Khamis, 21 April 2022 | 7:35am
Institut Integriti Malaysia perlu menjadi badan utama merealisasikan agenda pembudayaan integriti. - Foto hiasan
Institut Integriti Malaysia perlu menjadi badan utama merealisasikan agenda pembudayaan integriti. - Foto hiasan

Teliti kelembapan pelan antirasuah, segerakan RUU Anti Lompat Parti

Transformasi ekonomi negara yang pesat dan membawa kemakmuran ke segenap masyarakat, memberikan kesan terhadap fabrik sosial masyarakat. Modenisasi itu turut menyebabkan perubahan dalam sistem nilai masyarakat hingga mewujudkan sikap tidak bertanggungjawab dan kurang kepekaan sivik berkait soal pembudayaan integriti.

Dalam usaha mengetengahkan pembudayaan integriti sebagai medium pengurangan gejala rasuah, Malaysia melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 seperti diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2019 untuk mengembalikan keutuhan integriti dan mencegah rasuah.

Sebanyak 111 inisiatif diumumkan sebagai teras dan kayu ukur pencapaian, sekali gus dilihat sebagai simbol ketegasan negara untuk mencegah dan membanteras rasuah, sekali gus membangunkan agenda pembudayaan integriti.

Terkini, Kementerian Kewangan (MOF) mewajibkan saringan integriti dilakukan ke atas syarikat terbabit dalam pembidaan tender kerajaan dan yang memohon dana kerajaan bagi mengelakkan konflik berkepentingan serta gejala rasuah dalam sektor perolehan awam kerajaan.

Usaha dinamakan Surat Akuan Integrity Pact itu, bakal dilaksanakan bermula 1 Jun ini dan termaktub dalam Pekeliling Integriti Perolehan Kerajaan.

Hampir empat tahun menjengah, pelaksanaan dasar ini awalnya dilihat sebagai keperluan utama dalam menghakis imej Malaysia ketika itu terpalit dengan skandal ketirisan dan label kleptokrasi.

Namun, pascapertukaran kerajaan pada penghujung Februari 2020 membawa kepada perubahan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia kepada kedudukan kurang baik. Ini dibuktikan dengan laporan Transparency International (TI) pada 2021 memperlihatkan kedudukan CPI Malaysia mulai merudum ke tangga 62 berbanding 57 pada 2020.

Kedudukan itu menimbulkan persoalan asas, apakah dasar integriti diperkenalkan di negara ini gagal membentuk dan membangunkan budaya integriti tinggi dalam sektor awam serta korporat dan komuniti? Apakah Malaysia memerlukan dasar lebih komprehensif berkaitan dengan pembudayaan integriti?

Merujuk kepada Laporan Kemajuan NACP Bagi Tahun 2020 dan 2021 dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, ia mengukuhkan lagi bukti wujud kelembapan dalam merealisasikan semua inisiatif dibangunkan melalui rangka tindak NACP.

Daripada semua inisiatif dirancang, hanya 32 peratus daripada 111 inisiatif ditetapkan berjaya diselesaikan dan kemungkinan tidak akan berjaya dicapai memandangkan tempoh pelaksanaan NACP hanya tinggal setahun lebih saja lagi.

Mengapakah perkara ini berlaku? Antara faktor, wujud kerumitan dalam pelaksanaan memandangkan terdapat pertindihan kuasa dan peranan badan menguruskan aspek pembanterasan rasuah dan pembudayaan integriti, kerjasama organisasi berkaitan pembudayaan integriti lemah, faktor ruang waktu pandemik menyukarkan usaha merealisasikan inisiatif terbantut akibat kekangan fizikal dan kadar kes harian tinggi dan lemahnya keiltizaman atau kemahuan politik dalam kalangan pemimpin dalam membanteras gejala rasuah dan membudayakan integriti.

Faktor sebegini menyebabkan usaha merealisasikan agenda pembudayaan integriti perlahan dan mengambil masa lama.

NACP seharusnya dasar memperlihatkan usaha kerajaan mencapai, memenuhi dan merealisasikan cita-cita sivik untuk pembangunan negara dan komuniti berintegriti tinggi. Bagi tujuan itu, beberapa perkara perlu diteliti semula dalam mengukuhkan kembali agenda pembudayaan integriti di negara ini selepas melihat keterbantutan NACP merealisasikan inisiatif yang dirancang.

Pertama, memperkukuhkan integriti politik dalam kalangan wakil rakyat. Umum mengetahui wakil rakyat menjadi suara utama dalam membentuk dan menggubal rang undang-udang (RUU) demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Demikian, kelompok ini perlu memiliki tahap integriti baik bagi memastikan mereka dilihat sebagai contoh kepada komuniti. Ini prasyarat utama memandangkan wakil rakyat adalah pemimpin dan dipandang tinggi dalam masyarakat.

Justeru, usulan seperti pelaksanaan RUU Akta Lompat Parti dan Akta Pendanaan Politik wajar diangkat, dibahaskan serta diluluskan bagi menjamin tahap integriti politik tinggi dan simbol penolakan amalan rasuah dalam kalangan wakil rakyat.

Kewajipan pengisytiharan harta bagi calon wakil rakyat termaktub dalam NACP perlu disegerakan yang bakal mengetengahkan aspek perundangan bertulis berkaitan pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan ahli Parlimen. Perkara ini sebetulnya juga boleh dijadikan antara teras utama dalam pembudayaan integriti dalam kalangan ahli politik.

Kedua, mengembalikan dan memperkasakan peranan institusi sebagai agen utama pembudayaan integriti. Walaupun NACP menuntut pembabitan menyeluruh semua agensi kerajaan dalam pembangunan agenda pembudayaan integriti dan pembanterasan rasuah, Institut Integriti Malaysia (IIM) perlu memikul tugas utama dalam menjayakan agenda pembudayaan integriti khususnya di peringkat komuniti.

IIM seharusnya menjadi badan utama merealisasikan agenda pembudayaan integriti. Malangnya melalui NACP, institusi ini dilihat tidak begitu dominan dalam mengetuai dan mengepalai program pembudayaan integriti dalam komuniti yang sepatutnya menjadi teras utama kewujudan IIM.

Pihak tertinggi seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) perlu meneliti semula keperluan mengembalikan peranan IIM sebagai institusi murni dan dominan dalam menjayakan agenda pembudayaan integriti.

Ketiga, meneliti semula pelaksanaan NACP. Perkara ini paling mustahak dan penting. Penelitian semula turut diusulkan Ketua Pengarah GIACC, Datuk Seri Mohd Salehuddin Hassan pada Februari lalu, selepas keluarnya laporan CPI memperlihatkan keruduman kedudukan Malaysia ke kedudukan 67.

NACP mengetengahkan agenda pembanterasan rasuah komprehensif tetapi sifatnya lebih ke arah pendekatan atas-bawah. Pada masa sama, NACP perlu juga bersifat bawah-atas bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaannya yang mengetengahkan peranan institusi awam, sektor korporat dan komuniti.

Ini bertujuan memastikan baki 74 inisiatif berjaya dicapai memandangkan ia dikategorikan 'dalam tindakan' dan memerlukan masa untuk dicapai. Barangkali juga, NACP sebetulnya perlu meletakkan pembahagian sasaran kerja efektif bagi menjayakan perancangan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi serta misi lebih komprehensif, tidak semata-mata memperlihatkan ia sebahagian aspirasi dan cita-cita politik.

Dalam memenuhi matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju memiliki daya saing tinggi dan kompetitif, NACP harus dilihat semula khususnya mengukuhkan peranan institusi dominan dalam pembudayaan integriti.

Pembudayaan dan pengamalan integriti baik dalam komuniti adalah cerminan lemahnya gejala rasuah dalam masyarakat. Demikian, semua aktor sosial tanah air perlu sama-sama berperanan menjayakan ketelusan pembudayaan integriti di Malaysia agar rasuah mampu dikurangkan.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

Berita Harian X