Khamis, 24 Februari 2022 | 10:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Iltizam rakyat, disiplin kendiri tangani gelombang Omicron

Sudah lebih lapan bulan kita tidak berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan selama lebih satu tahun sejak COVID-19 membadai negara awal tahun 2020.

Sekatan itu menghakis kebebasan dinikmati selama ini. Rakyat didedahkan kepada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membabitkan empat fasa dan merangkumi sekatan serta kekangan perjalanan kehidupan.

Di bawah PPN, sejak suku akhir tahun lalu, semua negeri memasuki fasa keempat, bermakna tiada sekatan dan sempadan dibuka, rakyat boleh melalui kehidupan normal tetapi perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan kekal dikuatkuasakan sehingga kini.

Rakyat pelbagai lapisan menarik nafas lega kerana kehidupan kembali normal walaupun tidak sepenuhnya selepas pergerakan ke seluruh negara dibenarkan. Ramai menganggap mereka sudah bebas sepenuhnya daripada mimpi buruk COVID-19.

Adakalanya ramai, sama ada secara sedar atau tidak sedar, terlupa SOP masih dikuatkuasakan sehingga ke hari ini, sehingga ke saat ini. Dari semasa ke semasa pelanggaran SOP turut disaksikan. Sama ada ia dilakukan secara sengaja atau sebaliknya di sebalik keghairahan meraikan kebebasan diberikan. Impaknya disaksikan pada hari ini.

Kenaikan kes COVID-19 secara mendadak dan luar biasa disaksikan. Jangkitan kes mencecah lebih 25,000 sehingga pertengahan tahun lalu turun sehingga ke paras 5,000 kes pada awal bulan ini.

Bagaimanapun kadar itu kembali meningkat hampir enam kali ganda selepas sambutan Tahun Baharu Cina. Sebanyak 28,825 kes direkodkan setakat Sabtu lalu. Ia paras tertinggi sejak COVID-19 melanda Malaysia pada awal tahun 2020.

Ketika itu, meskipun negara tidak bebas sepenuhnya daripada impak COVID-19, kejayaan meratakan keluk kitaran COVID-19 sehingga ke paras terkawal atau satu digit sebenarnya membawa khabar gembira.

Bagaimanapun kegembiraan dan ketenangan ketika itu tidak kekal lama. Selepas setahun suasana sama berulang. Apa yang ketara adalah kali ini peningkatan

kes COVID-19 terlalu tinggi.

Jangkitan dikaitkan dengan varian baharu Omicron. Sejak seminggu lalu jangkitan harian meningkat kepada lima angka, sehingga mencapai paras tertinggi harian.

Ketika kita terus bersedia untuk menyesuaikan dengan norma baharu kehidupan, kita sebenarnya tidak bersedia untuk berhadapan dengan gelombang baharu jangkitan.

Meskipun pihak berkuasa tidak mengenakan sekatan seperti PKP, dengan jaminan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan tidak akan memperkenalkan kembali PKP, jangkitan kes baharu terus mengalami peningkatan mendadak.

Seperti disebut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, negara kini berada dalam gelombang varian Omicron. Bukan sahaja Malaysia, malah satu dunia.

Di bawah norma baharu kita perlu mengambil segala langkah berwaspada dan sentiasa mengutamakan atau mengamalkan slogan 'Kita Jaga Kita'.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita tiada pilihan kecuali sama-sama berganding bahu membantu pihak berkuasa mencegah dan mengawal penularan jangkitan wabak paling buruk dalam sejarah manusia.

Krisis kesihatan ini juga paling buruk dalam sejarah negara. Setiap pihak, tidak kira sama ada individu, pertubuhan atau entiti berorganisasi, mempunyai peranan penting membantu menurunkan kadar jangkitan ke paras asal yang pernah dicatatkan pada suku ketiga tahun lalu.

Kita hendaklah mencapai sasaran sifar kes meskipun ramalan global menyatakan kemungkinan ia akan mengambil beberapa bulan lagi di sebalik ketibaan vaksin yang diharapkan dunia.

Kita mampu melakukan jika mempunyai komitmen, disiplin dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam mengurangkan kembali kadar jangkitan dari lima angka sekarang kepada satu angka dan seterusnya sifar kes secepat mungkin. Kita boleh melakukannya jika terus mengutamakan pematuhan SOP.

Semuanya bermula daripada diri kita. Ia perlu diiringi dengan peranan dalam setiap tindakan dan pergerakan apabila kita keluar dari rumah dan sebaliknya. Kita perlu memulakan gaya hidup sihat dalam norma baharu, satu elemen penting yang belum kukuh dan padu dalam kehidupan seharian kita.

Sentiasa mengutamakan penjarakan fizikal dan pematuhan prosedur kesihatan yang baik. Hakikatnya, kita sudah tidak mampu untuk berhadapan satu lagi pusingan baharu kekangan ekonomi.

Sebab itu kepemimpinan negara memutuskan untuk tidak menguatkuasakan PKP kecuali PKPD di kawasan atau lokaliti terpencil dalam keadaan tidak dapat dielakkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan yang rakyat perlu hidup dengan COVID-19 dan menganggapnya sebagai endemik seperti penyakit mudah berjangkit lain.

Sekatan pergerakan dan penutupan sektor ekonomi akan kembali membebankan rakyat, yang baru kembali memulakan kehidupan mereka.

Kita perlu memikirkan pendekatan baharu yang boleh mengurangkan kesan dan impak ke atas pertumbuhan ekonomi. Saya pasti ramai akan bersetuju dengan perkara ini. Ekonomi negara terutama Ekonomi Acara Perniagaan amat kritikal untuk dipulihkan segera.

Selaku pemain dalam industri acara perniagaan dan juga kini menjadi Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA), sudah tentu pembukaan pintu sempadan negara amat diharapkan.

Kini banyak negara mula mengambil beberapa pendekatan bersifat ke hadapan dalam menghadapi krisis kesihatan dengan memasuki tahap endemik dan mula membuka sempadan masing-masing.

Bilangan negara berbuat demikian semakin meningkat setiap hari. Kementerian Kesihatan menjangkakan Malaysia berbuat demikian pada awal suku kedua tahun ini.

Apapun pendekatan dan tindakan dikuatkuasakan pihak berkuasa, semuanya bergantung kepada rakyat. Setiap rakyat, tidak kira kedudukan dan pangkat, mempunyai tanggungjawab cukup tinggi untuk memastikan jangkitan diturunkan kembali dan kita kembali menikmati kehidupan normal seperti sedia kala.

Penulis adalah Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL)

Berita Harian X