Jumaat, 25 Februari 2022 | 10:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sekolah, ibu bapa perlu lebih bersedia menjelang sesi baharu persekolahan

Sekolah, ibu bapa perlu lebih bersedia menjelang sesi baharu persekolahan

Oleh Dr Kama Shaffeei

bhrencana@bh.com.my

Sesi persekolahan 2021/2022 melabuhkan tirai apabila Cuti Akhir Penggal 3 sekolah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) bermula hari ini, manakala sekolah kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya) pula pada esok.

Bagaimanapun, pembukaan sesi persekolahan 2022/2023 sebenarnya bukan lama kerana sekolah kumpulan A akan memulakannya pada 20 Mac ini dan kumpulan B (21 Mac).

Ini bermakna pihak sekolah perlu membuat persiapan dan persediaan lebih awal dengan sokongan pelbagai pihak bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan seperti biasa sama ada bersemuka atau atas talian.

Penularan COVID-19 menyebabkan murid mengharungi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). PdPR dalam norma baharu menunjukkan satu anjakan paradigma dalam dunia pendidikan masa kini.

PdPR menunjukkan keprihatinan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan kelangsungan pendidikan kepada murid di sekolah dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai keperluan murid dalam skop pengajaran dan pembelajaran.

Namun begitu, keprihatinan khusus dalam pembelajaran norma baharu perlu diamati semua pihak bagi meneroka minat murid.

Penekanan KPM dalam memastikan sesi pembukaan sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada mampu memberi panduan kepada sekolah atau institusi pendidikan menjalankan sesi PdP bersemuka (PdPC) dengan lebih berkesan.

Dalam hal ini, pihak sekolah perlu memastikan kesediaan fizikal sempurna dengan mematuhi SOP sedia ada apabila sesi persekolahan bermula nanti.

Bilik darjah sedia ada perlu diatur kemas dengan memastikan jarak satu meter dipatuhi. Fizikal bilik darjah perlu kondusif supaya murid dapat belajar dengan lebih fokus. Warga pentadbir perlu sentiasa cakna dengan perkembangan terkini dan memastikan pelaksanaan PdP dilaksanakan dengan baik.

Kesediaan pihak sekolah menyediakan infrastruktur pembelajaran kondusif membantu murid menyesuaikan diri dengan cepat selepas beberapa bulan tidak hadir ke sekolah.

Pihak sekolah perlu merancang dan menyusun aktiviti kurikulum serta kokurikulum dalam mengenalpasti standard kandungan pembelajaran yang belum diselesaikan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Pendekatan guru juga perlu lebih pelbagai bagi membentuk kemenjadian murid berpandukan Pen taksiran Bilik Darjah (PBD) berpandukan enam tahap penguasaan murid disediakan KPM.

Pihak guru juga perlu menyediakan bahan pengajaran secara berfokus sama ada bersemuka atau atas talian. Pengajaran guru harus lebih pelbagai kemampuan dengan mengambil kira tahap kognitif murid.

Perkembangan terkini menuntut guru perlu berfikir lebih rasional melaksanakan PdPC dan PdPR mengikut standard pembelajaran sedia ada. Guru juga harus memberi tumpuan memastikan penguasaan kemahiran murid dicapai dengan baik, contohnya, peta minda dan nota kreatif.

Aktiviti PdPC secara bersemuka perlu lebih banyak menggunakan deria tangan dan pembelajaran berasaskan projek bagi memantapkan pembelajaran penggunaan modul dalam PdPR sebelum ini.

Pendekatan kemahiran digital dalam kalangan guru juga perlu dipertingkatkan disamping memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran dirancang manakala Dasar Pendigitalan Negara perlu menekankan aspek penggunaan teknologi dalam pengajaran selaras dengan perkembangan terkini.

Pemerkasaan sahsiah individu juga penting kepada generasi berlatar belakang arus modenisasi yang berkembang terlalu pantas, maka pendekatan 'Sinergi Bersama' perlu diambil iaitu berganding bahu bukan saja guru malah ibu bapa dan komuniti setempat.

Pelaksanaan pendekatan ini mampu membantu pembelajaran murid sama ada bersemuka atau atas talian. Sehubungan itu, fokus murid juga perlu dititikberatkan dengan persekitaran pembelajaran yang berbeza.

Penerimaan murid dalam persekitaran berbeza perlu ditekankan bagi menyediakan suasana pembelajaran menjurus ke arah objektif perlu dicapai. Murid yang menguasai kemahiran juga boleh dilibatkan sebagai rakan sokongan dalam aktiviti pengajaran apabila bersemuka.

Kepelbagaian aktiviti mengikut topik juga boleh diterapkan kepada murid supaya mereka dapat menguasai topik pembelajaran. Murid yang masih lagi mengikuti PdPR perlu diberi perhatian khusus supaya kesinambungan pembelajaran tidak terhenti. Murid perlu fokus dalam pembelajaran dan menguasai isi pengajaran guru.

Peranan ibu bapa penting dalam menyokong pembelajaran anak-anak mereka sama ada bersemuka di sekolah mahupun atas talian. Ibu bapa perlu berperanan sebagai pembimbing, penaik semangat dan pencetus pembelajaran anak mereka demi meneruskan kelangsungan pendidikan.

Ibu bapa penting memupuk semangat belajar dalam kalangan anak-anak bagi memastikan masa depan mereka terjamin. Konsep Sekolahku Sejahtera memperlihatkan perlunya sokongan di rumah supaya perasaan kasih sayang dapat diterapkan dalam suasana pembelajaran di sekolah.

Pihak komuniti perlu melihat pendekatan yang diambil KPM secara holistik demi memastikan pendidikan generasi sedia ada diteruskan demi kemenjadian murid dicapai.

Peranan komuniti perlu menyokong dengan memberi sumbangan idea dan penambahbaikan sistem pendidikan pada masa depan.

Tanggungjawab bersama komuniti ini dapat membantu menterjemah sistem pendidikan sedia ada dalam melahirkan generasi kalis masa depan.

Pembabitan semua pihak dalam persediaan pembukaan sekolah bagi sesi 2022/2023 amat penting dalam memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran diteruskan.

Justeru, kerjasama semua peringkat perlu dalam memastikan pendidikan kita berkualiti dan memberi nilai tambah kepada pembangunan negara demi memastikan masyarakat berilmu dan mampu berdaya saing di peringkat nasional mahupun global.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan

Idris

Berita Harian X