pengguna Muslim. Justeru, melariskan sesuatu produk makanan dan kesihatan dikaitkan ayat ruqyah atau sunah untuk melariskan produk adalah eksploitasi agama yang perlu dibendung. Istilah 'sunah' sepatutnya dijagai cermat kerana ia dinisbahkan kepada keperibadian Rasulullah SAW.

Dengan demikian amalan Rasulullah SAW diperaga dan dijenamakan untuk melariskan produk dengan tujuan komersial demi meraih keuntungan maksimum.

Apabila ini dilakukan, makna 'sunah' sebenar dalam masyarakat terbatas kepada jual beli produk semata-mata, namun makna yang dimaksudkan itu tidak bersifat komprehensif.

Maka autoriti sunah Rasulullah SAW dalam antara disiplin agama disempitkan. Dalam hal ini pengguna terdedah menjadi mangsa kepada kekeliruan, penipuan serta eksploitasi agama.

Jurnal al-Abqari terbitan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mengenai 'Penggunaan Unsur Islam Dalam Perniagaan Islam - Analisa dari Perspektif Syariah', mencatat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-108 bersidang pada 2-3 November 2015 membincangkan hukum penjualan produk menggunakan ayat ruqyah untuk tujuan komersial.

Antara keputusan penting jawatankuasa berkenaan ialah penggunaan ayat ruqyah pada sesuatu produk bagi tujuan komersial tidak dibenarkan sama ada pada pelabelan, pengiklanan atau promosi.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 4 Februari 2016 mengeluarkan pekeliling pensijilan halal Malaysia Bilangan 2 Tahun 2016 menyentuh larangan menggunakan ayat ruqyah, 'makanan sunah' dan seumpamanya pada pelabelan, pengiklanan atau promosi produk berkuat kuasa 15 Februari 2016 bagi semua syarikat pemohon sijil pengesahan halal Malaysia.

Pekeliling itu diterbitkan berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Berdasarkan pekeliling ini, semua syarikat atau pemohon pensijilan halal Malaysia perlu mematuhi dan mengambil maklum mengenai pelaksanaannya.

Namun, masih ada ruang penipuan kerana peraturan daripada pekeliling ini hanya tertakluk kepada barangan dimohon pensijilan halal.

Penggunaan agama untuk tujuan komersial dan meraih keuntungan maksimum bukan sahaja menjadi kesalahan pencatutan, malah menunggang agama yang boleh menjejaskan integriti dan kesucian agama.

Dalam hal inilah sebarang dakwaan mengenai sesuatu produk mengguna label agama seperti bacaan ruqyah dan makanan sunah perlu dibuktikan secara saintifik dan disahkan pihak berwajib supaya pengguna tidak terpedaya.

Menjenamakan sesuatu produk berlabelkan agama, selain logo halal sah perlu dipastikan bukan penipuan yang boleh mengakibatkan kekeliruan, penganiayaan, kezaliman dan penipuan ke atas pengguna.

Di samping mewujudkan peraturan untuk mengekang penyalahgunaan agama bagi tujuan komersial, pengguna juga perlu mempunyai daya kawal kendiri untuk tidak terpedaya dengan peniaga tidak beretika.

Pengguna kini sering terdedah kepada gimik dan promosi mengguna unsur agama dalam media sosial. Di sinilah, kewaspadaan dan daya pemikiran kritikal pengguna diperlukan. Eksploitasi agama sangat popular kerana sentimen agama pengguna Muslim kini semakin meningkat.

Dalam hal ini penguatkuasaan kod etika pengiklanan sangat wajar ditegaskan. Sudah sampai masa, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) menguatkuasakan kod etika baharu dalam pengiklanan. Penggunaan elemen dan unsur agama dalam melariskan perniagaan atau pemasaran produk perlu dibanteras.

Di samping itu, menjadi tanggungjawab ulama dan agamawan aktif mengingatkan pengguna berwaspada serta tidak mudah terpedaya.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara

Berita Harian X