Selasa, 7 Jun 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Wujudkan akta kawal selia ekonomi gig elak 'perhambaan moden'

Sejak pandemik COVID-19 menyerang dunia, ramai terkesan dari segi ekonomi apabila syarikat dan organisasi tempat mereka bekerja menstruktur semula perniagaan serta operasi masing-masing.

Ini termasuk merombak semula kadar guna tenaga masing-masing, mengecilkan saiz perniagaan demi memastikan kos operasi mereka berada dalam julat boleh diuruskan dan tidak 'mematikan' perniagaan sementara menunggu keadaan pulih.

Maka, ramai pekerja hilang pekerjaan, diarah bercuti tanpa gaji, mengalami pemotongan gaji sekali gus menyebabkan pendapatan terjejas teruk, lebih-lebih lagi bagi keluarga mempunyai pencari nafkah tunggal dan B40.

Bagaimanapun, mereka boleh menarik nafas sedikit lega apabila teknologi platform berkembang pesat dan membentuk ekonomi gig menyediakan peluang mencari rezeki, sekurang-kurangnya buat seketika dalam gelora norma baharu hidup akibat COVID-19.

Menurut laporan Tinjauan Makroekonomi Belanjawan 2021 – Kementerian Kewangan, ekonomi digital di negara ini berkembang sebanyak 18.5 peratus setiap tahun dari 2015 hingga 2019. Sehingga Ogos 2020, ada kira-kira 540,000 pekerja gig aktif dan 140 platform penyedia perkhidmatan gig di Malaysia.

Daripada jumlah itu, dianggarkan 190,000 pekerja adalah penunggang dan pemandu dari pelbagai jenis platform termasuk logistik dan penghantaran barangan dan makanan.

Jumlah itu dipercayai meningkat pada waktu ini berikutan keadaan ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan perkembangan pesat teknologi itu.

Banyak aplikasi atau platform di telefon pintar atau atas talian muncul menyebabkan kek ekonomi gig semakin membesar dan ramai pula dapat berkongsi mencari makan.

Berikutan perkembangan ekonomi gig itu membawa kesan positif kepada pendapatan negara, kerajaan mengiktiraf ia sebagai sumber pembangunan ekonomi baharu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025. Komitmen itu menunjukkan pekerja ekonomi gig juga adalah aset kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun, persoalan timbul di sebalik pengiktirafan itu iaitu apakah kerajaan juga memberi fokus kepada pekerja gig amat besar jumlahnya atau kemampuan syarikat platform itu membayar cukai.

Belum ada tafsiran jelas siapakah pekerja gig, adakah mereka pekerja, kontraktor atau pekerja sendiri. Begitu juga dengan aspek kebajikan mereka.

Belum ada undang-undang di negara ini menjelaskan secara khusus seperti mana Akta Kerja 1955 mentafsirkan pekerja dan majikan.

Ketika kita akui penting bagi kerajaan memastikan syarikat gig ini berkembang pesat dan buat untung supaya dapat membayar cukai, perhatian khusus perlu diberikan kepada nasib ratusan ribu pekerjanya atau dalam bahasa lunak disebut kontraktor kepada syarikat platform itu.

Sementara masa masih ada kerana Malaysia di peringkat awal perkembangan ekonomi gig, pihak berkaitan perlu memastikan bidang semakin menarik ramai orang ini tidak menjadi 'perhambaan moden'.

Kejadian di mana kira-kira 100 orang pekerja gig sebuah syarikat penghantaran makanan berpiket di beberapa negeri kerana tidak berpuas hati dengan skim pembayaran baharu sebelum ini menunjukkan perlu ada sistem intervensi pihak berkuasa dalam sektor ini menerusi undang-undang khusus.

Perlu diingatkan walaupun pekerja gig terbabit kononnya dinamakan kontraktor, mereka bukan seperti kontraktor lain yang kaya atau berkemampuan.

Kita melihat, pekerja gig saban hari di atas jalan raya, berlumba-lumba menghantar barang atau makanan demi memastikan piagam syarikat diwakili dipenuhi, tetapi pada hari kemudian yang 'kenyang' adalah pemodal syarikat dan pekerja dinamakan kontraktor itu pendapatannya tidak seberapa.

Siapakah menentukan kadar upah penghantaran antara pekerja dan syarikat itu adil? Persoalan ini penting kerana matlamat akhir mereka terbabit dengan perkhidmatan gig adalah untuk mencari pendapatan, ada melakukannya secara sepenuh masa dan ada mahu menambah pendapatan keluarga.

Pada masa ini, tidak ada undang-undang khusus menyelia dan mengawal pekerjaan bidang ekonomi gig ini seperti mana Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang memastikan keharmonian perhubungan industri antara majikan dan pekerja.

Pada 8 November tahun lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, memaklumkan kepada Dewan Rakyat pekerja gig tidak berada dalam tafsiran 'pekerja' mengikut Akta 265 Ordinan Buruh Sabah atau Ordinan Buruh Sarawak.

Bagaimanapun, pada 2 Disember tahun lalu, Awang memberitahu Dewan Rakyat kerajaan mahu meminda Akta 265 untuk memberi tafsiran jelas pekerja dan majikan dalam sektor ekonomi gig, tetapi sehingga kini belum ada maklumat baharu mengenainya.

Sekurang-kurangnya penghakiman Tribunal Industri di United Kingdom pada Februari 2021 mengesahkan pemandu teksi Uber Aslam adalah pekerja dan berhak dilayan seperti pekerja boleh dijadikan asas.

Satu-satunya undang-undang berkaitan kebajikan pekerja gig adalah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang hanya menggalakkan orang bekerja sendiri termasuk pekerja gig mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Tidak diwajibkan tetapi dilaporkan mendapat sambutan menggalakkan membabitkan lebih 100,000 pekerja sendiri mendaftar.

Ada tiga komponen dalam ekonomi gig iaitu pekerja atau disebut freelancers dan disebut juga kontraktor dibayar berdasarkan tugas jangka pendek dilakukan; pelanggan memerlukan perkhidmatan khusus berkenaan dan syarikat platform menghubungkan pekerja dan pelanggan itu menerusi penggunaan teknologi.

Di Malaysia sudah banyak syarikat platform ini popular seperti FoodPanda, GrabFood serta perkhidmatan kereta sewa e-hailing seperti Grab dan MyCar.

Pusat Dana Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCDF) yang menerima 16,166 maklum balas daripada pekerja gig di Malaysia dan China dalam kajian mereka antara Februari dan Ogos 2020 secara umumnya mendapati keputusan membimbangkan berkaitan nasib pekerja gig khususnya dari segi pendapatan tidak menentu dan keselamatan kewangan.

Kurang daripada separuh pekerja gig ditinjau di Malaysia dalam kajian itu mampu memenuhi komitmen harian termasuk membayar hutang bulanan sepenuhnya tepat pada masa.

Majoriti daripada mereka berhempas-pulas memenuhi kecemasan dalam kewangan. Kajian itu juga mendapati kebimbangan utama pekerja gig adalah turun naik pendapatan diburukkan dengan ketiadaan undang-undang menyelia kontrak antara syarikat pemodal dan pekerja gig.

Namun, aspek berkenaan adalah antara terpaksa dilepaskan pekerja terbabit walaupun mengakui ia penting semata-mata kerana mahu mencari pendapatan tambahan dan tidak mahu terikat seperti pekerja konvensional.

Ketika kita menikmati perkembangan sektor ekonomi gig dianggar mencecah nilai lebih AS$1.5 trilion menjelang 2025, ini masa sesuai kita mempersiapkan diri dengan undang-undang dan peraturan bagi menjaga kebajikan mereka supaya bidang ini tidak menjadi manipulasi pemodal hanya memikirkan kantung mereka.

Situasi menang-menang perlu dicari bagi mengelak ia menjadi bidang 'perhambaan moden'.

Pengarang Berita BH

Berita Harian X