Ahad, 3 April 2022 | 11:33am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Hayati disiplin Ramadan pupuk peribadi, modal insan berkualiti

RAMADAN kembali bertamu pada tahun ini dengan 1,001 tawaran daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Puasa yang memberikan kesan adalah puasa melahirkan peribadi bertakwa.

Hadirnya Ramadan menjadi fasa latihan disebut sebagai 'madrasah

tarbiah' selama sebulan yang lengkap dengan modul, ganjaran dan tawaran disediakan Allah SWT.

Ramadan adalah medan menundukkan nafsu, meningkatkan iman dan berusaha dengan penuh pengharapan untuk mendapatkan keampunan Allah SWT.

Berpuasa juga menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar tidak terjebak ke lembah maksiat serta kejahatan. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala, nescaya diampunkan baginya segala dosa terdahulu." (Hadis riwayat Bukhari)

Bahkan, bukan sekadar itu, puasa juga wasilah ke arah membangunkan modal insan menerusi beberapa modul tersirat di sebalik pelaksanaan ibadah ini. Menurut Imam al-Ghazali, pembentukan peribadi berkualiti mempunyai hubung kait dengan pembangunan modal insan baik.

Ia dapat dibentuk melalui tiga elemen, iaitu tazkiyah al-nafs, mujahadah al-nafs dan riyadah al-nafs. Ketiga-tiga elemen ini dapat dioptimumkan pelaksanaannya dalam Ramadan.

Elemen pertama, iaitu tazkiyah al-nafs adalah proses penyucian jiwa daripada perkara keji dan kotor hasil perbuatan dilarang. Ia proses menyucikan jiwa dengan memahami masalah wujud dalam diri, seterusnya mendidik hati.

Pelaksanaan tazkiyah al-nafs secara konsisten dapat memberi kesan positif kepada diri seseorang dan memberi kesan pemulihan kepadanya. Proses ini membabitkan bukan sahaja menitikberatkan usaha untuk membersihkan jiwa daripada perkara mazmumah, bahkan ia turut menuntut usaha bersifat akhlak mahmudah. Sudah tentu, suatu perubahan terasnya adalah mujahadah atau kegigihan.

Tazkiyah al-nafs membentuk kegigihan dalam peribadi individu yang inginkan perubahan. Sudah tentu ia tidak mudah dicapai, tetapi dengan keazaman ia tidak mustahil diperoleh. Selain aspek fizikal, pendidikan jiwa juga adalah perkara penting dan kedua-duanya harus diberikan perhatian khusus.

Disiplin Ramadan membentuk kekuatan pencegahan diri daripada melakukan perkara dilarang Allah SWT, bahkan ia turut membangunkan kekuatan diri manusia dengan memperbanyakkan amal kebaikan pada bulan dijanjikan pahalanya dilipat ganda dan disiplin Ramadan juga membantu proses rawatan bagi masalah hati seperti dengki, riak serta sombong.

Ini menunjukkan Ramadan sememangnya menjadi medan terbaik dalam membangunkan modal insan berkualiti.

Elemen kedua, iaitu mujahadah al-nafs. Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Kata akar 'mujahadah' datangnya daripada kalimah 'al-juhd', iaitu berusaha dengan penuh kesungguhan, kekuatan semangat serta kesanggupan menempuhi jalan diarahkan Allah SWT.

Ini membawa maksud seseorang bermujahadah akan rela meninggalkan apa disukainya demi memburu keredaan Allah SWT. Apabila terma mujahadah ini difahami, individu berkenaan akan konsisten dan sentiasa bersemangat untuk istiqamah dalam melakukan perubahan dengan optimum serta sedaya upaya melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya.

Puasa antara strategi untuk menyekat godaan hawa nafsu. Contohnya dengan mendisiplinkan diri menahan perut daripada makan pada waktu tidak dibenarkan secara tidak langsung akan membantu menundukkan hawa nafsu.

Selain itu, puasa turut mengajar umat Islam untuk menahan daripada memandang sesuatu haram, mendengar sesuatu sia-sia dan berkata-kata perkara dilarang.

Allah SWT memberikan motivasi melalui firman-Nya dalam surah al-Ankabut ayat 69: "Dan orang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang berusaha memperbaiki amalannya."

Modal insan lengkap dengan peribadi bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu akan menjadi aset kepada negara dan agama yang akan membawa kepada kejayaan dunia serta akhirat.

Elemen ketiga, iaitu riyadah al-nafs atau latihan jiwa menuju ke arah kebaikan berperingkat hingga akhirnya sampai ke satu tahap yang sesuatu berat dan susah untuk dilaksanakan pada awalnya, akhirnya menjadi mudah serta ringan dilaksanakan.

Ia juga proses menghiasi peribadi dengan akhlak mahmudah. Antara strategi pelaksanaan elemen riyadah al-nafs adalah dengan memberikan tumpuan kepada perkara ibadah wajib kemudian diikuti dengan perkara sunat, akhirnya konsisten atau istiqamah dalam melaksanakan amalan berkenaan.

Inilah didikan Ramadan kepada umat Islam dengan diberikan galakan melalui tawaran gandaan pahala bagi setiap amalan dilakukan pada bulan mulia ini.

Sudah tentu ketiga-tiga ini adalah bertujuan memantapkan keimanan, mempertingkatkan ibadah dan mengamalkan sifat mahmudah didisiplinkan dalam Ramadan dapat diimplimentasikan dalam 11 bulan mendatang.

Memasuki era endamik dan ketidaktentuan situasi pada hari ini, institusi keluarga, jabatan kerajaan bahkan sesebuah negara memerlukan kepada modal insan berkualiti untuk mendepani apa jua cabaran mendatang.

Menghargai dan memahami modul terkandung dalam disiplin Ramadan sekiranya ia benar-benar diaplikasikan sudah tentu dapat melahirkan peribadi berkualiti yang dapat menjadi pemangkin kepada keutuhan sesebuah institusi keluarga, aset kepada sesebuah jabatan dan jaminan kepada kesejahteraan sesebuah negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Berita Harian X