Isnin, 6 Jun 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Institusi beraja menyempurnakan keadilan untuk rakyat, negara

Hari ini, sebagai satu tradisi tinggi, kita menyambut Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Hari ini, penting bagi negara kerana ia adalah antara identiti negara. Hari ini, lambang kemuliaan takhta Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun institusi Yang di-Pertuan Agong ini baru sahaja diperkenalkan berbanding kedudukan takhta Raja di negeri, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah kemuncak pemerintahan Persekutuan, iaitu Yang di-Pertuan Agong adalah Supreme Head of the Federation, yang sering diterjemah sebagai Kepala Utama atau Ketua Utama Negara.

Institusi beraja atau monarki serata dunia, seperti Brunei Darussalam, Thailand, Bhutan, Belgium, Maghribi dan Arab Saudi, serta negara Asia Barat lain, bahkan Britain sering menjadi perhatian dan muncul dalam pelbagai dimensi berita.

Di serata dunia juga perbahasan kedudukan dan peranan institusi beraja sering menjadi bahan perbincangan, sama ada dalam konteks akademik atau politik, sama ada mempersoalkan atau menyokong institusi beraja.

Hakikat kita boleh lihat ialah, jumlah negara mengamalkan dan meneruskan pemerintahan monarki semakin mengecil. Sehingga kini hanya sekitar 44 negara mengekalkan sistem beraja.

Barbados menjadi negara terakhir setakat ini memansuhkan sistem pemerintahan beraja. Tanggal 30 November 2021, Barbados menjadi negara republik walaupun dahulunya, sejak merdeka pada 1966, Barbados 'meminjam' Ratu England sebagai pemerintah negara.

Walaupun begitu perkembangan di dunia, sistem beraja di negara kita mempunyai kedudukan penting dan peranan sangat berharga. Terdapat beberapa kelebihan mempunyai sistem beraja pada abad ke-21 ini.

Bagi Malaysia, monarki adalah 'repositori' tradisi dan kesinambungan kepada amalan warisan. Institusi beraja bukan sekadar institusi tradisi dan warisan, tetapi institusi berwibawa bersifat dinamik.

Ia bukan sekadar mengingatkan negara mengenai asal usul bangsa, tetapi terus berkhidmat menjulang keadilan, walaupun arus politik demokrasi kelihatan pantas menarik sokongan rakyat.

Jika dibandingkan sistem beraja dan sistem demokrasi, kita dapat melihat kelebihan serta kekurangan kedua-dua sistem ini. Walaupun begitu, bagi Malaysia, kita memerlukan kedua-dua sistem secara serentak kerana gabungan kedua-duanya mendatangkan hasil lebih baik kepada kestabilan dan keadilan kepada rakyat serta negara.

Raja berada pada kemuncak pemerintahan negara tanpa pertandingan bergantung kepada wang, media atau parti politik seperti kebergantungan pemimpin politik kepada elemen ini. Bagi sesetengah negara, institusi beraja menjadi penghalang daripada berlaku perang saudara atau rampasan kuasa.

Sistem beraja juga amat penting di negara berbilang etnik seperti Malaysia. Institusi beraja menyatukan kumpulan etnik yang pelbagai.

Penyatuan dalam kalangan komuniti atau etnik berbeza berada di bawah frasa kesetiaan dan ketaatan secara bersama kepada Raja dan negara.

Dalam konteks negara kita, kesetiaan kepada Raja bagi negeri juga penting kerana kesetiaan kepada negeri adalah baja kepada semangat patriotisme.

Hakikatnya, sistem monarki menghalang kemunculan bentuk kerajaan melampau. Semua pemimpin politik mesti berkhidmat sebagai Perdana Menteri atau menteri mentadbir negara dengan mekanisme semak dan imbang daripada institusi beraja.

Walaupun kuasa menetapkan urus tadbir terletak kepada penggiat demokrasi pilihan rakyat, kewujudan Raja menyukarkan untuk mengubah secara radikal struktur politik sesebuah negara.

Sebagai contoh, sistem beraja di beberapa negara berjaya menahan kecenderungan pemusatan kuasa secara total kepada pemimpin atau puak politik.

Monarki juga menstabilkan negara dengan menggalakkan perubahan perlahan dan berperingkat serta bukan perubahan melampau dalam sifat rejim.

Selain itu, sistem beraja di negara kita membuktikan graviti tinggi lagi berprestij dalam membuat keputusan akhir, keputusan tidak boleh dilakukan pihak lain.

Cabaran 'haru-biru' keadaan politik tanah air menyaksikan peranan itu amat berkesan selepas beberapa siri perubahan kepercayaan kepada Perdana Menteri dalam kalangan orang politik. Monarki menampilkan kewibawaan menjadi contoh kepada pemimpin demokrasi.

Bahkan, monarki boleh berkhidmat sebagai ketua negara dengan cara lebih demokratik. Ketua negara boleh mempromosikan sebab atau membangkitkan minat dalam isu dan topik kelihatan bercelaru dalam sistem demokrasi, seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi atau kepentingan melestarikan nilai warisan seperti tenunan tekstil dan pemuliharaan seni bina warisan.

Kehadiran seorang ketua negara dengan profil psikologi berbeza daripada ahli politik boleh menyegarkan nilai atau elemen negara mempunyai nilai warisan dan kebudayaan tinggi, termasuk agama.

Tidak dinafikan kebanyakan kritikan terhadap monarki di negara ini hampir lumpuh. Idea kononnya Raja boleh menggunakan kuasa mutlak dengan sewenang-wenangnya tanpa kawalan boleh disanggah dengan menetapkan amalan berperlembagaan.

Semua tingkah laku atau tindakan Raja hendaklah selaras dengan peraturan yang ditetapkan di bawah prinsip kedaulatan undang-undang. Dengan kata lain rangka kerja perlembagaan atau tradisional yang mengekang dan menginstitusikan kuasa Raja menjadi panduan pentadbiran.

Sebelum frasa 'kedaulatan undang-undang' menjadi popular dan diterima, Raja mempunyai institusi agama dan adat resam mengawal interaksi sosial baginda.

Agama dan adat juga berfungsi mengekang penggunaan kedudukan dan kuasa berlebihan. Malah, monarki dikatakan mutlak itu hanya dalam teori dan hampir setiap masa dikawal menerusi mekanisme agama serta adat dan budaya.

Selain itu, pewaris Raja ditanam dengan nilai dan ciri kepemimpinan tinggi akan mempunyai latihan praktikal berterusan, seterusnya menjadi pewaris melestarikan kepentingan monarki.

Memandangkan terserlah kelebihan pemerintahan monarki, maka sehari demi sehari, ramai warga negara demokrasi hari ini mempunyai nostalgia dan kecenderungan memilih sistem monarki.

Seperti pada abad sebelum ini, kita mengharapkan sistem monarki terus menonjolkan dirinya sebagai institusi politik penting dan bermanfaat, berdaya saing serta mampu menyampaikan amalan keadilan sempurna kepada rakyat seluruhnya.

Kita juga mendoakan moga sistem beraja negara kita terus gagah mendepani cabaran semasa dan akan datang demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Daulat Tuanku.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X